Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Buku bantu kanak-kanak fahami kehidupan keluarga tiri dilancar

Sep 14, 2025 | 6:12 PM
Perkahwinan semula, Vista Sakinah
Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim (depan, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Aidaroyani Adam (depan, kanan) bersama kakitangan, relawan dan kanak-kanak di acara pelancaran buku My Socks and I sempena sambutan Hari Keluarga Tiri Kebangsaan pada 14 September di Blok 549 Woodlands Drive 44.  - Foto PPIS

Mengemudi realiti perkahwinan semula dan keluarga tiri bukan sesuatu yang mudah, khususnya untuk anak-anak.

Lantaran itu, panduan seperti buku terkini yang dilancarkan pusat sokongan perkahwinan semula dan keluarga tiri, Vista Sakinah Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) dapat menjadi sumber membantu kanak-kanak mengharungi perubahan dengan keyakinan dan kasih sayang.

Ini ditegaskan Anggota Parlimen (AP) GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim semasa menghadiri majlis pelancaran buku My Socks and I sempena sambutan Hari Keluarga Tiri Kebangsaan pada 14 September di Blok 549 Woodlands Drive 44.

Dibangunkan oleh kaunselor Vista Sakinah, buku tersebut ditulis daripada perspektif kanak-kanak dan menggambarkan ketidakselesaan, harapan dan jangkaan kanak-kanak apabila ibu bapa mereka berkahwin semula.

Encik Zhulkarnain Abdul Rahim berkata:

“Buku ini berkongsi kisah yang menyentuh hati yang membantu kanak-kanak memahami konsep perkahwinan semula dengan cara yang lembut dan boleh dikaitkan.

“Ia lebih daripada sekadar buku – ia adalah alat untuk pemulihan, untuk empati, dan untuk membantu kanak-kanak mengharungi perubahan dengan keyakinan dan kasih sayang.”

Menurut Jabatan Perangkaan Singapura (DOS), hampir satu dalam tiga daripada lebih 5,000 perkahwinan yang didaftar pada 2024 di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla), adalah perkahwinan semula.

Kebanyakan daripadanya melibatkan kanak-kanak di bawah umur 21 tahun, menjadikan perkahwinan semula bukan sahaja perjalanan untuk pasangan, tetapi peralihan yang mendalam untuk anak-anak mereka juga, menurut Encik Zhulkarnain.

“Pembentukan keluarga tiri adalah kompleks. Ia bukan sahaja melibatkan pasangan tetapi juga anak-anak mereka, masing-masing mengemudi peranan, hubungan dan jangkaan baru.

“Penyelidikan menunjukkan bahawa proses penyesuaian dalam perkahwinan semula biasanya mengambil masa lebih lama daripada perkahwinan pertama – kira-kira 4 hingga 7 tahun – disebabkan oleh dinamik emosi dan hubungan yang terlibat.

“Dalam perjalanan ini, suara kanak-kanak penting. Apabila mereka didengari dan disokong, mereka lebih mampu menyesuaikan diri dengan kehidupan keluarga tiri, dan keluarga secara keseluruhannya menjadi lebih kuat,” ujar Encik Zhulkarnain.

Buku My Socks and I itu diterbit menggunakan kepakaran karyawan Vista Sakinah yang dibina selama 15 tahun bekerja rapat dengan keluarga tiri sejak penubuhannya pada 2011, menurut kenyataan pusat itu.

Vista Sakinah kekal sebagai satu-satunya pusat Muslim di Singapura khusus untuk menyokong keluarga melalui perkahwinan semula, menawarkan perundingan, bengkel psikopendidikan, dan penglibatan masyarakat kepada ibu bapa dan anak-anak.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PPIS, Cik Aidaroyani Adam, berkata dengan kemunculan perkahwinan semula dan keluarga tiri, usaha pusat-pusat seperti Vista Sakinah adalah penting.

“Mereka bukan sahaja memberi panduan kepada pasangan yang akan menjalani perkahwinan semula malah mewujudkan ruang selamat untuk anak-anak belajar cara menyesuaikan diri dengan persekitaran keluarga baru,” kata Cik Aidaroyani.

Buku itu akan disertakan ke dalam aktiviti persediaan perkahwinan dan pengayaan pusat tersebut.

Ia digunakan sebagai bahan memudahkan dialog bermakna antara ibu bapa dengan anak kecil berumur empat hingga 10 tahun mengenai topik perkahwinan semula dan dinamik keluarga tiri.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg