Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPH Media, Encik Chan Yeng Kit, 59 tahun, akan bersara daripada perkhidmatan awam pada 1 Januari 2025 selepas berkhidmatan selama 38 tahun, kata Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) dalam satu kenyataan media pada 8 November.
Melahirkan penghargaan beliau kepada Encik Chan, Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing, berkata:
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yeng Kit atas kecemerlangan dan sumbangan beliau kepada perkhidmatan awam.
“Beliau telah berkhidmat dengan cemerlang dalam pelbagai organisasi yang berbeza sepanjang tahun perkhidmatannya dengan berdedikasi.”
Encik Chan memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam pada 1989 dan memegang pelbagai jawatan penting dalam kementerian dan agensi.
Sejak itu beliau telah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi Penguasa Pembangunan Infokom Singapura (IMDA) pada 2005; serta Setiausaha Tetap termasuk di bekas Kementerian Penerangan, Perhubungan dan Kesenian, serta Setiausaha Tetap bagi Pertahanan, antara lain.
Semasa dilantik sebagai Setiausaha Tetap (Kesihatan) pada 2019, Encik Chan menyelia perancangan dan pelaksanaan dalam usaha menentang pandemik Covid-19.
Ini termasuk melaksanakan langkah pengurusan jarak selamat Covid-19, mengekalkan tenaga kerja penjagaan kesihatan dan melaksanakan pelan hala tuju bagi membolehkan kegiatan ekonomi dan sosial kembali normal.
Beliau turut memainkan peranan penting dalam beberapa daya usaha utama negara yang antaranya termasuk SG Lebih Sihat, satu inisiatif nasional yang memberi tumpuan kepada kesihatan pencegahan.
Sebagai mengiktiraf sumbangan beliau dalam perkhidmatan awam, Encik Chan dianugerahkan Pingat Jasa Gemilang pada 2022.
Sementara itu, PSD turut mengumumkan pelantikan Encik Luke Goh Peng, 49 tahun, yang akan menyandang jawatan Setiausaha Tetap (Pembangunan) dan mengekalkan jawatannya sebagai Setiausaha Tetap (Undang-undang) mulai 1 Disember 2024.
Encik Loh Ngai Seng, 53 tahun, pula dilantik Setiausaha Tetap (Pembangunan Negara), manakala Encik Lau Peet Meng, 49 tahun, akan dilantik semula sebagai Setiausaha Tetap (Pengangkutan) bermula pada 11 Disember 2024.
Encik Loh telah berkhidmat dalam pelbagai jawatan di Kementerian Pertahanan (Mindef), Kementerian Pendidikan Singapura (MOE) dan Kementerian Dalam Negeri (MHA) sebelum dilantik Timbalan Setiausaha (Dasar) di Kementerian Pendidikan Singapura pada 2008, dan kemudian dilantik sebagai Setiausaha Tetap (Pengangkutan) pada 2017.
Encik Lau pula telah memegang pelbagai jawatan dalam Pasukan Polis Singapura (SPF), Kementerian Ehwal Luar (MFA) serta MOE dari 2011 hingga 2015 dan baru-baru ini, sebagai Setiausaha Tetap Pembangunan Pengangkutan pada Julai 2024.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg