Changi Airport Group (CAG) akan melabur $3 bilion dalam tempoh enam tahun akan datang di Terminal 1 hingga 4 Lapangan Terbang Changi Singapura untuk menambah baik perkhidmatan seperti pengurusan bagasi, pendaftaran masuk, serta hubungan imigresen dan skytrain antara terminal.
Menurut CAG dan Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS), pelaburan itu akan membantu Lapangan Terbang Changi kekal bersaing dan memenuhi permintaan perjalanan udara sebelum Terminal 5 beroperasi pada pertengahan 2030an.
Namun, penumpang dan pesawat di Lapangan Terbang Changi akan membayar harga dan levi lebih tinggi sepanjang enam tahun akan datang, sedang lapangan terbang itu berusaha membiayai rancangan pembaikan itu.
Penumpang yang memulakan perjalanan mereka di Lapangan Terbang Changi akan terus membayar sejumlah $65.20 sebagai harga untuk dua tahun akan datang.
Tetapi ini akan meningkat secara berperingkat dari April 2027, mencecah $79.20 pada April 2030 – kenaikan 21 peratus.
Bagi pengembara yang transit melalui lapangan terbang itu, jumlah bayaran yang dikenakan ke atas mereka akan meningkat lebih seganda, daripada $9 sekarang kepada $21 pada April 2030.
Syarikat penerbangan akan perlu membayar sekitar 40 peratus lebih tinggi untuk mendarat dan meletakkan pesawat mereka di Changi menjelang 2030.
Caj lapangan terbang akan dinaikkan secara berperingkat antara 2025 dengan 2030 bagi membiayai pelaburan ini dan menampung kos operasi yang lebih tinggi seperti tenaga kerja.
Ini juga membantu memulihkan pelaburan besar yang dibuat semasa pandemik Covid-19, seperti peluasan Terminal 2 dan kapasiti kaunter daftar masuk di Terminal 3, apabila caj penumpang dan caj syarikat penerbangan dibekukan.
Bagi membantu syarikat penerbangan dalam peralihan ini, CAG akan menawarkan rebat 50 peratus ke atas kenaikan caj pendaratan, tempat letak pesawat, dan jambatan udara (LPA) selama enam bulan pertama, mulai 1 April 2025 hingga 30 September 2025.
Eksekutif kanan di CAG berkata lapangan terbang itu perlu menambah lebih banyak kapasiti dalam jangka pendek untuk memenuhi jangkaan peningkatan dalam permintaan.
Dengan pembukaan landasan ketiga pada separuh kedua dekad ini, lebih banyak penerbangan akan berlepas dan mendarat di lapangan terbang itu, dan lebih ramai penumpang akan melaluinya, kata eksekutif CAG kepada pemberita pada taklimat pada 7 November.
Justeru, ia jangkakan empat terminal sedia ada di Changi akan beroperasi hampir dengan kapasiti pengendalian maksimumnya iaitu 90 juta penumpang setahun menjelang akhir dekad ini.
Ini sebelum Terminal 5 yang akan datang, yang mampu kendalikan 50 juta penumpang setahun, dibuka pada pertengahan 2030-an untuk melegakan sedikit tekanan.
Dalam tempoh 12 bulan yang berakhir pada September, Lapangan Terbang Changi mengendalikan 65.9 juta penumpang, berbanding 68.3 juta yang dikendalikannya pada 2019.
Pengarah Agung CAAS, Encik Han Kok Juan berkata pihak pengawal selia dan CAG mengambil berat tentang kesan kenaikan levi ke atas pelancong.
“Kami telah menahan kenaikan itu, yang perlu dibuat, selagi kami boleh... Kami telah mengekalkan peningkatan itu sedikit mungkin, dan kami telah cuba untuk melaksanakannya selama bertahun-tahun,” tambahnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg