Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bohong cuba salah guna beg diplomatik: Rayuan ketua pengarah MFA ditolak

Feb 10, 2025 | 7:51 PM
Gilbert Oh Hin Kwan telah mula menjalani hukuman penjara seminggu setelah rayuannya terhadap hukuman itu ditolak oleh makhamah.
Gilbert Oh Hin Kwan telah mula menjalani hukuman penjara seminggu setelah rayuannya terhadap hukuman itu ditolak oleh makhamah. - Foto ST

Seorang ketua pengarah di Kementerian Ehwal Luar (MFA) yang berbohong mengenai percubaannya menyalah guna perkhidmatan beg diplomatik telah mula menjalani hukuman penjara pada 10 Februari. 

Ini setelah Mahkamah Tinggi menolak rayuannya terhadap hukuman penjara seminggu itu.

Beg diplomatik digunakan untuk menghantar surat dan barangan rasmi dari atau kepada pihak kementerian dan pejabat di luar negara seperti pejabat kedutaan dan konsulat.

Atas urusan diplomatik ini, beg ini dilindungi dan tidak boleh dibuka atau dirampas oleh pegawai kastam.

Gilbert Oh Hin Kwan, 46 tahun, dihukum penjara selama seminggu oleh hakim daerah pada Mei 2024, walaupun kedua-dua pihak, pendakwaan dan pembelaan, menggesa makhamah mengenakan denda sahaja.

Pada waktu itu, Hakim Daerah, Cik Sharmila Sripathy-Shanaz, berkata tidak wajar untuk mengenakan hukuman denda sahaja.

Ini kerana “kesan serius yang bakal berlaku terhadap integriti perkhidmatan awam dan MFA di dalam negara – dari segi proses penyiasatan dalamannya terjejas – dan di luar negara mewajarkan hukuman penjara sebagai permulaan”.

Pihak pendakwaan meminta denda antara $6,000 dengan $9,000 sementara peguam Oh sebelum ini meminta denda kurang $5,000. 

Oh kemudian merayu terhadap hukuman penjara itu. 

Pada perbicaraan rayuan pada Oktober 2024, peguamnya, Peguam Kanan Tan Chee Meng, berkata terdapat persetujuan bahawa pihak pendakwaan akan meminta hukum denda jika anak guamnya mengaku bersalah memberi maklumat palsu kepada penjawat awam.

Beliau juga mempersoal mengapa pihak pendakwaan menukar pendirian mereka terhadap rayuan tersebut dan mahu hukuman penjara seminggu itu dikekalkan.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Tan Pei Wei membalas bahawa pihak pendakwaan tidak dihalang daripada mempertahankan keputusan mahkamah yang “mematuhi undang-undang dan munasabah dipertahankan”.

Pada 10 Februari, Hakim Makhamah Tinggi, Dedar Singh Gill, menolak rayuan Oh dan berkata hakim daerah telah menyelidik fakta dan undang-undang kes tersebut dengan betul.

Encik Gill membenarkan permintaan Oh untuk bercakap bersama keluarga dan rakan-rakannya di mahkamah.

Sebagai menjawab pertanyaan akhbar The Straits Times (ST), seorang jurucakap MFA berkata Oh kini sedang bercuti tanpa gaji.

“MFA memandang serius sebarang salah laku pegawai kami dan akan memulakan prosiding tatatertib dalaman sekarang setelah kes mahkamah selesai,” kata jurucakap itu.

Oh berusaha menggunakan perkhidmatan beg diplomatik untuk menghantar bungkusan mengandungi jam tangan mewah dari China ke Singapura untuk seorang rakan.

Rakan itu, yang dikenal pasti dalam dokumen mahkamah sebagai Cik Jiang Si, bukan seorang diplomat.

Pada 12 Januari 2023, Oh menghubungi rakan sekerjanya, Encik Dion Loke Cheng Wang, yang ketika itu bertugas di Kedutaan Singapura di Beijing. Dia berbohong kepada Encik Loke, mendakwa ibu bapa rakannya – seorang diplomat China – mahu “sesuatu dalam pakej” yang dihantar kepada Oh di Singapura.

Oh meminta bantuan Encik Loke untuk menghantarnya dari Beijing ke Singapura melalui perkhidmatan beg diplomatik, dan Encik Loke bersetuju dengan permintaan itu.

Bungkusan itu mengandungi 21 jam tangan mewah, sebentuk cincin dan tujuh buku kanak-kanak, kesemuanya milik Cik Jiang dan pasangannya.

Ia ditemui oleh pegawai imigresen selepas Encik Loke ditahan untuk pemeriksaan beg.

Ketika diminta menjelaskan perkara itu, Oh berbohong kepada Encik Ong Eng Chuan, Timbalan Setiausaha (Pengurusan) MFA, jam tangan itu milik bapanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg