Dua bangunan di Biara Kong Meng San Phor Kark See telah ditutup daripada akses orang awam selepas sebahagian jubin bumbung dan rangka sokongan bumbung bagi salah satu bangunan runtuh pada 26 November.
Insiden itu berlaku sekitar 8 malam di Dewan Peringatan Venerable Hong Choon, yang terletak di bahagian tengah kawasan biara, menurut jurucakap biara.
Ruang tersebut tidak digunakan pada waktu kejadian dan tiada sebarang kegiatan sedang berlangsung berhampiran kawasan itu, tambahnya.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) memaklumkan mereka menerima laporan mengenai insiden di Bright Hill Road, Bishan, pada sekitar 8.25 malam.
Pasukan bomba SCDF serta penyelamat daripada Pasukan Menyelamat dan Bantuan Bencana (Dart) dan unit anjing pengesan dari platun pencarian SCDF telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
Seorang individu diperiksa kerana mengalami kecederaan ringan, namun enggan dibawa ke hospital.
Foto yang diambil di biara itu menunjukkan sebahagian bumbung terbuka selepas kejadian runtuhan, serta sejumlah besar serpihan bersepah di atas tanah.
Sebagai maklum balas kepada pertanyaan, seorang jurucakap Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) berkata sebahagian jubin bumbung dan rangka sokongan bumbung telah runtuh di Dewan Peringatan Venerable Hong Choon.
Bangunan itu mempunyai empat tingkat.
Tingkap bangunan bersebelahan turut mengalami kerosakan akibat serpihan yang jatuh, lapor The Straits Times (ST).
Jurucakap itu menambah kestabilan struktur kededua bangunan tidak terjejas, namun akses orang awam telah ditutup demi keselamatan.
“BCA sedang mengeluarkan perintah kepada pemilik bangunan supaya melantik seorang jurutera profesional untuk menyiasat punca runtuhan, memberi panduan mengenai langkah berjaga-jaga yang perlu diambil bagi mengelakkan sebarang bahaya, serta mencadangkan kerja pembaikan kekal,” tambah jurucakap itu.
Pembinaan dewan peringatan itu siap pada 2003, dan pihak biara sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dalam siasatan yang sedang dijalankan berhubung insiden itu, menurut jurucakap biara semasa menjawab pertanyaan media.
Semua kegiatan di biara itu akan diteruskan mengikut jadual, namun pergerakan di sesetengah kawasan mungkin akan diubah buat sementara waktu.
Ini demi memastikan persekitaran selamat untuk para pelawat, sukarelawan dan kakitangan, tambah jurucakap itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg