Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bilangan penumpang Lapangan Terbang Changi dijangka lebihi paras pra-Covid

Pertumbuhan dipacu peluasan rangkaian penerbangan, perkongsian syarikat penerbangan, peraturan bebas visa antara S’pura dengan beberapa negara
Dec 6, 2024 | 5:00 PM
Berkongsi kepada media dalam satu sesi temu bual pada 3 Disember, Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, berkata jumlah penumpang yang dikendali Lapangan Terbang Changi telah kembali ke tahap sebelum Covid dan ia dijangka menjangkau paras pra-Covid pada 2025.
Berkongsi kepada media dalam satu sesi temu bual pada 3 Disember, Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, berkata jumlah penumpang yang dikendali Lapangan Terbang Changi telah kembali ke tahap sebelum Covid dan ia dijangka menjangkau paras pra-Covid pada 2025. - Foto ZAOBAO

Jumlah penumpang yang dikendali Lapangan Terbang Changi telah kembali ke tahap sebelum wabak Covid-19 dan ia dijangka menjangkau paras pra-Covid pada 2025, kata Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat.

Ini sedang jumlah penumpang mencatat pertumbuhan kukuh pada Oktober dan November sejak bermulanya musim sejuk bagi negara di Hemisfera Utara, ujarnya.

Encik Chee berkata demikian dalam sesi temu bual bersama media pada 3 Disember bagi berkongsi maklumat terkini Kementerian Pengangkutan (MOT) di ibu pejabat MOT di Alexandra Road.

Pengendali lapangan terbang Changi Airport Group (CAG), pula berkata Lapangan Terbang Changi telah mengendalikan 61.2 juta pergerakan penumpang dari Januari hingga November.

Ini, menurut CAG, peningkatan 15 peratus berbanding tempoh sama pada 2023, dengan jumlah penumpang bagi Oktober dan November menjangkau tahap yang dicatat sebelum Covid.

Berdasarkan laporan operasi suku ketiga 2024 CAG pula, Changi telah mengendalikan 16.8 juta pergerakan penumpang dari Julai hingga September 2024, iaitu 97.4 peratus daripada jumlah yang dicatat dalam suku ketiga 2019 atau sebelum Covid.

CAG menambah pertumbuhan sedemikian dipacu beberapa faktor, sebahagian besarnya adalah peluasan rangkaian penerbangan, perkongsian syarikat penerbangan dan peraturan bebas visa antara Singapura dengan beberapa negara.

Encik Chee berkata: “Setakat Disember 2024, kita (Singapura) terhubung dengan 165 kota.

“Kami telah menambah 16 rangkaian kota baru tahun ini (2024), termasuk Brussels (ibu kota Belgium), Iloilo di Filipina, Guiyang (China) dan Vancouver (Canada).

“Kami akan terus berusaha menyediakan ketersambungan lebih baik bagi Changi, termasuk dengan pasaran utama seperti China, India dan Asia Tenggara.”

Beliau turut berkongsi bahawa 10 syarikat penerbangan baru telah menyertai Changi 2024 dan kini memberi perkhidmatan kepada sekitar 100 syarikat penerbangan, dengan jumlah ini ditambah pada 2025.

Perangkaan sedemikian petanda memberangsangkan tatkala Singapura akan memulakan pembinaan Terminal 5 (T5) Lapangan Terbang Changi pada separuh pertama 2025, seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada majlis makan malam ulang tahun ke-40 Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada September.

Encik Wong berkata apabila mula beroperasi pada pertengahan 2030, gabungan T5 dan terminal sedia ada akan membantu Singapura menjadi hab penerbangan dengan dihubungkan kepada lebih 200 bandar sejagat.

Ini sekali gus dijangka membantu Lapangan Terbang Changi menampung sehingga 50 juta penumpang tambahan, di samping kapasiti buat masa ini iaitu 90 juta penumpang setiap tahun.

Sementara itu, Encik Chee menyentuh berkenaan perancangan rangkaian rel yang bakal diperluaskan atau siap dalam beberapa tahun mendatang.

Beliau menyatakan bahawa Stesen Punggol Coast bagi Laluan Timur Barat (NEL) akan dibuka secara rasmi pada 10 Disember.

Stesen MRT Hume, yang terletak di Laluan Downtown (DTL) akan dibuka pada suku kedua 2025 manakala lingkaran Laluan Circle (CCL) bakal dilengkapkan sepenuhnya pada separuh pertama 2026, dengan merangkumi tiga stesen iaitu Keppel, Cantonment dan Prince Edward Road.

DTL juga akan diperluaskan untuk menghubungkan stesen Expo ke Sungei Bedok pada separuh kedua 2026 manakala Laluan Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura, dijangka siap menjelang hujung 2026.

Berkenaan sektor maritim, Encik Chee berkongsi bahawa daya pengeluaran kontena di Singapura mencatatkan pertumbuhan kukuh 6.2 peratus bagi 10 bulan pertama 2024 berbanding tempoh sama pada 2023 – ini menurutnya rekod tertinggi untuk 10 bulan pertama dalam sesuatu tahun.

“Kami juga barangkali akan catatkan rekod baru bagi jumlah penjualan bagi perkhidmatan ‘bunkering’ (operasi mengisi bahan minyak).

“Singapura merupakan hab ‘bunkering’ terbesar dunia dan kami telah lihat jumlah penjualan minyak ‘bunker’ meningkat 7.5 peratus tahun demi tahun dalam 10 bulan pertama tahun ini,” ujarnya.

Menurut Encik Chee, Inisiatif Perjalanan Bijak (TSJ) yang diperhalusi akan diperluaskan kepada lebih banyak perkhidmatan bas dan diskaun lebih tinggi diberi kepada pengguna dalam perjalanan sebelum waktu sibuk pada 7.45 pagi.

Beliau turut menekankan bahawa pelaksanaan caj berdasarkan jarak tidak akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg