Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Budak, 7 tahun, alami lebam di muka; dakwa tercampak dalam bas sekolah

Aug 11, 2024 | 3:10 PM
Gambar menunjukkan keadaan muka Fareen Airis sehari selepas insiden yang didakwa berlaku dalam bas sekolah.
Gambar menunjukkan keadaan muka Fareen Airis sehari selepas insiden yang didakwa berlaku dalam bas sekolah. - Foto FACEBOOK FREDROSTARR ROX

Encik Farid Osman telah diberitahu oleh isterinya bahawa anak perempuan mereka yang berusia tujuh tahun telah terjatuh semasa di dalam bas sekolah.

Namun apabila Encik Farid melihat sendiri gambar anak perempuannya itu, Fareen Airis, yang dihantar oleh isterinya, beliau berasa amat kecewa.

Bahagian dahi, mata dan batang hidung anaknya itu jelas bengkak.

Satu laporan AsiaOne pada 11 Ogos memetik catatan Facebook Encik Farid yang menyatakan insiden itu berlaku sekitar 7 pagi pada 1 Ogos lalu.

Encik Farid tiba di hospital untuk melihat anak perempuannya dibawa keluar daripada ambulans.

Di sana, seorang guru pelajar darjah satu itu memberitahunya bahawa berdasarkan apa yang didakwa berlaku dalam bas tersebut, Fareen dikatakan tercampak daripada tempat duduknya ketika bas itu membrek.

“Mukanya terkena sebuah pembesar suara di hadapannya,” kata Encik Farid dalam catatannya itu.

Encik Farid turut menunjukkan ilustrasi dalam catatannya itu bahawa anaknya itu sedang duduk di barisan pertama dalam bas itu.

Fareen dikatakan tidak mengalami sebarang keretakan atau pun kecederaan pada septumnya (dinding yang memisahkan dua rongga hidung), namun doktor mengatakan bahawa hidungnya mungkin memerlukan sedikit pembetulan selepas kanak-kanak itu sembuh, kata Encik Farid.

Namun Encik Farid kemudian diberitahu oleh pihak berkuasa sekolah bahawa pemandu bas itu telah menafikan beliau menekan brek kecemasan atau menekan brek secara mendadak.

Beliau juga diberitahu oleh naib pengetua sekolah anaknya itu bahawa para pelajar lain tidak merasakan sebarang brek kecemasan atau brek secara keras semasa dalam bas itu.

Pemandu itu mendakwa kepada pihak berkuasa sekolah bahawa beliau tidak sedar yang kanak-kanak itu tercampak daripada tempat duduknya dan mukanya terkena pembesar suara.

“Saya hanya rasa aneh bahawa pihak sekolah tidak mendapatinya aneh, yang anak saya mengalami kecederaan muka akibat terjatuh teruk dalam bas, dan mereka fikir pemandu telah berkata benar.”

Wartawan Berita Harian (BH) telah meninggalkan pesanan pada akaun Facebook Encik Farid, namun belum menerima sebarang respons.

Semasa ditemuramah AsiaOne pada 11 Ogos, Encik Farid, 41 tahun, berkata lebam pada muka anak perempuannya itu masih jelas dan mereka sedang menanti untuk bertemu dengan seorang pakar bagi satu temu janji susulan.

Encik Farid masih berharap untuk melihat sendiri rakaman insiden itu daripada kamera dalam bas dan telah membuat laporan polis.

AsiaOne turut telah meminta pihak sekolah agar memberikan lebih maklumat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg