Topik diikuti
Pergi ke BHkuBimbingan tambahan tingkat keupayaan pegawai masjid tangani soalan semasa
Zaqy: Sebahagian usaha perkasa asatizah, perkukuh kepercayaan masyarakat terhadap institusi masjid
Bimbingan tambahan tingkat keupayaan pegawai masjid tangani soalan semasa
Pegawai agama di masjid, yang terdiri daripada asatizah setempat, akan diberi bimbingan tambahan bagi memberi tindak balas kepada soalan keagamaan dan isu baharu dalam masyarakat, kata Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
Mereka juga akan dilengkapi kemahiran mengenal pasti keperluan penjagaan kerohanian di bawah rangka kerja yang sedang dibangunkan lembaga berkanun tersebut.
Dalam kenyataannya pada 10 Oktober, MUIS berkata empat asatizah berpengalaman akan dilantik sebagai Penasihat Pegawai Agama Masjid (MRO) dan akan ditugaskan menjadi mentor kepada MRO di masjid-masjid.
Masjid-masjid di sini dibahagikan kepada empat daerah dan setiap daerah akan mempunyai seorang penasihat.
Menjelas lebih lanjut tentang peranan Penasihat MRO, penolong pengarah unit Kandungan dan Bimbingan Agama (RCG) - sebuah unit baru One Mosque Sector (OMS), Ustaz Dr Muhammad Mubarak Habib Mohamed, berkata jawatan penasihat bukan bertujuan menggantikan peranan MRO.
“Mereka akan membimbing MRO, membantu mereka menangani persoalan agama yang semakin kompleks serta menghubungkan mereka dengan kepakaran dan sumber rujukan agama yang lebih luas di MUIS,” kata beliau, merujuk kepada Pejabat Mufti.
“Mereka juga akan menjadi penghubung antara kepakaran ilmu agama dengan realiti kehidupan masyarakat. Mereka akan membawa isu, keprihatinan dan pengalaman masyarakat di peringkat akar umbi kepada MUIS, agar panduan agama yang diberikan terus mengambil kira keperluan dan realiti kehidupan masyarakat Islam Singapura,” tambahnya.
Terdapa sekitar 190 MRO yang bertugas di masjid-masjid serata Singapura. Menurut MUIS, MRO menggalas pelbagai peranan di masjid, termasuk merancang program dan kurikulum keagamaan di masjid, memimpin solat jemaah dan menangani pertanyaan keagamaan yang diajukan jemaah.
Sementara itu, MUIS juga sedang membangun rangka kerja Penjagaan dan Bimbingan Kerohanian Islam (ISCG) untuk mengukuhkan keupayaan asatizah dan MRO yang bertugas di masjid dalam menyokong individu yang menghadapi cabaran kerohanian dan kehidupan.
Antara lain, rangka kerja ini bertujuan melengkapi asatizah dan MRO untuk mengenal pasti keperluan penjagaan kerohanian, memberi bimbingan kerohanian dan keagamaan yang sesuai, serta menghubungkan individu kepada perkhidmatan masyarakat dan profesional apabila sokongan tambahan diperlukan.
Sebagai permulaan, 20 MRO di empat masjid - Al Mutaqqin, Assyakirin, Darul Ghufran dan Darussalam - sedang menjalani latihan berstruktur dalam penjagaan kerohanian.
Selanjutnya, MUIS akan memperhalusi rangka kerja itu sebelum meluaskan inisiatif tersebut ke seluruh sektor masjid.
Menurut MUIS, rangka kerja ini diharap dapat melengkapi penjagaan profesional yang diberikan kaunselor, karyawan penjagaan kesihatan dan agensi khidmat sosial.
Mengulas lebih lanjut mengenai langkah yang diumumkan untuk memperkukuh MRO dan masjid, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad berkata:
“Semua usaha ini menjadikan masjid kita semakin dekat dengan kehidupan masyarakat. Dan semakin dekat kita dengan masyarakat, semakin kukuh kepercayaan mereka terhadap kita.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya kepada lebih 350 pemimpin masjid dan kariah yang menghadiri Perhimpunan OMS di Safra Choa Chu Kang pada 10 Oktober.
Dalam pada itu MUIS juga mengumumkan kerjasama sektor masjid dengan dua pertubuhan Melayu/Islam, iaitu AMP Singapura dan PPIS.
Menurut MUIS, ia adalah sebahagian usaha lebih besar untuk memperluas kerjasama dengan rakan kongsi dalam masyarakat.
Buat masa ini, sekitar $400,000 daripada Dana Kerjasama Kehidupan Keagamaan dalam Masyarakat (CRL) telah diperuntuk untuk 13 projek melibatkan 17 masjid dan 30 rakan kongsi dalam masyarakat, kata MUIS.
Bersama PPIS, MUIS sedang mengusahakan kajian untuk memahami dengan lebih baik bagaimana masjid-masjid boleh menyokong keperluan warga emas, keluarga dan belia, antaranya dalam isu-isu penjagaan, kesukaran dalam keluarga dan keterasingan sosial.
Empat pegawai pembangunan keluarga (FDO) kini berada di Masjid Al-Khair di Choa Chu Kang, Masjid An-Nur di Marsiling, Masjid Al-Falah di Orchard Road dan Masjid Darul Ghufran di Tampines untuk memberi sokongan kepada pasangan untuk memasuki alam perkahwinan dan keibubapaan menerusi projek ARIF.
Lebih 500 keluarga dijangka memanfaatkan projek tersebut, yang dijalankan bersama oleh MUIS dengan AMP Singapura.
“Kita mahu masjid menjadi tempat rujukan keluarga untuk mendapatkan bantuan sebelum sesuatu masalah menjadi krisis, bukan hanya apabila keadaan sudah meruncing,” kata Encik Zaqy.
“Ibu bapa mempercayakan anak-anak mereka kepada kita. Golongan muda mempercayai asatizah kita dan berkongsi persoalan peribadi mereka. Keluarga menoleh kepada kita ketika menghadapi saat-saat paling sukar dalam kehidupan mereka. Kepercayaan ini amat berharga dan mesti kita pelihara.
“Peristiwa yang berlaku baru-baru ini telah menyedarkan kita betapa peritnya apabila kepercayaan itu dikhianati. Sebuah ruang suci telah disalahgunakan. Golongan muda yang mencari bimbingan telah dikhianati kepercayaan mereka. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku sama sekali.”
Usaha memperkukuh masjid dan mendekatkan masjid dengan masyarakat
- Empat Penasihat Pegawai Agama Masjid (MRO) akan dilantik bagi menghubungkan Pejabat Mufti dengan masjid-masjid yang dibahagikan kepada empat daerah. Mereka akan memberi panduan yang sesuai dengan konteks tempatan, dan membimbing MRO bagi mendekatkan lagi kepakaran dan bimbingan yang dipercayai kepada masyarakat.
- Rangka kerja Penjagaan dan Bimbingan Kerohanian Islam (ISCG) akan melengkapi asatizah untuk mengenal pasti keperluan kerohanian, memberi penjagaan yang sesuai dan membimbing individu ke sokongan yang tepat.
- Empat masjid - Masjid Al-Khair di Choa Chu Kang, Masjid An-Nur di Marsiling, Masjid Al-Falah di Orchard Road dan Masjid Darul Ghufran di Tampines - kini mempunyai pegawai pembangunan keluarga (FDO) bagi memberi sokongan kepada pasangan, ibu bapa dan keluarga.
- MUIS dan masjid sedang mengembangkan rangkaian kariah untuk menjangkau penduduk yang mungkin kurang terhubung kepada program masjid.