Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Budak lelaki 13 tahun antara 9 ditangkap kerana rusuh libatkan senjata berbahaya

Sep 17, 2022 | 5:30 AM
SENJATA BERBAHAYA: Ketika polis memberkas sembilan lelaki didakwa melakukan rusuhan dengan senjata yang boleh menyebabkan kematian, pegawai merampas beberapa pisau dipercayai digunakan semasa kejadian itu - Foto PASUKAN POLIS SINGAPURA
SENJATA BERBAHAYA: Ketika polis memberkas sembilan lelaki didakwa melakukan rusuhan dengan senjata yang boleh menyebabkan kematian, pegawai merampas beberapa pisau dipercayai digunakan semasa kejadian itu - Foto PASUKAN POLIS SINGAPURA -

SERAMAI sembilan individu - paling muda merupakan seorang budak lelaki berusia 13 tahun - telah ditangkap kerana melakukan rusuhan dengan senjata yang berupaya menyebabkan kematian.

Mereka ditangkap selepas seorang remaja lelaki berusia 15 tahun diserang oleh sekumpulan individu bersenjatakan pisau di Lengkok Bahru di kawasan Bukit Merah pada 2 September lalu, kata polis dalam satu kenyataan semalam.

Polis berkata, ia menerima panggilan pada 8.45 malam dan siasatan mendapati mangsa telah diserang dalam satu lagi pertikaian sebelum itu.

Lelaki itu mengalami beberapa kecederaan dan dibawa ke hospital dalam keadaan sedarkan diri.

Seminggu kemudian, sembilan individu - lapan dalam kalangan mereka adalah remaja - telah ditangkap oleh pegawai polis.

Kesemua suspek adalah lelaki dan usia suspek paling tua adalah 24 tahun.

"Dengan membuat pertanyaan kepada orang umum serta bantuan imej oleh kamera polis, pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah (CID) dan Divisyen Polis Clementi memberkas sembilan individu antara 3 dengan 8 september lalu," kata polis.

Ketika mereka ditangkap, pegawai merampas beberapa pisau yang dipercayai digunakan dalam serangan tersebut.

Kesemua sembilan lelaki itu telah didakwa di mahkamah pada 3, 6 dan 9 September lalu kerana melakukan rusuhan dengan senjata yang boleh meragut nyawa di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan 1871, kata polis.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun serta rotan.

Polis berkata siasatan masih dijalankan.

Sebelum ini satu rakaman video yang tular di media sosial dimuat naik awal bulan ini menunjukkan beberapa individu sedang berlari dan melintas jalan dari sebuah perhentian bas di mana terdapat seorang individu terbaring di lantai perhentian bas tersebut.

Kemudian, kumpulan yang dianggotai sembilan orang dan berpakaian baju berwarna gelap itu kelihatan meninggalkan kawasan itu dengan tenang di sebuah laluan pejalan kaki, sementara beberapa orang awam memberi perhatian kepada lelaki yang tercedera di perhentian bas itu.

Video 42 saat itu juga dimuatnaik di laman Facebook Singapore Incidents. Rakaman itu berakhir apabila sekumpulan sembilan lelaki itu berjalan ke sebuah kolong blok perumahan awam.

Polis menegaskan ia tidak akan teragak-agak untuk bertindak dan memberkas pesalah seperti itu dan menahan mereka berdasarkan undang-undang negara.

Bulan lalu, tiga lelaki diheret ke mahkamah kerana melakukan rusuhan selepas satu pergaduhan di luar Orchard Towers.

April lalu, dua lelaki ditangkap di Woodlands selepas serbuan oleh polis menyusuli satu video disiarkan dalam media sosial menunjukkan pasangan itu membawa senjata jenis parang panjang di sebuah tempat letak kereta.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg