Selain Ustazah Dr Rohana Ithnin, Ustazah Zuwainah Mohamed Kamalutheen juga salah seorang daripada dua Hakam wanita pertama yang baru dilantik di Majlis Pelantikan Hakam dan Wakil Kanak-kanak Mahkamah Syariah, di Hotel Parkroyal Beach Road pada 17 April.

Ustazah Zuwainah merupakan Pekerja Sosial yang memegang ijazah Sarjana Muda dalam Kerja Sosial daripada Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dan ijazah Sarjana Muda dalam Perundangan Islam daripada Universiti Al-Azhar di Mesir.

Dengan pengalaman lebih 15 tahun dalam kerja sosial dan pendidikan agama, beliau telah berkhidmat sebagai petugas kes atau ‘case worker’ di Pusat Khidmat Keluarga bahagian Timur PPIS.

Ini di samping menjadi Pegawai Pembangunan Sosial di Masjid En-Naeem, yang terletak di 120 Tampines Road, di mana beliau mentadbir program bersangkutan zakat, kelolaan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dan menjalankan penilaian keluarga.

Latar belakangnya yang luas termasuk mengurus kes untuk keluarga rentan, menyelaras program jangkauan masyarakat dan menyediakan khidmat keagamaan.