Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Budak cedera selepas kasut getah tersepit di eskalator Jurong Point

Jul 15, 2024 | 6:16 PM
Menurut saksi, kaki budak itu terperangkap kira-kira 40 minit sebelum dapat dilepaskan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Menurut saksi, kaki budak itu terperangkap kira-kira 40 minit sebelum dapat dilepaskan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF). - Foto SHIN MIN
Kasut getah yang dipakai budak ini tersepit di antara tangga eskalator.
Kasut getah yang dipakai budak ini tersepit di antara tangga eskalator. - Foto SHIN MIN

Seorang budak lelaki sembilan tahun cedera dan dibawa ke hospital selepas kasut getah yang dipakainya tersepit di eskalator di pusat beli-belah Jurong Point pada 14 Julai.

Seorang warganet yang mendakwa menyaksikan kejadian sekitar 7.50 malam itu menyiarkannya di wadah media sosial Reddit, dan berkata kaki budak itu terperangkap kira-kira 40 minit.

Gambar yang dikongsi warganet menunjukkan anggota bomba dan paramedik berada di tempat kejadian, sementara orang awam yang lalu-lalang melihat.

Menjawab pertanyaan The Straits Times, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata mereka menggunakan peralatan menyelamat untuk membebaskan budak itu, sebelum membawanya ke Hospital Universiti Nasional (NUH) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Budak lelaki itu cedera di kakinya selepas kasut getahnya tersepit di antara tangga eskalator, jurucakap Link Asset Management, yang menguruskan Jurong Point, memberitahu ST.

“Kami telah berhubung dengan keluarganya, dan akan terus memberi sokongan dan bantuan kepada mereka sepanjang pemulihannya daripada kejadian ini.

“Kami bekerjasama rapat dengan Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA) dan Syarikat Lif Otis untuk menjalankan siasatan,” kata jurucakap itu.

Orang awam digesa supaya berhati-hati dan berjaga-jaga semasa menaiki eskalator, terutama ketika bersama kanak-kanak, tambah jurucakap itu.

Pada Januari, seorang budak lelaki tiga tahun terjatuh dan jarinya tersepit di tangga eskalator pusat beli-belah City Plaza di Geylang.

Sebanyak 632 insiden eskalator dilaporkan dari Januari hingga Oktober 2023, dan 97 peratus daripadanya berkaitan dengan perilaku orang awam, kata BCA pada 2023.

Orang ramai yang membawa barangan besar dan berat seperti kereta sorong, bagasi dan troli beli-belah adalah punca utama kejadian sebegini, menyumbang kira-kira 17 peratus daripada semua kes.

Penyebab utama termasuk orang awam yang bergerak di eskalator atau tidak memegang susur tangan (16 peratus); keadaan kesihatan fizikal seperti mengalami pening kepala (12 peratus); tidak memberi perhatian semasa berada di eskalator termasuk menggunakan telefon bimbit (11 peratus); dan kasut atau bahagian badan tersepit, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak kecil (9 peratus).

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg