Skim baru yang menyediakan bantuan kewangan sementara kepada individu yang menganggur tanpa pilihan akan menyokong pekerja yang berasa bimbang kehilangan pekerjaan mereka, lebih-lebih lagi dalam dunia yang pesat berkembang dengan kemunculan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), kata Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) Encik Ng Chee Meng.
Di bawah Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture itu – diumumkan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan pada 18 Ogos – individu berpendapatan rendah dan pertengahan yang menganggur tanpa pilihan, seperti diberhentikan kerja atau kehilangan kerja kerana syarikat gulung tikar, boleh menerima bantuan sementara sehingga $6,000 dalam tempoh enam bulan.
Bantuan akan diberikan secara berperingkat, bermula dengan sehingga $1,500 dalam bulan pertama sokongan disediakan sebelum berkurangan kepada $1,250 pada bulan kedua; $1,000 pada bulan ketiga; dan $750 setiap bulan dari bulan keempat hingga keenam.
Namun, ini dengan syarat individu itu mencari pekerjaan baru secara aktif, seperti memohon pekerjaan, menghadiri sesi bimbingan kerjaya atau menyertai kursus latihan yang layak.
Bersama dengan sokongan $72,000 sepanjang tempoh 24 bulan yang disediakan di bawah Program Peningkatan SkillsFuture untuk menyokong pembelajaran pekerja, Encik Ng berkata pekerja disediakan pelbagai bantuan untuk terus maju.
“Jika anda diberhentikan kerja, anda boleh mendapatkan bantuan sehingga $6,000 itu.
“Jika anda tidak diberhentikan kerja tetapi mahu menukar kerjaya dan mempertingkat kemahiran, terdapat pelbagai pakej untuk menyokong anda,” kata beliau, yang hadir di satu acara Siri Bimbingan Kerjaya Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) pada 27 Ogos.
Acara itu turut dihadiri Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, yang telah memberi butiran lanjut tentang Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture bakal dilancarkan pada April 2025 itu.
Encik Ng berkata NTUC mengambil masa 10 tahun memperjuangkan daya usaha menyediakan sokongan untuk pekerja yang menganggur tanpa pilihan, sambil menambah ia satu “detik penting” tatkala pemerintah mengambil kira pandangan NTUC dan mengumumkan skim baru itu.
Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture baru itu dibentuk menyusuli kajian dan perbincangan bersama NTUC dan Gerakan Pekerja yang telah lama memperjuangkan daya usaha itu.
Dr Tan, semasa berucap di acara siri bimbingan kerjaya itu, berkata pemerintah telah mengkaji saranan dan maklum balas yang dikemukakan dengan teliti dalam mereka skim tersebut.
Sedang negara lain menawarkan insurans pengangguran, ia tidak selalu memberi kesan positif memandangkan ia boleh menjadikan ia lebih menarik bagi individu untuk kekal tanpa pekerjaan, kata beliau.
Pemerintah turut mempertimbangkan maklum balas mengenai kos perniagaan yang meningkat, dengan Dr Tan menambah bahawa pemerintah tidak mahu majikan menanggung kos skim insurans dengan memotong gaji atau dengan menghentikan amalan memberikan faedah pemberhentian kerja.
Itu sebabnya pemerintah mencari alternatif yang lebih baik untuk mengurangkan kesan negatif yang dilihat di negara lain, kata beliau yang juga Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan.
“Titik permulaan kami adalah untuk menyokong pencari kerja yang terjejas untuk bangkit semula mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahiran dan pengalaman mereka, dan bukannya tergesa-gesa mendapatkan pekerjaan sedia ada yang seterusnya.
“Namun, pada masa yang sama, kami tidak mahu pencari kerja yang terjejas untuk menangguhkan usaha kembali ke dalam tenaga kerja, yang akan mengurangkan daya kerja mereka.
“Skim ini bertujuan mencapai keseimbangan yang teliti ini,” kata beliau.
Dr Tan berkata sokongan sehingga $6,000 di bawah Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture itu tidak harus dilihat secara terasing.
Beliau menekankan bahawa skim itu bukan skim bantuan sosial, dan kuantum $6,000 itu ditentukan untuk memberikan jaminan tambahan kepada individu yang sedang mencari pekerjaan.
Di samping itu, terdapat pelbagai skim lain yang disediakan pemerintah untuk menyediakan sokongan kewangan kepada mereka yang sedang menjalani latihan peningkatan kemahiran atau sedang mengalami cabaran kewangan.
Contohnya, Dr Tan berkata Program Peningkatan SkillsFuture akan menyokong mereka yang menjalani latihan untuk tempoh berlanjutan.
“Seorang pekerja matang dengan gaji $5,000 sebulan yang hilang pekerjaan boleh memohon bagi kedua-dua Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture dan program latihan jangka panjang sepenuh masa.
“Jika dia secara serentak mencari pekerjaan dan menjalani latihan, dia akan layak bagi kedua-dua pembayaran sokongan pencari kerja dan elaun latihan di bawah Program Peningkatan SkillsFuture.
“Dalam tempoh enam bulan, dia akan menerima sehingga $21,000, merangkumi elaun latihan sekitar $15,000, dan pembayaran sokongan pencari kerja sebanyak $6,000,” kata beliau.
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dan Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dalam satu kenyataan menambah bahawa pencari kerja dari isi rumah yang berdepan cabaran kewangan juga boleh mendapatkan sokongan melalui skim bantuan sosial lain, seperti skim Bantuan Tempoh Pendek hingga Pertengahan ComCare.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg