Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bonus akhir tahun 1.05 bulan bagi penjawat awam

Pegawai gred rendah dapat tambahan $600, pemerintah akan terus guna ‘pendekatan progresif’ tentukan pembayaran bonus
Nov 25, 2024 | 7:42 PM
Penjawat awam akan mendapat bonus akhir tahun sebanyak 1.05 bulan, dengan pegawai rendah setara gred MX15 dan MX16 serta mereka di bawah Skim Sokongan Operasi akan menerima bayaran tambahan satu kali berjumlah $600, umum Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) dalam satu kenyataan pada 25 November.
Penjawat awam akan mendapat bonus akhir tahun sebanyak 1.05 bulan, dengan pegawai rendah setara gred MX15 dan MX16 serta mereka di bawah Skim Sokongan Operasi akan menerima bayaran tambahan satu kali berjumlah $600, umum Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) dalam satu kenyataan pada 25 November. - Foto ST

Penjawat awam akan mendapat bonus akhir tahun sebanyak 1.05 bulan, dengan pegawai rendah setara gred MX15 dan MX16 serta mereka di bawah Skim Sokongan Operasi akan menerima bayaran tambahan satu kali berjumlah $600.

Demikian umum Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) dalam satu kenyataan pada 25 November.

Menurut PSD, termasuk bonus pertengahan tahun 0.45 bulan, penjawat awam akan menerima bonus 1.5 bulan bagi 2024, meningkat daripada 0.9 bulan pada 2023.

Pegawai gred rendah menerima bayaran tambahan sehingga $250 pada Jun – secara keseluruhan, mereka akan menerima sehingga $850 pada 2024.

Pemerintah akan terus menggunakan “pendekatan progresif” dalam menentukan pembayaran bonus, selaras dengan saranan Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) untuk menaikkan gaji pekerja yang bergaji rendah, tambah PSD.

PSD menjelaskan bahawa pembayaran akhir tahun ini juga mengambil kira prestasi ekonomi Singapura yang lebih baik daripada jangkaan dalam tiga suku pertama tahun ini, serta situasi ekonomi global dan domestik terkini.

Ramalan pertumbuhan GDP (Hasil Dalam Negeri Kasar) Singapura bagi 2024 dinaikkan kepada sekitar 3.5 peratus daripada perangkaan sebelum ini, iaitu 2 hingga 3 peratus, umum Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada 22 November dalam satu kenyataan.

Data awal pasaran pekerja oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Oktober juga menunjukkan bahawa perangkaan guna tenaga penuh (total employment) Singapura bagi tempoh Julai hingga September meningkat sebanyak 24,100 – lebih dua kali ganda daripada pertumbuhan 11,300 pada suku kedua.

Sementara itu, kadar pengangguran pada September kekal rendah pada 1.8 peratus, manakala jumlah pemberhentian pada suku ketiga turun 11.3 peratus kepada 2,900 daripada 3,270 pada suku kedua.

Setiausaha Agung Gabungan Kesatuan Pekerja Awam (AUPE), Encik Sanjeev Kumar Tiwari, berkata ia “adalah penting apabila ekonomi kita berkembang dengan baik, penjawat awam kita yang telah menyumbang kepada kejayaan ini diberi ganjaran sewajarnya”.

Bayaran tambahan sekali ini juga akan membantu pegawai rendah menguruskan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan kesatuan sektor awam juga menyokong keputusan pembayaran bonus sedemikian, kata Timbalan Setiausaha Agung NTUC, Cik Cham Hui Fong.

Beliau berkata bonus akhir tahun tersebut “mencerminkan pertumbuhan ekonomi paling kukuh Singapura sejak 2021 dan mengiktiraf sumbangan penjawat awam tahun ini”.

Beliau juga menggalakkan penjawat awam untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan mereka melalui program peningkatan kemahiran bagi memastikan mereka kekal berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

PSD berkata pemerintah juga akan terus membayar elaun tahunan tidak berpencen sebulan, atau bonus 13 bulan, kepada semua penjawat awam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg