Kibaran puluhan bendera Singapura kecil di tangan dan senyuman terukir di wajah, melambangkan semangat patriotisme dalam kalangan hadirin.
Lagu-lagu tema Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) seperti Home, Count on Me Singapore, dan Stand Up for Singapore, dinyanyikan bersama.
Laungan satu suara bersama mereka dalam menyanyikan lagu kebangsaan dan ikrar negara di hujung acara, menggambarkan kesatuan hati dalam menyambut ulang tahun Singapura yang ke-60 (SG60).
Ruang dewan pula dihiasi dengan kehadiran hadirin dalam busana merah dan putih.
Demikian suasana semasa majlis Memperingati Hari Kebangsaan (NDO) yang diadakan di OnePeople.sg di Toa Payoh pada 8 Ogos.
Bertemakan Majulah Together 2025: MMOs Celebrate SG60, ia dianjurkan oleh Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) dan tujuh badan Melayu/Islam (MMO) lain yang buat julung-julung kalinya berganding bahu menganjurkannya secara kolektif.
Tujuh MMO tersebut adalah Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Pertapis, New Life Stories (NLS), Muhammadiyah, AMP Singapura (AMP), dan Casa Raudha.
Acara tersebut dihadiri sekitar 88 orang, termasuk pemimpin dan anggota daripada 18 badan Melayu/Islam (MMO) dan India/Islam (IMO).
Dalam semangat Hari Kebangsaan dan sambutan SG60, mereka berkumpul bagi memperbaharui komitmen bersama untuk terus menyumbang secara positif kepada keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Singapura.
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, turut hadir selaku tetamu terhormat.
Dalam satu hantaran Facebook pada 8 Ogos, Dr Faishal menekankan usaha MMO dan IMO dalam usaha-usaha nasional mereka dalam menyumbang kepada kemajuan masyarakat serta negara sempena SG60.
“Selama ini, MMO dan IMO telah saling melengkapi usaha-usaha nasional dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, pembangunan belia, pekerjaan, serta sokongan keluarga.
“Saya yakin kesan usaha bersama ini boleh dipertingkatkan lagi dengan kerjasama yang lebih mendalam,” ujar beliau.
Dalam pada itu, majlis turut diserikan dengan persembahan oleh penyanyi Art Fazil, yang menyanyikan lagu Orang Singapura ciptaan penggubah lagu, Allahyarham Zubir Said.
Beliau kemudian mengetuai nyanyian lagu kebangsaan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg