Seorang budak kecil dilihat berdiri di birai luar tingkap sebuah unit flat tingkat tiga di kawasan Canberra pada 20 Oktober dengan berpakaian baju tidur.
Dalam sebuah video yang dikongsi di Facebook oleh netizen Nela M Hock, anak kecil itu kelihatan berusia tidak lebih daripada lima tahun.
Ketika orang ramai berkumpul di tapak rumput di tingkat bawah, kanak-kanak itu berdiri dan tidak bergerak di birai tersebut.
Menurut catatan Facebook, seorang saksi yang melihat keadaan anak kecil yang berdiri seorang diri itu telah pergi ke unit flat itu dan mengetuk pintu flat tersebut beberapa kali tetapi tiada jawapan. Video itu telah dikongsikan lebih daripada 500 ribu kali di media sosial.
Beberapa individu dalam video itu dilihat memegang sama sehelai kain di tingkat bawah, bersedia untuk menyelamatkannya jika budak itu terjatuh.
Seorang lelaki kemudian dilihat keluar dari tingkap unit lain di tingkat tiga dan berjalan dengan perlahan di tepi birai untuk mendekati anak kecil itu.
Apabila lelaki itu berjaya mengangkat budak itu dan bergerak ke arah tingkapnya untuk menyelamatkannya, sepasang lengan kelihatan menerima kanak-kanak itu dari dalam flat, menunjukkan ada orang dewasa di dalam rumah.
Netizen mengulas bahawa flat itu sepatutnya mempunyai jeriji tingkap dan turut mempersoalkan di mana ibu bapa anak kecil itu berada semasa kejadian.
Cik Nela berkata dalam perkongsiannya itu:
“Ini hanya tingkat tiga, cuba bayangkan jika budak itu di luar tingkap di tingkat yang lebih tinggi. Mujur budak itu tidak tergelincir atau melompat dari luar tingkap itu,” kata beliau sambil menasihatkan agar ibu-bapa lebih prihatin dan bertanggungjawab terutama sekali bila mempunyai anak kecil di rumah.”
Menjawab soalan dari akhbar The Straits Times (ST) pihak Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata, mereka menerima panggilan tentang insiden itu pada 11.50 pagi.
Seorang wanita berusia 25 tahun sedang membantu siasatan berkaitan kecuaian, kata polis.
Kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK (KKH) sebagai langkah berjaga-jaga, kata SCDF.
SCDF akan menghubungi orang ramai yang membantu semasa kejadian untuk memuji mereka atas semangat awam mereka.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg