Topik diikuti
Pergi ke BHkuBonus akhir tahun 1.55 bulan bagi penjawat awam
Bayaran ambil kira unjuran pertumbuhan GDP S’pura yang dikemas kini kepada 6%
Bonus akhir tahun 1.55 bulan bagi penjawat awam
Semua penjawat awam akan menerima bonus akhir tahun sebanyak 1.55 bulan, kata Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD), dalam satu pengumuman pada 25 November.
Ini merupakan peningkatan berbanding bonus akhir tahun 1.3 bulan pada 2025.
Dengan bonus pertengahan tahun 0.45 bulan yang diumumkan pada Jun, penjawat awam akan menerima jumlah Komponen Berubah-ubah Tahunan (AVC) sebanyak dua bulan bagi 2026.
Kakitangan awam dalam gred setaraf MX13(I) dan MX14 akan menerima bayaran tambahan sekali sahaja sebanyak $300.
Manakala mereka dalam gred setaraf MX15 dan MX16, serta mereka dalam Skim Sokongan Operasi (OSS), akan menerima bayaran sekali sahaja yang lebih tinggi iaitu $600.
Pemerintah akan terus membayar Elaun Tahunan Tidak Berpencen (NPAA) sebanyak satu bulan kepada semua penjawat awam.
Bayaran akhir tahun AVC ini mengambil kira unjuran pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura yang telah dikemas kini, yang dijangka oleh Kementerian Tenaga, Perdagangan dan Perusahaan (METI) berada pada sekitar 6 peratus.
Unjuran sebelum ini pada Ogos lalu berada dalam julat 4.5 hingga 5.5 peratus.
“Penilaian ini mengambil kira prestasi ekonomi Singapura yang lebih baik daripada jangkaan dalam tiga suku pertama 2026, serta jangkaan bahawa lonjakan pelaburan sejagat berkaitan kecerdasan buatan (AI) akan berterusan hingga akhir 2026, sekali gus memanfaatkan sektor seperti perkilangan dan perdagangan borong,” kata PSD.
Ia turut merujuk kepada Laporan Awal Pasaran Tenaga Kerja Suku Ketiga 2026 oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM), yang menunjukkan bahawa pertumbuhan pasaran tenaga kerja di Singapura terus berkembang dengan lebih kukuh, meskipun kadar pengangguran dan pemberhentian pekerja naik sedikit.
Di samping itu, ia turut mengambil kira garis panduan Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) buat 2026/2027, yang menggalakkan pendekatan positif terhadap kenaikan gaji, memandangkan prestasi ekonomi yang lebih kukuh daripada jangkaan.
Pemerintah telah berunding dengan kesatuan sektor awam dalam menentukan angka 1.55 bulan tersebut, dengan bayaran tambahan buat penjawat awam peringkat rendah selaras dengan apa yang disyorkan NWC untuk meningkatkan gaji pekerja berpendapatan rendah, tambah PSD.
Timbalan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Cik Cham Hui Fong, menyambut baik pengumuman tersebut, dengan berkata sokongan yang progresif dan disasarkan itu akan memberi bantuan lebih besar di tengah-tengah kenaikan kos sara hidup.
Beliau berkata: “Walaupun ekonomi Singapura telah menunjukkan prestasi baik, ketidaktentuan luaran dan perubahan struktur, terutamanya daripada AI dan pendigitalan, masih wujud.
“Kami menggalakkan penjawat awam kita supaya menerima teknologi baharu serta latihan, agar mereka kekal fleksibel dan bersedia menghadapi masa depan.
“NTUC dan kesatuan sektor awam akan terus bekerjasama dengan pemerintah serta penjawat awam untuk membina tenaga kerja Perkhidmatan Awam yang berdaya tahan, serta memastikan pekerja mendapat sokongan secukupnya sepanjang sebarang peralihan.”