Pusat Mata Nasional Singapura (SNEC) telah membuka bilik bedah baharu di klinik matanya yang terletak di Hospital Besar Sengkang (SKH) pada awal Mei lalu, sekali gus membolehkan lebih ramai pesakit menerima rawatan di kawasan perumahan.

Ini merupakan bilik bedah ketiga di cawangan berkenaan yang dikhususkan bagi pesakit yang perlu menjalani prosedur seperti pembedahan katarak.

Menurut SNEC, klinik mata di SKH menerima hampir 30,000 kunjungan pesakit setiap tahun, dengan lebih 3,000 pembedahan mata dijalankan pada 2025 di dua bilik bedah sedia ada.

Ketua Klinik Mata SNEC di SKH, Konsultan Kanan Dr Woo Jyh Haur, berkata penambahan bilik bedah baharu itu mampu meningkatkan jumlah pembedahan kepada 5,000 setahun.

Tambah beliau, kemudahan ini akan memberi akses rawatan yang lebih cepat serta memendekkan masa menunggu bagi pesakit.

Pesakit yang tidak tinggal berhampiran SKH tetapi menerima rawatan di pusat utama SNEC di Hospital Besar Singapura (SGH) di Outram, kini boleh memilih menjalani pembedahan katarak di SKH.

“Matlamat kami adalah untuk memastikan proses penjagaan pembedahan di semua lokasi berjalan lancar supaya pesakit boleh menjalani pembedahan di SKH dan meneruskan rawatan susulan biasa di lokasi SNEC yang lain,” kata Dr Woo.

Bagaimanapun, pesakit yang memerlukan rawatan khusus seperti pemindahan kornea akan terus dirujuk ke pusat utama di Outram.

Dr Woo menarik perhatian bahawa sebahagian pesakit masih memilih untuk ke pusat utama kerana tidak tahu mengenai perkhidmatan di SKH, atau salah faham tentang mutu rawatan di sana.

“Mereka mungkin menganggap rawatan yang lebih menyeluruh atau bermutu tinggi hanya ada di pusat utama SNEC.

“Hakikatnya, kami menggunakan kumpulan pakar yang sama dan kemudahan bilik bedah di SKH dilengkapi dengan piawaian yang setara untuk prosedur mata rutin,” jelas beliau.

Pada 2024, klinik SNEC di Sengkang melayani sekitar 4,000 pesakit baharu yang tinggal di kawasan tersebut. Namun, pusat utama di Outram pula menerima kira-kira 5,000 pesakit baharu yang sebenarnya menetap di sekitar Sengkang.

Salah seorang pesakit yang memilih menjalani pembedahan katarak di SKH ialah penduduk Yishun, Cik Lim Beng Hong, 61 tahun.

Beliau dan anaknya, Cik Eileen See, 34 tahun, pada mulanya ke pusat utama di Outram kerana tidak tahu tentang cawangan Sengkang.

Mereka bertukar ke SKH setelah mendapat tahu bahawa doktor pakar yang merawatnya, Dr Woo, juga boleh melakukan pembedahan di sana.

Selepas janji temu pertama pada 2 Januari, Cik Lim berjaya menjalani pembedahan kurang sebulan kemudian, iaitu pada 27 Januari dan 9 Februari.

“Ibu saya cukup gembira. Dalam masa kurang sejam, kami sudah boleh keluar dari klinik. Mereka sangat cekap. Jika kami tahu Sengkang ada klinik mata SNEC dari awal, ia pasti jauh lebih memudahkan,” kata Cik See.