Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis siasat guru wanita mengaku diri Imam Mahdi

May 23, 2024 | 11:47 AM
Dakwaan seorang guru wanita bahawa dirinya adalah Imam Mahdi tular di Facebook.
Dakwaan seorang guru wanita bahawa dirinya adalah Imam Mahdi tular di Facebook. - Foto SINAR HARIAN

JERANTUT (Pahang): Seorang guru wanita sedang disiasat polis selepas dia mengaku menjadi Imam Mahdi menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya yang kemudian ditularkan oleh seorang individu.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintenden Zukri Muhammad, berkata siasatan awal polis mendapati wanita yang berusia 34 tahun itu, adalah ibu tiga anak yang tinggal berjauhan daripada suaminya, yang bertugas di Kuala Lumpur.

Beliau mengesahkan polis sudah menerima laporan berkaitan dakwaan wanita tersebut.

“Siasatan awal juga mendapati wanita berkenaan pernah mendapat rawatan psikiatri di sebuah hospital di Kelantan pada Disember 2023.

“Setakat ini, kami masih menjalankan siasatan lanjut terhadap guru yang bertugas di sebuah sekolah rendah di Jerantut, Pahang, itu,” katanya lapor Sinar Harian.

Hantaran wanita itu tular menerusi akaun Facebook Jerantut Viral sejak 21 Mei.

“Suspek membuat beberapa hantaran di Facebook melibatkan pengakuan bahawa dirinya adalah Imam Mahdi,” katanya.

Superintenden Zukri berkata suspek juga mengaku tiada sebarang rujukan atau belajar daripada mana-mana guru agama atau orang perseorangan, dan hanya mengaku dirinya terpilih (terbuka hijab) untuk memiliki ‘Ilmu Allah’ dan diangkat darjatnya oleh Allah kerana beliau seorang yang jujur.

Antara dakwaan lain dalam hantaran terbabit, kata beliau, ialah wanita itu mendakwa diamanahkan untuk menghentikan peperangan di Palestin.

Beliau berkata suspek hingga kini masih menerima rawatan psikiatri dan pemantauan serta siasatan lanjut diteruskan.

Pada 2019, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilapor sedang giat mengesan pemimpin Tarekat Naqsyabandiah Al-Kholidiah, Habib Shah Firdaus Habib Ahmad, yang dikatakan melarikan diri dengan meninggalkan beberapa pengikutnya di Arab Saudi.

Pemimpin yang mengaku dirinya ‘Imam Mahdi’ itu dikatakan telah pulang ke Malaysia, namun tidak diketahui tarikhnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg