Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Boleh guna kredit SkillsFuture untuk lebih 30,000 kursus dalam talian baru

Laporan Coursera: Pengguna berpangkalan di S’pura di tempat ke-12 di dunia, kedua di Asia-Pasifik dalam kecekapan kemahiran
Aug 28, 2024 | 1:31 PM
Mulai 28 Ogos, rakyat Singapura boleh menggunakan kredit SkillsFuture untuk mengimbangi yuran langganan 12 bulan di platform Coursera dan Udemy Business untuk mengikuti pelbagai kursus mengenai topik seperti sains data, pengurusan perniagaan dan kecerdasan buatan (AI). 
Mulai 28 Ogos, rakyat Singapura boleh menggunakan kredit SkillsFuture untuk mengimbangi yuran langganan 12 bulan di platform Coursera dan Udemy Business untuk mengikuti pelbagai kursus mengenai topik seperti sains data, pengurusan perniagaan dan kecerdasan buatan (AI).  - Foto ST

Mulai 28 Ogos, rakyat Singapura boleh mengakses lebih 30,000 kursus baru di dua wadah pembelajaran dalam talian menggunakan kredit SkillsFuture mereka.

Pelajar boleh mengimbangi yuran langganan 12 bulan di platform Coursera dan Udemy Business untuk mendapatkan akses kepada kursus mengenai topik seperti sains data, pengurusan perniagaan dan kecerdasan buatan (AI).

Langganan Coursera memberikan akses kepada lebih 7,700 kursus, 2,500 projek berpandu – tutorial untuk kemahiran baru – dan 130 sijil profesional, manakala langganan Udemy akan memberikan akses kepada 27,000 kursus dalam talian.

Warga Singapura berumur 25 tahun ke atas boleh mengimbangi yuran langganan untuk kedua-dua wadah dengan menggunakan kredit pembukaan SkillsFuture sebanyak $500 dan tambah nilai sekali sahaja sebanyak $500 yang diberikan pada 2020, lapor The Straits Times.

Langganan boleh dituntut melalui portal MySkillsFuture.

Pelajar Singapura boleh mula mendaftar untuk kursus yang ditawarkan oleh Coursera dari 28 Ogos hingga 25 September, kerana pendaftaran dibuka setiap suku tahun.

Pilihan pendaftaran dan pembelian langganan Coursera tersedia pada bila-bila masa, dan tiada had untuk bilangan individu yang boleh mendaftar untuk kursus.

Coursera mempunyai lebih sejuta pelajar berpangkalan di Singapura, kata pengarah urusannya bagi Asia-Pasifik, Encik Raghav Gupta, dengan syarikat itu melihat rekod pendaftaran dalam kursus AI generatif (GenAI) pada 2024.

“(Keupayaan menggunakan kredit SkillsFuture) diharapkan melengkapkan penerimaan yang telah kami lihat di Singapura,” tambahnya.

Pengguna berpangkalan di Singapura menduduki tempat ke-12 di dunia dan kedua di Asia-Pasifik dalam kecekapan kemahiran, kata Encik Gupta, berkongsi dapatan laporan kemahiran sejagat tahunan Coursera.

Kedudukan ini mewakili prestasi pelajar merentasi pelbagai negara dalam bidang perniagaan, teknologi dan sains data.

Negara-negara disenaraikan mengikut kecekapan kemahiran, serta penunjuk lain, seperti penerapan kemahiran kepada inovasi, penyertaan tenaga buruh, indeks modal insan dan Hasil Dalam Negari Kasar (GDP) per kapita.

Pelajar di Singapura berada di kedudukan ke-11 di seluruh dunia dalam kecekapan mereka dalam kemahiran perniagaan dan teknologi, dan ke-15 dalam kemahiran sains data.

Lima kemahiran teratas di Singapura ialah epidemiologi, teknologi kewangan (fintech), daya tahan, rantaian blok (blockchain) dan pengurusan pelaburan.

Laporan tahunan kemahiran sejagat Coursera, yang meliputi lebih 148 juta pelajar dan 7,000 rakan kongsi institusi, merakamkan trend dalam landskap pembelajaran seperti kemahiran baru muncul.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg