Semua penjawat awam akan menerima bonus akhir tahun sebanyak 1.55 bulan, kata Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) dalam satu pengumuman pada 25 November.

Ini merupakan peningkatan berbanding bonus akhir tahun 1.3 bulan pada 2025. Dengan bonus pertengahan tahun 0.45 bulan yang diumumkan pada Jun, penjawat awam akan menerima jumlah Komponen Berubah-ubah Tahunan (AVC) sebanyak dua bulan buat 2026. 

Kakitangan awam dalam gred setaraf MX13(I) dan MX14 akan menerima bayaran tambahan sekali sahaja sebanyak $300.

Manakala mereka dalam gred setaraf MX15 dan MX16, serta mereka dalam Skim Sokongan Operasi (OSS) akan menerima bayaran sekali sahaja yang lebih tinggi iaitu $600.

Pemerintah akan terus membayar Elaun Tahunan Tidak Berpencen (NPAA) sebanyak satu bulan kepada semua penjawat awam.

Bayaran akhir tahun ini mengambil kira unjuran pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura yang telah dikemas kini, yang dijangka oleh Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (METI) berada pada sekitar 6 peratus.

 Unjuran sebelum ini pada Ogos lalu berada dalam julat 4.5 hingga 5.5 peratus. 

“Penilaian ini mengambil kira prestasi ekonomi Singapura yang lebih baik daripada jangkaan dalam tiga suku pertama 2026, serta jangkaan bahawa lonjakan pelaburan global berkaitan kecerdasan buatan (AI) akan berterusan hingga akhir tahun, sekali gus memanfaatkan sektor seperti perkilangan dan perdagangan borong,” kata PSD. 

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Ia turut merujuk laporan awal pasaran buruh suku ketiga 2026 oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM), yang menunjukkan pertumbuhan pekerjaan di Singapura terus meningkat dengan lebih kukuh, meskipun kadar pengangguran dan pemberhentian pekerja naik sedikit.

Ia turut mengambil kira garis panduan Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) buat 2026/2027, yang menggalakkan pendekatan positif terhadap kenaikan gaji, memandangkan prestasi ekonomi yang lebih kukuh daripada jangkaan.

Pemerintah telah berunding dengan kesatuan sektor awam dalam menentukan angka 1.55 bulan tersebut, dengan bayaran tambahan buat penjawat awam junior selaras dengan cadangan NWC untuk meningkatkan gaji pekerja berpendapatan rendah, kata PSD.

Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cik Cham Hui Fong, menyambut baik pengumuman itu, dengan berkata sokongan yang progresif dan disasarkan itu akan memberikan bantuan yang lebih besar di tengah kos sara hidup yang semakin meningkat.

Beliau berkata: “Walaupun ekonomi Singapura telah menunjukkan prestasi baik, ketidaktentuan luaran dan perubahan struktur, terutamanya daripada AI dan pendigitalan, masih wujud.

“Kami menggalakkan penjawat awam kita supaya menerima teknologi baharu serta latihan, agar mereka kekal fleksibel dan bersedia menghadapi masa depan.

“NTUC dan kesatuan sektor awam akan terus bekerjasama dengan pemerintah serta penjawat awam untuk membina tenaga kerja Perkhidmatan Awam yang berdaya tahan, serta memastikan pekerja mendapat sokongan secukupnya sepanjang sebarang peralihan.”