Jumlah jangkitan Covid-19 di Singapura telah menyaksikan peningkatan pada minggu 17 September hingga 23 September.
Seramai 14,843 orang disahkan menghidapi Covid-19, iaitu peningkatan lebih dua kali ganda berbanding minggu sebelumnya, apabila 6,401 kes direkodkan.
Dalam 10 minggu sebelumnya, antara 9 Julai dengan 16 September, bilangan jangkitan setiap minggu adalah antara 3,485 hingga 7,045 kes.
Kementerian Kesihatan (MOH) berkata ia sedang memantau keadaan semasa, tetapi berpendapat tidak timbul kebimbangan kerana bilangan orang yang dijangkiti “pada masa ini adalah rendah berbanding gelombang sebelumnya”.
“Purata pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital secara harian dan purata kes harian Unit Rawatan Rapi (ICU) juga kekal rendah,” kata MOH di laman webnya.
Kemuncak jangkitan tahun ini ialah 28,410 seminggu pada akhir Mac.
Pada minggu itu, 159 orang dimasukkan ke hospital, dan angka ini meningkat sedikit berbanding 139 orang pada minggu sebelumnya. Sementara itu, tujuh kes perlu dimasukkan ke ICU, berbanding enam kes pada minggu sebelumnya.
Namun, kemasukan ke hospital dan keperluan untuk rawatan rapi biasanya melambatkan jangkitan. Kemuncak jangkitan pada akhir Mac menyebabkan bilangan orang dimasuki ke hospital dan ke ICU lebih tinggi pada April.
Jumlah kematian akibat Covid-19 adalah 54 pada April dan 53 pada Mei - jumlah yang tertinggi pada 2023.
Pada Ogos, 10 orang yang semuanya berumur sekurang-kurangnya 60 tahun, meninggal dunia akibat Covid-19.
MOH menambah: “Peningkatan itu mungkin disebabkan oleh beberapa faktor, termasuk penurunan imuniti penduduk, peningkatan varian lain yang muncul dan peningkatan interaksi perjalanan dan masyarakat, mengakibatkan penularan virus.”
Varian yang paling biasa di sini pada masa ini ialah HK.3, yang menyumbang hampir separuh daripada jangkitan. Ini ialah sub-varian EG.5.1, yang dominan sejak Julai. Semua varian virus Covid-19 yang berleluasa hari ini adalah sub-varian Omicron.
Dr Asok Kurup, pakar penyakit berjangkit di sektor swasta, berkata peningkatan itu mungkin disebabkan oleh lebih ramai orang yang melancong semasa cuti sekolah baru-baru ini dan membawa jangkitan kembali bersama mereka.
Singapura pula menjadi tuan rumah perlumbaan Grand Prix Singapura F1 selama tiga hari dari 15 hingga 17 September, yang menarik lebih 260,000 penonton.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg