Perkhidmatan perkongsian kereta elektrik BlueSG menawarkan penggunanya pengecualian (waiver) langganan selama sebulan, beberapa minggu selepas meminta maaf atas gangguan perkhidmatan yang meluas dan gangguan teknikal yang mengakibatkan pengguna dikenakan bayaran sewa kereta berlebihan.
Pengecualian langganan akan meliputi kitaran pembayaran bagi 1-31 Januari, menurut syarikat itu dalam e-mel kepada pelanggan yang dilihat oleh The Business Times (BT).
“Kami ingin mengucapkan terima kasih yang tulus atas kepercayaan dan sokongan berterusan anda, walaupun dalam keadaan yang mencabar baru-baru ini. Kami tahu kami tidak memenuhi jangkaan anda, sesuatu yang amat kami kesali dan komited membetulkan keadaan.”
BlueSG juga sedang menimbangkan untuk memberi pampasan lanjut kepada pengguna yang terjejas teruk oleh gangguan perkhidmatan termasuk mereka yang menggunakan perkhidmatan premiumnya.
“Harap yakin bahawa pasukan kami telah menguruskan tindakan pembetulan dalam memperbaiki keadaan semasa dan memulihkan pengalaman pengguna anda,” tambahnya.
Pada 22 Disember lalu, syarikat itu memohon maaf atas gangguan dalam aplikasinya dan mengaitkan gangguan itu dengan kemas kini migrasi sistem pada 19 Disember 2023.
Menurut syarikat tersebut dalam catatan Facebook ketika itu, ia akan mengetepikan yuran sewa bagi perjalanan terjejas yang melebihi 48 jam.
Selain gangguan sistem yang menyebabkan pengguna dikenakan bil untuk tempoh lebih 48 jam walaupun menyewa hanya untuk tempoh yang singkat, pengguna BlueSG juga melaporkan bahawa kereta yang sedia ada untuk ditempah tidak didapati di lot.
Kereta yang tidak ada dalam aplikasi pula didapati diletakkan di lot kerana pengguna tidak dapat menamatkan tempahan mereka.
BlueSG telah diambil alih oleh syarikat pemajakan kenderaan Goldbell Group untuk jumlah yang tidak didedahkan pada 2021.
Pada masa itu, Goldbell Group mengumumkan rancangan untuk melabur $70 juta dalam tempoh lima tahun untuk menyegarkan dan mengembangkan armada kenderaan elektrik BlueSG. Daripada jumlah ini, 60 peratus atau $40 juta akan diperoleh menjelang 2023.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg