Topik diikuti
Pergi ke BHkuBudak lelaki cedera selepas papan tanda jatuh di medan selera Rivervale Mall
Budak lelaki cedera selepas papan tanda jatuh di medan selera Rivervale Mall
Budak lelaki cedera selepas papan tanda jatuh di medan selera Rivervale Mall
Seorang kanak-kanak lelaki dikejarkan ke hospital selepas terkena papan tanda yang jatuh di cawangan Food Junction dalam satu pusat beli-belah di Sengkang pada 20 Jun.
Ketika menjawab pertanyaan media, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) berkata pihaknya telah membawa seorang mangsa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) sejurus menerima panggilan kecemasan kira-kira 10.30 pagi.
Jurucakap Food Junction mengesahkan pihaknya mengetahui tentang insiden yang berlaku di Rivervale Mall itu.
“Pasukan kami bertindak serta-merta dan bekerjasama rapat dengan pihak pengurusan pusat beli-belah serta pasukan penyelamat bagi menghulurkan bantuan kepada pelanggan yang mengalami kecederaan,” katanya.
Beliau menambah bahawa mangsa kini sedang berehat di rumah selepas dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dan rawatan.
“Susulan semakan menyeluruh dan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca kejadian, kami telah memperketatkan semua langkah keselamatan selaras dengan ketetapan pihak berkuasa berkaitan,” katanya.
Jurucakap Food Junction turut mengesahkan bahawa operasi di medan selera berkenaan telah disambung.
“Kami memohon maaf atas insiden yang amat dikesali ini,” tambahnya.
Menerusi satu video yang dimuat naik di wadah media sosial TikTok, runtuhan daripada papan tanda berkenaan dilihat bertaburan di laluan masuk Food Junction.
Beberapa bahagian siling lain kelihatan masih tergantung manakala orang ramai yang berada di kawasan sekitar dilihat menjauhi runtuhan tersebut.
Tinjauan akhbar The Straits Times (ST) mendapati cawangan Food Junction berkenaan terletak di tingkat bawah pusat beli-belah berkenaan.
