Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Budak 4 tahun ditumbuk hingga maut, mayat dibakar pasangan

Feb 28, 2025 | 5:35 PM
Megan Khung berusia empat tahun ketika meninggal dunia akibat ditumbuk dengan kuat oleh teman lelaki ibunya, Wong Shi Xiang, 38 tahun.
Megan Khung berusia empat tahun ketika meninggal dunia akibat ditumbuk dengan kuat oleh teman lelaki ibunya, Wong Shi Xiang, 38 tahun. - Foto PIXABAY

Megan Khung berusia empat tahun ketika meninggal dunia selepas menderita lebih setahun penderaan fizikal dan emosi oleh ibunya dan teman lelaki ibunya. 

Selain disebat dan disepak, dia dipaksa ibunya yang menganggur, Foo Li Ping, 29 tahun, memakai lampin kotor di kepalanya.

Antara lain, Megan dipukul dengan paip air oleh teman lelaki ibunya, Wong Shi Xiang, 38 tahun, seorang mekanik bebas, sehingga rahangnya menjadi senget.

Megan dibiar kelaparan, tidak diberi pakaian dan dipaksa tidur dalam kotak tanaman di balkoni kondominium sewa mereka – Suites @ Guillemard di Paya Lebar, tanpa mengira cuaca.

Rakan pasangan itu, Nouvelle Chua Ruoshi, 35 tahun, yang sering menghisap dadah bersama mereka di kondominium itu, tidak melakukan apa-apa untuk menghentikan penderaan itu, bahkan turut merakam beberapa kejadian di telefon bimbitnya.

Pada malam 21 Februari 2020, Wong menumbuk Megan di perutnya, sehingga belakangnya terhantuk dinding dengan kuat.

Wong berhenti memukul Megan selepas ibunya berkata anaknya seperti “tidak dapat bertahan”.

Selepas tengah malam, Chua datang ke rumah pasangan itu. Megan yang terbaring di lantai mengadu sakit perut, namun dia diabaikan dan mereka menyambung menghisap dadah.

Selepas Megan kelihatan kaku, mereka cuba membuat resusitasi kardiopulmonari (CPR) terhadapnya dan kaedah lain untuk menyedarkannya, namun Megan tetap tidak sedarkan diri.

Ibunya tidak menghubungi ambulans kerana takut pihak berkuasa akan tahu aktiviti dadah mereka.

Ketetiga mereka melarikan diri dari rumah itu pada 23 Februari 2020, dan menginap di hotel dan apartmen sewa sehingga Jun 2020. 

Dalam tempoh itu, Foo dan Wong berbincang tentang cara menghapuskan mayat Megan, yang ditinggalkan di kondominium mereka di dalam kotak plastik ditutup dengan simen.

Pada 8 Mei 2020, mayat Megan dibakar dalam tong logam yang dipesan khas oleh Wong. 

Wong membuang abunya ke laut di Taman East Coast, manakala tong itu dibuang di Tampines Link.

Ketetiga individu itu ditangkap polis pada 24 Julai 2020, menyusuli laporan polis yang dibuat bapa Megan, Encik Khung Wei Nan, 37 tahun, yang bimbang tentang keselamatan anaknya. 

Kali terakhir beliau berjumpa dengan Megan ialah pada Februari 2017, dan kemudian beliau menjalani hukuman tiga tahun di pusat pemulihan dadah.

Pada 28 Februari, Foo dan Wong hadir di Mahkamah Tinggi dan mengaku bersalah terhadap tuduhan yang mereka hadapi.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Marcus Foo, memohon hukuman penjara antara 15 dengan 20 tahun terhadap ibu Megan, atas pengabaian tanggungjawab yang serius terhadap anak.

Wong pula menghadapi sejumlah 15 tuduhan, termasuk tuduhan homisid kerana membunuh Megan.

Kes Chua belum selesai.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg