Wanita tampar pemandu teksi ketika mabuk dijel 2 minggu
Wanita tampar pemandu teksi ketika mabuk dijel 2 minggu
Dia menyatakan tidak punya wang tunai atau kaedah pembayaran tanpa tunai untuk bayar tambang
Seorang wanita mabuk menampar seorang pemandu teksi warga emas selepas dia menyatakan tidak mempunyai wang tunai atau kaedah pembayaran tanpa tunai untuk menyelesaikan tambangnya.
Shalini Devarajan, 36 tahun, dijatuhi hukuman penjara dua minggu pada 19 Februari selepas dia mengaku bersalah menyerang pemandu teksi lelaki berusia 73 tahun itu.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Adelle Tai berkata bahawa tambang sebanyak $24 itu masih belum dilunaskan.
Dokumen mahkamah menyatakan bahawa Shalini berbau alkohol ketika dia menaiki teksi mangsa sekitar 3 petang pada 11 November 2025, dan tertidur semasa perjalanan.
Apabila tiba ke destinasi di Yishun Street 22, pemandu itu mengejutkannya dan memaklumkan tambang sebanyak $24.
Shalini menjawab dia tidak mempunyai wang atau kaedah pembayaran tanpa tunai dan perlu pergi ke rumahnya untuk mendapatkannya.
“Pemandu teksi itu memintanya supaya meninggalkan telefonnya di dalam teksi sebelum pergi ke rumahnya, tetapi tertuduh enggan. Beliau kemudian mencadangkan mengikutinya ke rumahnya untuk mendapatkan wang tersebut, tetapi tertuduh tetap enggan berbuat demikian,” kata DPP Tai.
Shalini kemudian mencabar pemandu teksi itu supaya membawanya ke balai polis, dan mangsa berbuat demikian. Dia memarahinya semasa perjalanan menuju ke Pusat Polis Kejiranan (NPC) Yishun di Yishun Central.
Menurut dokumen mahkamah, dia juga mengambil gambar pemandu dan kenderaannya.
Kedua-dua Shalini dan pemandu kemudian keluar daripada teksi berhampiran NPC tersebut dan dia menampar pipi kiri pemandu berkenaan sekali sekitar 4.20 petang.
Dia kemudian terus memasuki NPC sementara seorang pegawai polis merawat mangsa.
Shalini ditangkap, dan pemandu teksi diberi cuti sakit selama sehari selepas beliau berkunjung ke Hospital Khoo Teck Puat untuk rawatan.
Mendesak mahkamah supaya menjatuhkan hukuman penjara dua minggu ke atas Shalini, DPP Tai berkata: “Mangsa bersikap profesional dan tidak bertindak balas terhadap provokasi tertuduh sepanjang kejadian itu, dan serangan itu langsung tidak diprovokasi.”
DPP Tai juga menekankan bahawa pemandu teksi merupakan golongan yang sangat terdedah dan berhak mendapat perlindungan menerusi hukuman pencegahan.

