Topik diikuti
Pergi ke BHkuSifat amanah, sumbang kepada masyarakat pacu semangat Hakam wanita pertama S’pura
Sifat amanah, sumbang kepada masyarakat pacu semangat Hakam wanita pertama S’pura
Peranan penting dengar secara aktif, cari penyelesaian masalah rumah tangga pasangan ingin cerai
Sifat amanah, sumbang kepada masyarakat pacu semangat Hakam wanita pertama S’pura
Meskipun Ustazah Dr Rohana Ithnin mencipta sejarah sebagai salah seorang daripada dua Hakam wanita pertama di Singapura, beliau tidak melihatnya sebagai batu loncatan besar.
Sebaliknya, pensyarah bebas itu melihatnya sebagai satu amanah besar dan pemacu semangat untuk menyumbang kepada masyarakat.
Hakam merupakan asatizah yang dilantik Mahkamah Syariah di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) 1966 untuk menyelesaikan pertikaian rumah tangga bagi pasangan yang ingin bercerai.
Pencapaian ini bukanlah satu perkara baharu bagi Ustazah Dr Rohana.
Beliau merupakan anggota wanita pertama yang dilantik dalam Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) pada 2019 – yang masih beliau galas bagi penggal terkini.
Katanya: “Saya melihat bahawa (pelantikan sebagai Hakam) ini bukan satu pencapaian yang memecah tembok sempadan.
“Tetapi ia lebih kepada menunaikan satu amanah dan memberi sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan.”
Beliau berkata demikian kepada Berita Harian (BH) sebelum Majlis Pelantikan Hakam dan Wakil Kanak-kanak Mahkamah Syariah (SYC) di Hotel Parkroyal Beach Road pada 17 April.
Majlis itu menyaksikan pelantikan 22 Hakam – 20 lelaki dan dua wanita, dengan seorang lagi Hakam wanita merupakan pekerja sosial, Ustazah Zuwainah Kamalutheen – dan empat Wakil Kanak-kanak bagi penggal 1 April 2026 hingga 31 Mac 2029.
Acara ini dihadiri Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim dan Presiden Kanan SYC, Ustaz Irwan Hadi Mohd Shuhaimy.
Ustazah Dr Rohana berkata beliau akan memanfaatkan pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang ukhrawi dan sosial bagi membantunya memahami nuansa dan konteks dengan lebih terperinci apabila melakukan timbang tara sebagai Hakam.
Mentelah selain menjadi pendakwah dan pensyarah agama, beliau terlibat sama sebagai pendamping kepada pasangan dalam program sokongan perkahwinan, Bersamamu, dan menawarkan sokongan kepada individu melalui inisiatif Asatizah Solace Care, kelolaan Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas).
Beliau berkata interaksi bersama individu merentasi segenap inisiatif yang diceburinya penting kerana ia menyuntik perspektif berbeza, sekali gus mempengaruhi pendekatan terhadap kes-kes yang bakal dikendali olehnya.
Ustazah Dr Rohana akur dalam menyelesaikan pertikaian rumah tangga, prinsip bagi kes-kes yang berbeza mungkin berkongsi persamaan, tetapi realiti sebenar yang dialami pasangan dalam kes sedemikian sangat berbeza.
“Kita harus meletakkan sesuatu itu berdasarkan perspektif individu tersebut.
“Kita tidak boleh bandingkan individu itu dengan kes-kes lain,” ujarnya.
Oleh demikian, beliau menekankan teras yang akan beliau terapkan sebagai seorang Hakam baharu – merangkumi aspek mendengar secara aktif, sifat empati, memberi kata-kata pengesahan dan mencari penyelesaian.
Katanya lagi: “Peranan Hakam ini bukan sekadar duduk bersama kedua-dua pihak (pasangan) atas dasar aspek teknikal dan ia bukan sama sekali untuk mencari siapa yang salah.
“Kita perlu faham konteks, emosi, realiti kehidupan kedua-dua pihak.
“Kemudian, bagaimana kita ingin cari penyelesaian setelah kita… membuka ruang bagi mendengar dengan lebih jelas dan mencari suluh – iaitu perdamaian dengan adil lagi ihsan.”
