Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengarah MFA dijel 7 hari kerana beri maklumat palsu, salah guna beg diplomatik

May 20, 2024 | 5:07 PM
Pada April lalu, Gilbert Oh Hin Kwan mengaku bersalah berbohong kepada timbalan setiausaha (pengurusan) Kementerian Ehwal Luar Singapura tentang penggunaan khidmat beg diplomatik.
Pada April lalu, Gilbert Oh Hin Kwan mengaku bersalah berbohong kepada timbalan setiausaha (pengurusan) Kementerian Ehwal Luar Singapura tentang penggunaan khidmat beg diplomatik. - Foto ST

Seorang ketua pengarah di Kementerian Ehwal Luar (MFA) yang memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam mengenai penggunaan beg diplomatik dijatuhkan hukuman penjara seminggu pada 20 Mei.

Pada April lalu, Gilbert Oh Hin Kwan, 45 tahun, mengaku dia telah berbohong kepada Encik Ong Eng Chuan, timbalan setiausaha (pengurusan) MFA pada 19 Januari 2023.

Dua tuduhan menipu yang dihadapi Oh yang melibatkan penggunaan perkhidmatan beg diplomatik akan dipertimbangkan waktu penjatuhan hukuman.

Beg diplomatik digunakan untuk menghantar surat-surat rasmi dan barangan ke dan dari kementerian dan pejabat luar negara, seperti kedutaan atau konsulat.

Ia dimeterai dan dilindungi oleh kekebalan diplomatik dan tidak boleh dibuka, diperiksa atau dirampas oleh pegawai Kastam.

Dalam penghakimannya, Hakim Daerah, Sharmila Sripathy-Shanaz berkata: “Kewibawaan perkhidmatan awam dan MFA berpotensi mengalami kesan yang serius di dalam negara – proses penyiasatan dalamannya akan terjejas – dan di peringkat antarabangsa, ia wajar diberi hukuman penjara sebagai permulaan.”

Pihak pendakwaan sebelum ini menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman denda antara $6,000 dan $9,000 kepada Oh, sambil menambah bahawa pembohongannya tidak membazirkan sumber penyiasatan memandangkan dia mengaku bersalah kepada Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dalam tempoh 24 jam.

Oh diwakili peguam Shashi Nathan dan Harjeet Kaur dari Withers KhattarWong, yang meminta anak guam mereka dikenakan denda kurang daripada $5,000, sambil menegaskan tertuduh “tidak ada niat jahat atau faedah peribadi untuk diperolehi”.

Namun pada 20 Mei, hakim berkata, walaupun beliau menyetujui bahawa tiada sebarang bahaya dihasilkan daripada kenyataan palsu Oh, mahkamah mesti mempertimbangkan sama ada kenyataan itu berpotensi menyebabkan kemudaratan ataupun tidak.

Beliau menambah bahawa berdasarkan Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961, peruntukan yang dinyatakan di Singapura dalam Akta Perhubungan Diplomatik dan Konsular 2005, beg diplomatik sepatutnya “hanya mengandungi dokumen atau artikel diplomatik yang bertujuan untuk kegunaan rasmi” dan “tidak boleh dibuka atau ditahan” supaya komunikasi antara misi dan konsulat sebuah negara dapat dilindungi.

Hakim berkata, permintaan Oh ingin menggunakan perkhidmatan beg diplomatik untuk menghantar jam tangan mewah dari China ke Singapura tanpa mendedahkan pemilik sebenar kepada MFA dan penerima bungkusan itu, “bukan sekadar satu pelanggaran serius terhadap perkhidmatan beg diplomatik, tetapi tidak dibenarkan”.

Beliau juga menegaskan penipuan itu dibuat untuk menghalang siasatan dalaman MFA.

Oh mula terbabit dengan pihak berkuasa apabila dia ingin membantu rakan wanitanya, yang merupakan warga China, menghantar jam tangannya dari China ke Singapura.

Pihak pendakwaan berkata, rakannya itu, yang dikenal pasti dalam dokumen mahkamah sebagai Cik Jiang Si, bukan seorang diplomat.

Pada 12 Januari 2023, Oh menghubungi rakan sekerjanya dan juga mangsa pembohongan Oh, Encik Dion Loke Cheng Wang, yang ketika itu bertugas di Kedutaan Singapura di Beijing. Oh mendakwa ibu bapa rakannya – seorang diplomat China – mahu menghantar bungkusan kepada Oh di Singapura.

Oh juga memberikan alamat kediaman Encik Loke di Beijing kepada Cik Jiang, dan dia mengaturkan bungkusan itu dihantar kepada Encik Loke.

Oh meminta bantuan Encik Loke untuk menghantarnya dari Beijing ke Singapura melalui perkhidmatan beg diplomatik, dan Encik Loke menyetujui permintaan itu.

Ia mengandungi 21 jam tangan mewah, sebentuk cincin, dan tujuh buku kanak-kanak, milik Cik Jiang dan pasangannya, Encik Liu Liang. Pihak pendakwaan tidak mendedahkan nilai barangan tersebut.

Ketika itu, Oh tidak mengetahui bilangan jam tangan atau kandungan sebenar bungkusan itu.

Pada prosiding awal, Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Tan Pei Wei memberitahu mahkamah: “Dion tidak mengatur untuk menghantar bungkusan itu ke Singapura melalui perkhidmatan beg diplomatik, kerana ia digantung pada masa itu.

“Pada 17 Januari 2023, Dion menaiki penerbangan dari China ke Singapura dan membawa bungkusan itu di dalam bagasi peribadinya.”

Kesalahan itu terbongkar apabila pegawai dari Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menahan Encik Loke untuk pemeriksaan beg sejurus sebelum jam 12 tengah malam dan bungkusan itu ditemui.

“Dion memberitahu pegawai bahawa dia tidak mengetahui kandungan bungkusan itu (dan bahawa) dia telah menerimanya daripada seorang diplomat China dan membawanya kembali untuk (Oh),” kata DPP Tan.

Perkara itu kemudiannya dirujuk kepada Pasukan Polis Singapura dan Encik Loke telah disoal siasat di tempat kejadian. Dia dibebaskan sekitar 4 pagi.

MFA telah dimaklumkan hal itu pada pagi 19 Januari 2023, Encik Ong meminta Oh untuk memberikan akaun bertulis mengenai alasan mengapa Encik Loke membawa bungkusan dan jam tangan itu ke Singapura.

Oh menjadi bimbang tentang tindakan disiplin yang akan diambil terhadapnya kerana ia mungkin akan memberi kesan kepada kerjayanya.

Dia memutuskan untuk memberitahu MFA bahawa jam tangan itu adalah milik bapanya, kerana dia percaya pihak kementerian akan berlembut dalam hal itu. Dia kemudian beritahu bapanya tentang kejadian ini.

Oh memberitahu bapanya dia berniat untuk memberitahu MFA bahawa jam tangan itu adalah milik bapanya, dan dia yang meminta bantuan untuk membawanya ke Singapura.

Dalam e-mel kepada Encik Ong sekitar jam 6.30 petang hari itu, Oh berbohong dengan mengatakan jam tangan itu milik bapanya, dan beliau telah meminta agar Oh bantu bawa jam tangan itu ke sini.

CPIB mula meyiasat kes itu pada 19 Januari 2023 dan Oh tetap berbohong dalam kenyataan pertamanya kepada agensi itu.

Beliau mendedahkan perkara sebenar dalam kenyataan keduanya kepada CPIB sebelum 10.30 pagi keesokan harinya.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, MFA berkata, Oh telah bercuti tanpa gaji semasa siasatan sedang dijalankan. Mereka tidak menyatakan tarikh siasatan bermula.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg