JOHOR BARU: Seorang penunggang motosikal mendakwa sekumpulan penunggang motosikal Malaysia merancang kemalangan untuk memeras wang daripada penunggang motosikal Singapura yang masuk Johor melalui Bangunan Sultan Iskandar (BSI).
Penunggang Singapura berkenaan pada 5 Ogos memuat naik satu video papan pemuka selama 46 saat ke kumpulan Facebook Malaysia-Singapore Border Crossers.
Rakaman itu menunjukkan penunggang asing dan pemboncengnya melepasi sekumpulan penunggang motosikal yang dipercayai rakyat Malaysia, sedang berhenti di tepi jalan selepas keluar Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin di BSI, menuju ke Johor Bahru.
Beberapa saat kemudian, seorang lagi penunggang motosikal dilihat mengendalikan motosikalnya hampir dengan motosikal penunggang asing itu dan kelihatan sengaja melanggar kotak barang ke tuil brek tangan penunggang asing itu.
Seorang penunggang motosikal kedua, yang dipercayai rakannya, merapati motosikal penunggang asing itu, dan mereka dilihat seperti bertengkar, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Penunggang asing itu dirakam menunjukkan kamera papan pemukanya semasa kejadian itu.
Dalam hantaran Facebook, penunggang motosikal itu mendakwa bahawa dua penunggang motosikal Malaysia berkenaan cuba memeras wang daripadanya sebagai pampasan untuk kerosakan.
Bagaimanapun, beliau mendakwa apabila menyedari aksi mereka dirakam, kedua-dua penunggang berkenaan berlalu pergi.
The New Straits Times telah menghubungi ketua polis Johor Baru (Selatan), Penolong Pesuruhjaya Raub Selamat, untuk pengesahan. Beliau belum memberikan maklum balas setakat ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg