Seekor buaya besar yang ditemui di pantai di Marina East Drive pada Selasa perlu dibunuh demi keselamatan awam, kata Lembaga Taman Negara (Nparks).
Pengarah Pengurusan Hidupan Liar Nparks, Encik How Choon Beng, dipetik akhbar The Straits Times sebagai berkata, buaya muara berukuran 3 meter itu telah ditangkap dan dibawa keluar dari perairan East Coast untuk dibunuh.
Encik How berkata, “buaya yang tertangkap itu akan dimatikan dengan cara yang berperikemanusiaan untuk lindungi keselamatan awam.”.
Tambahan beliau, Nparks telah menerima laporan mengenai penemuan buaya pada Selasa.
Apabila ditanya mengapa buaya muara harus dibunuh dan tidak dipindahkan, Encik How berkata, terdapat risiko buaya itu pulang ke tempat di mana ia ditangkap.
Pada 2021, seekor buaya berukuran 1.53 meter ditemui oleh pemancing di pantai East Coast dan ditangkap dan dipindahkan ke Paya Simpanan Sungei Buloh.
Buaya tersebut lebih kecil dan berisiko rendah terhadap keselamatan awam.
“Sekarang, terdapat banyak buaya di Paya Simpanan tersebut dan ia tidak lagi sesuai sebagai tapak pemindahan,” kata Encik How.
Di Singapura, buaya liar sering terlihat di Paya Simpanan Sungei Buloh tetapi ia juga dilihat di kawasan seperti Changi, Pasir Ris dan Taman West Coast.
Menurut Encik How, “Jika orang awam terlihat buaya, mereka harus bertenang dan undurkan diri. Mereka tidak harus hampiri, ganggu atau beri makanan kepada haiwan itu.”
Mereka harus prihatin dengan tanda amaran dan notis nasihat yang terletak di kawasan di mana buaya ditemui.
Mereka juga boleh hubungi Nparks di talian 1800-471-7300 atau agensi air negara, PUB, di talian 9632-3261 untuk membuat laporan jika temu buaya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg