Budak 4 tahun alami bengkak, trauma selepas ditampar lelaki tidak dikenali

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Budak 4 tahun alami bengkak, trauma selepas ditampar lelaki tidak dikenali

Lelaki 36 tahun ditahan polis selepas laporan dibuat mengenai kejadian di luar pusat prasekolah di Woodlands
Mar 8, 2026 | 9:22 PM

Budak 4 tahun alami bengkak, trauma selepas ditampar lelaki tidak dikenali

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Isaac Wildan Misan, faezah Hamid, slap, preschool
Isaac Wildan Misan ditampar sebanyak dua kali oleh seorang lelaki di luar kawasan prasekolahnya di Woodlands. Ibunya, Cik Faezah Hamid, berkata kejadian itu telah dilaporkan kepada pihak polis. - Foto ihsan FAEZAH HAMID

Seorang lelaki berusia 36 tahun telah diberkas kerana menyebabkan kecederaan terhadap kanak-kanak berusia empat tahun.

Lelaki itu diberkas selepas polis menerima satu laporan mengenai seorang kanak-kanak yang ditampar di pipinya pada 6 Mac.

Ini disahkan seorang jurucakap polis sebagai menjawab pertanyaan Berita Harian (BH).

“Polis mengesahkan laporan telah dibuat.

“Seorang lelaki berusia 36 tahun kemudiannya ditahan kerana menyebabkan kecederaan terhadap seorang individu muda. Siasatan polis sedang dijalankan,” kata jurucakap itu pada 8 Mac.

Difahamkan kejadian tersebut berlaku di luar sebuah prasekolah di Woodlands.

Pada ketika itu, mangsa, Isaac Wildan Misan, sedang dibawa pulang dari prasekolahnya oleh pembantu keluarganya.

Menceritakan kejadian tersebut, ibu Isaac, Cik Faezah Hamid, 44 tahun, mendakwa anaknya itu telah ditampar di pipinya sebanyak dua kali.

“Lelaki itu menarik kolar baju anak saya ke arahnya dan menampar pipi kiri Isaac.

“Kemudian, Isaac membalas dengan mengatakan ‘tidak sakit’.

“Lelaki itu kemudian menampar pula pipi kanan Isaac lalu mengugut anak saya yang dia akan patahkan jari anak saya,” jelas Faezah dengan sebak semasa dihubungi BH.

Menurut beliau, pembantunya berkongsi hal tersebut berlaku begitu pantas dan amat mengejutkan.

Cik Faezah mendakwa lelaki itu menyangkakan anaknya telah menunjuk ‘jari tengah’ sebagai tanda cacian.

Beliau yang ketika itu sedang bertugas semasa kejadian berlaku berkata:

“Selepas saya pulang, saya cuba bertanya kepada Isaac apa yang dilakukannya dan sama ada dia benar menunjukkan jari tengah.

“Dia kemudian menunjuk kepada saya yang dia lakukan lambang ‘tembak’ dengan jarinya ketika bermain dengan kawannya, yang merupakan anak kepada lelaki tersebut.

“Ternyata dia tidak faham dan tidak berniat jahat dengan apa yang dia lakukan.”

Akibat kejadian itu, pipi dan telinga kiri serta kanan Isaac dikatakan meninggalkan kesan bengkak kemerahan.

Pipi Isaac Wildan Misan dikatakan bengkak kemerahan akibat kejadian ditampar lelaki berusia 36 tahun.
Pipi Isaac Wildan Misan dikatakan bengkak kemerahan akibat kejadian ditampar lelaki berusia 36 tahun. - Foto FACEBOOK FAEZAH HAMID

Risau akan sebarang kecederaan dalaman, Cik Faezah, yang merupakan seorang pensyarah di sebuah Institut Pengajian Tinggi dalam bidang Penerbangan, membawa anaknya ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) untuk menjalani pemeriksaan.

Ekoran itu, pihak KKH membuat laporan langsung kepada pihak polis.

Trauma dengan kejadian ditampar sebanyak dua kali, Cik Faezah menjelaskan anaknya itu terkesan hingga menangis teresak-esak sendirian sewaktu ingin tidur.

“Pada Sabtu (7 Mac), dia berkali tanya saya jika esoknya hari Isnin.

“Dia tidak bilang secara terang tapi dia menunjukkan ketakutan untuk keluar dan kembali ke sekolah,” rintih Cik Faezah.

Menyifatkan perbuatan lelaki itu sebagai sesuatu yang tidak wajar, beliau tidak faham bagaimana seorang dewasa boleh melakukan kekerasan sedemikian terhadap budak yang belum dapat berfikir dengan sempurna.

Dalam satu hantaran di Facebook, beliau cuba untuk mencari individu yang menyaksikan kejadian itu.

“Ada seorang wanita menghantar mesej kepada saya mengatakan beliau lihat keseluruhan kejadian itu.

“Apa yang diceritakan itu selari dengan perkongsian pembantu saya.

“Wanita itu turut lahirkan rasa sedih dan terperanjat ketika kejadian itu berlaku di depan mata.

“Namun, ada juga yang tidak tahu perkara sebenar dan mengatakan anak saya wajar ditampar atas dasar ‘didikan’,” tambah beliau.

Ayah Isaac, Encik Misan Kamis, 46 tahun, seorang pemandu logistik, dikatakan terjejas dengan ungkapan sedemikian dan pilu mengenangkan nasib anaknya yang teraniaya.

“Suami saya sangat terkesan dan sedih atas kejadian ini. Beliau membesarkan Isaac dengan penuh kelembutan dan kasih sayang.

“Jadi, apabila anak kami dikasari sebegini, ia menjadi sesuatu yang tidak dapat kami terima,” tambah Cik Faezah.

Cik Faezah berharap menerusi perkongsiannya, masyarakat akan lebih sedar bahawa keganasan terhadap kanak-kanak bukanlah jalan terbaik untuk mendidik.

Cik Faezah juga berharap anaknya akan pulih daripada kejadian itu seperti sedia kala.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg