Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Budak lelaki, 9 tahun dibawa ke hospital selepas dilanggar kereta

May 23, 2024 | 8:59 PM
Seorang budak lelaki kelihatan terhimpit di roda depan sebuah kereta berwarna hitam (kiri) sebelum kereta itu berundur sedikit dan budak tersebut cuba membangunkan dirinya (kanan).
Seorang budak lelaki kelihatan terhimpit di roda depan sebuah kereta berwarna hitam (kiri) sebelum kereta itu berundur sedikit dan budak tersebut cuba membangunkan dirinya (kanan). - Foto FACEBOOK/SGROADVIGILANTE

Seorang budak lelaki berusia sembilan tahun, dibawa ke hospital selepas terlibat dalam satu kemalangan di kawasan tempat letak kereta, di kejiranan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Yishun, pada 22 Mei.

Dalam kenyataannya, polis berkata ia menerima panggilan mengenai satu kemalangan melibatkan sebuah kereta dan seorang pejalan kaki di blok 437, Yishun Avenue 6 sekitar 3.05 petang itu.

Budak itu berada dalam keadaan sedarkan diri ketika dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) oleh Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Rakaman kejadian itu telah dikongsi di Facebook hingga mencatatkan lebih 69,000 tontonan sehingga artikel ini ditulis.

Video tersebut menunjukkan sebiji bola yang melambung di atas jalan raya kawasan tempat letak kereta estet kejiranan itu sebelum seorang budak lelaki berpakaian baju berwarna oren tiba-tiba muncul di depan sebuah kereta berwarna hitam, lalu dilanggar kereta itu. Hon sebuah kereta juga kedengaran dalam video tersebut.

Kereta itu dilihat bergerak ke hadapan sedikit sebelum berhenti, manakala budak tersebut terhimpit di bahagian roda depan kereta itu.

Kereta tersebut kemudian berundur sedikit dan budak lelaki itu bangun dan duduk di atas jalan raya.

Kedengaran suara seorang budak yang berteriak selepas budak lelaki itu cuba membangunkan dirinya.

Seorang lelaki kemudian dilihat keluar dari kenderaan tersebut dan mendekati budak yang dilanggar itu, sementara lagi dua budak lelaki juga dilihat berada di tempat kejadian.

Polis berkata siasatan sedang dijalankan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg