Dahulu seorang pelajar yang pemalu dan kurang yakin untuk mengambil inisiatif, Encik Muhammad Shahid Muhammad Kamal, 24 tahun, kini berazam menjadi individu pertama dalam keluarganya untuk melanjutkan pengajian ke universiti dan merealisasikan cita-citanya sebagai jurutera mekanikal.

Sedang mengikuti Diploma Bekerja dan Belajar (WSDip) dalam Kejuruteraan Sistem Mekanikal di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Barat, Encik Shahid mengakui bimbingan mentornya, Cik Nicole Paranthaman, menerusi program JumpStart telah membantunya membina keyakinan diri.

Pertemuan bulanan mereka mendorong beliau menjadi lebih proaktif di tempat kerja, bertanggungjawab terhadap matlamat sendiri dan berani keluar daripada zon selesa.

Sebelum menyertai JumpStart, Encik Shahid sering berasa kurang yakin untuk mengambil langkah pertama, khususnya apabila berdepan situasi yang tidak biasa.

Beliau yang sebelum ini menamatkan pengajian Higher Nitec dalam Kejuruteraan Transit Laju, memilih diploma bekerja sambil belajar bagi meluaskan pengalaman serta memperoleh pendapatan sambil menimba kemahiran praktikal.

Kini, beliau bekerja dalam bidang pengeluaran komponen farmaseutikal di Tuas, termasuk menyelenggara mesin pengeluaran.

Namun, selain kemahiran teknikal, beliau menyedari pentingnya membina keyakinan dan kemahiran komunikasi untuk menyesuaikan diri dengan alam pekerjaan.

Melalui JumpStart, beliau dipadankan dengan Cik Nicole, 35 tahun, seorang pengurus kemudahan yang juga bekas pelajar ITE.

“Pada mulanya, saya agak pemalu dan tidak banyak berkongsi kerana saya seorang yang introvert. Namun, lama-kelamaan saya semakin selesa berkongsi pandangan dan mendapatkan nasihatnya,” kata Encik Shahid.

Bagi membantu beliau menjadi lebih berdikari, Cik Nicole pernah sengaja membatalkan satu pertemuan tiga hari sebelum tarikh yang dipersetujui dan meminta Encik Shahid mengatur semula pertemuan tersebut.

Walaupun kelihatan seperti tugasan kecil, latihan itu bertujuan menggalakkan beliau mencari penyelesaian sendiri tanpa sentiasa menunggu arahan.

Menurut Cik Nicole, perubahan Encik Shahid semakin ketara apabila beliau mula mengambil inisiatif menyusun pertemuan serta hadir dengan nota dan soalan susulan.

“Saya mahu beliau sedar bahawa mengambil inisiatif tidak semestinya bermula dengan sesuatu yang besar. Kadangkala, ia bermula dengan mencari penyelesaian apabila rancangan berubah,” katanya.

Program JumpStart, yang dilancarkan pada 2025 oleh ITE, The Astronauts Collective dan Yayasan Quantedge Foundation Singapura, bertujuan membantu pelajar ITE membuat persediaan memasuki alam pekerjaan menerusi bimbingan kerjaya dan pembangunan keyakinan diri.

Bagi Encik Shahid, pengalaman itu bukan sahaja membantunya menjadi lebih yakin, malah mengukuhkan tekad untuk melanjutkan pengajian dalam Kejuruteraan Mekanikal.

“Jangan takut untuk bertanya atau mendapatkan bimbingan. Kita tidak perlu mengetahui segala-galanya sejak awal, tetapi yang penting ialah menetapkan matlamat dan terus berusaha mencapainya,” katanya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti