Topik diikuti
Pergi ke BHkuBuku baharu abadikan sejarah 142 tahun Masjid Al-Taqua
Buku baharu abadikan sejarah 142 tahun Masjid Al-Taqua
Rakam transformasi masjid daripada sebuah surau kecil kepada ‘mutiara’ yang memperkasa masyarakat
Buku baharu abadikan sejarah 142 tahun Masjid Al-Taqua
Diasaskan sebagai sebuah surau kecil di atas tanah wakaf pada 1883, Masjid Al-Taqua kian berkembang seiring dengan pertumbuhan masyarakat Bedok dan hingga kini, ia terus menampung keperluan ibadah serta aktiviti kemasyarakatan di Jalan Bilal.
Sempena ulang tahun ke-142 masjid itu, buku bergambar yang bertajuk Masjid Al-Taqua: Kilauan Mutiara Kota Singapura telah diterbitkan.
Buku setebal 444 muka surat itu dihasilkan di bawah seliaan Profesor Madya Emeritus Dr Hadijah Rahmat.
Beliau sebelum ini turut menerbitkan Kilat Senja, iaitu buku pertama mengenai masjid tersebut, pada 2005.
“Walaupun saya sudah menerbitkan Kilat Senja, projek ini mengukuhkan lagi pengetahuan saya.
“Saya menganalisis semula sejarah serta menambah dapatan dan penemuan baharu yang menarik,” kata Dr Hadijah kepada wartawan Berita Harian (BH) di majlis pelancaran buku itu di Village Hotel Changi pada 26 April.
Menurut beliau, kiasan ‘mutiara’ bagi Masjid Al-Taqua merujuk kepada kedudukan asal masjid, yang dikelilingi pesisiran pantai, serta sumbangannya yang dinamik dan progresif dalam menekankan nilai keharmonian, perpaduan, kemanusiaan dan kesejagatan.
Tambahnya, daripada kesemua masjid di Singapura, hanya enam yang telah didokumentasikan secara rasmi sejauh ini dalam bentuk buku.
Ini termasuk Masjid Sultan menerusi buku bertajuk The Grand Mosque of Singapore: Two Centuries of the History of Masjid Sultan yang diterbitkan pada 2025.
Majlis pelancaran buku itu dihadiri tetamu terhormat, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; serta Menteri Undang-Undang, Encik Edwin Tong, yang juga Anggota Parlimen GRC East Coast sebagai tetamu khas.
Turut hadir ialah Pengarah Kanan Sektor Satu Masjid Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Zalman Ali; Timbalan Ketua Eksekutif Muis, Encik Azree Rahim; dan Superintenden Daerah Masjid (Timur), Encik Mohamed Zain Mohamed.
Dalam ucapannya, Dr Faishal menarik perhatian sumbangan masyarakat kampung, yang kebanyakannya nelayan, yang pernah berganding bahu membangunkan masjid itu.
“Majlis hari ini bukan sahaja menghargai warisan masjid ini, tetapi juga mencerminkan komitmen kita untuk terus memelihara seni, budaya dan warisan sebagai asas jati diri masyarakat,” katanya.
Tambahnya, masjid bukan hanya tempat beribadah atau menuntut ilmu agama, bahkan ia juga satu institusi penting untuk masyarakat berkumpul dan membina hubungan.
“Kini, masjid kita memainkan peranan yang lebih luas dalam memenuhi keperluan sosioagama masyarakat, daripada pendidikan agama, bimbingan kekeluargaan, sokongan buat golongan memerlukan, hinggalah kepada pembangunan belia dan kesejahteraan warga emas.
“Ini penting agar masyarakat kita dapat menghadapi cabaran kehidupan dengan sokongan yang dekat dan menyeluruh,” ujar Dr Faishal.
Pengerusi Eksekutif Masjid Al-Taqua, Encik Mohd Khalid Mohd Lani, berkata sebanyak 500 naskhah buku telah dicetak.
Tambahnya, projek buku itu bermula sebelum sambutan ulang tahun ke-140 masjid, dengan tujuan menghimpunkan sejarah, pencapaian dan erti masjid ini buat masyarakat.
“Kami mendapatkan sumbangan daripada orang ramai dan amat terharu dengan respons yang diterima - bukan sahaja daripada bekas penduduk, malah sukarelawan, asatizah serta para sarjana di dalam dan luar negara,” katanya.
Dr Hadijah berkata buku itu mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan dengan melibatkan pasukan penyelidik daripada Universiti Nasional Singapura (NUS), Institut Pendidikan Nasional-Universiti Teknologi Nanyang (NIE-NTU) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
“Sebagai Ketua Penyunting, saya merangka konsep dan kandungannya, selain menganjurkan bengkel penulisan bersama (rakan pensyarah) Dr Nuraini Ismail untuk melatih bakal cendekiawan dalam bidang kajian,” ujar beliau, yang pernah menghadiri kelas tambahan bahasa Inggeris di masjid itu semasa remaja.
Beliau juga menekankan penerbitan buku ini bukan sekadar merakam sejarah, tetapi berharap ia dapat menjadi jambatan antara generasi dan mengingatkan masyarakat akan sifat ketahanan, kebersamaan dan identiti yang tersimpan dalam kesederhanaan sebuah masjid kampung.
Buku ini boleh didapatkan di Masjid Al-Taqua pada harga $70.
