Sebuah buku salasilah keluarga menjadi lambang kebersamaan bagi keluarga besar Encik Sufian Sujai yang terdiri daripada kira-kira 150 anggota.
Buku yang mengandungi maklumat keturunan mereka sejak lebih tiga generasi itu bukan sekadar rujukan sejarah, tetapi juga bukti kukuh akan tradisi perhimpunan Hari Raya yang diamalkan keluarganya sejak lebih dua dekad lalu.
“Tujuan buku itu supaya anak muda dalam keluarga tahu dari mana asal-usul mereka dan siapa saudara-mara mereka. Kami mahu menekankan yang keluarga dan ikatan persaudaraan tidak boleh diputuskan.
“Dengan keluarga yang semakin besar, agak sukar untuk kami melawat setiap rumah dalam tempoh yang singkat, jadi perhimpunan ini membolehkan kami bertemu tanpa risau tentang jadual yang bertindih,” jelas Encik Sufian, 76 tahun, seorang kontraktor.
Keluarganya merupakan salah satu daripada golongan keluarga lain di Singapura yang kini memilih untuk menyambut Hari Raya menerusi satu perhimpunan besar, berbanding melakukan kunjungan ke setiap rumah.
Tradisi itu menggantikan adat kunjungan rumah ke rumah yang semakin sukar dilakukan kerana jumlah keluarga yang besar dan jadual yang berbeza.
“Saya terharu dapat jumpa semua orang. Kalau buat kunjungan rumah, kami mampu pergi ke dua atau tiga rumah sahaja.
“Dengan mengadakan perhimpunan ini, kami tidak rasa terkilan kerana boleh jumpa hampir semua saudara-mara,” kongsinya.
Pada 5 April tahun ini (2025), keluarga Encik Sufian telah bertemu di Masjid Mydin, terletak di Jalan Lapang, antara Bedok dan Kembangan, buat kali pertama.
Menurut Encik Sufian, yang merupakan antara individu yang menguruskan majlis tahunan tersebut, ia kali pertama mereka berhimpun di sana.
Sebelum ini, mereka pernah berhimpun di Masjid Tentera Diraja di Clementi, serta Masjid Taqua di Bedok Road bagi menyambut Aidilfitri.
“Perhimpunan secara beramai-ramai ini bukan sahaja memudahkan pertemuan dengan saudara-mara, tetapi juga memastikan hubungan kekeluargaan terus kukuh tanpa kekangan masa dan jarak.
“Kami biasanya jumpa di masjid kerana ia lebih mudah untuk bersolat secara berjemaah, dan kami tidak perlu risau cari ruang untuk solat kerana sudah pun ada dewan solat di masjid.
“Anak-anak pun lebih seronok sebab dapat bermain dengan sepupu mereka. Yang tua pula boleh duduk berbual panjang, tanpa perlu tergesa-gesa ke rumah lain,” ujarnya.
Tambahnya, semasa tinggal di kampung dahulu, ahli keluarga mudah saling mengunjungi kerana tinggal berdekatan. Namun, selepas berpindah ke flat dan tinggal berjauhan, kunjungan rumah menjadi lebih sukar.
Selain itu, perhimpunan tersebut juga lebih praktikal dari segi logistik.
Dengan menyewa ruang di masjid, keluarganya dapat menjimatkan masa dan tenaga berbanding membuat kunjungan ke banyak rumah dalam sehari.
“Dari segi kos pun lebih jimat. Kalau nak buat rumah terbuka di setiap rumah, kami akan belanja lebih banyak.
“Dengan cara ini, semua orang boleh buat sumbangan untuk penyewaan lokasi atau makanan secara potluck,” kata Encik Sufian.
Perhimpunan pada 5 April itu juga dimeriahkan lagi oleh adanya bacaan Al-Quran oleh anak saudaranya, Ustazah Atiiqah Suhaimi, dan cucunya, Encik Mohd Syadruddin Syahmi.
Mereka berdua pernah mewakili Singapura dalam satu pertandingan antarabangsa membaca Al-Quran, Majlis Musabaqah Tilawah Al-Quran (MTQ), di Indonesia pada Januari 2025.
Encik Sufian juga melihat tradisi itu sebagai satu cara untuk memastikan nilai kekeluargaan terus diwarisi oleh generasi muda.
Oleh kerana perhimpunan itu dihadiri berbilang generasi, ia turut bertujuan memperkukuhkan ikatan silaturahim antara keluarga dan juga meraikan kesinambungan warisan generasi, katanya.
“Saya berharap generasi seterusnya akan terus menganjurkan perhimpunan seperti ini pada tahun-tahun akan datang supaya tradisi keluarga dapat dikekalkan,” ujarnya dengan penuh harapan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg