Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Buku baru mantan Ketua Editor ST gesa akhbar jadi suara alternatif media Barat

Jul 2, 2025 | 7:59 PM
mantan ketua editor ST, cheong yip seng, buku ink and influence: an OB markers sequel
Mantan Ketua Editor, The Straits Times, Encik Cheong Yip Seng, melancarkan buku baru beliau bertajuk, ‘Ink and Influence: An OB Markers Sequel’, dalam satu majlis yang diadakan di bangunan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) pada 2 Julai. - Foto ST

Dalam era geopolitik yang berbahaya hari ini, di mana media Barat memaparkan laporan berbahasa Inggeris yang bersifat “berat sebelah” dan “hipokrit”, The Straits Times (ST) pula mempunyai peluang untuk “memenuhi satu bidang dalam pasaran” yang memberi perspektif Singapura dan Asia, kata mantan Ketua Editor akhbar itu, Encik Cheong Yip Seng, dalam buku terkininya.

Dalam hal itu, beliau berkata akhbar bahasa Inggeris Singapura yang berusia 180 tahun pada 2025 itu “boleh menghasilkan penerbitan berita geopolitik kelas atas yang dihormati”, dan menjadi akhbar sejagat pertama negara ini yang meluaskan suara Singapura mengenai isu penting kepada pembaca dunia.

Encik Cheong, 82 tahun, berkata demikian dalam buku terbarunya bertajuk, Ink and Influence: An OB Markers Sequel, yang dilancarkan dalam satu majlis di bangunan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), pada 2 Julai.

Ia dihasilkan menyusuli bukunya bertajuk, OB Markers: My Straits Times Story, yang diterbitkan pada 2012 dan mengisahkan pengalamannya selama empat dekad sebagai seorang wartawan di Singapura.

“Media Barat berbahasa Inggeris mendominasi pasaran sejagat hari ini.

“Namun, ia mempunyai sudut yang lemah; berat sebelah dan apa yang dilihat sebagai sifat hipokrit terang-terangan oleh pihak Barat sendiri,” kata Encik Cheong dalam bukunya itu.

“Warga Amerika melihat orang lain melalui lensa yang diwarnai nilai-nilainya – hak asasi manusia, kebebasan media dan politik bermusuhan.

“Negara-negara Asia mempunyai cara tersendiri dalam mengatur diri mereka, mengambil kira budaya, geografi dan sejarah mereka.

“Hampir tidak ada sebab bagi negara Asia meniru sistem politik Amerika atau British. Begitu juga mereka,” tambah beliau.

Encik Cheong memberi beberapa contoh sifat berat sebelah dan hipokrit dunia Barat, termasuk berkenaan konflik Israel-Gaza.

Buat sekian lama, negara-negara di dunia, termasuk Singapura, menyaksikan “perjuangan yang diketuai Amerika Syarikat untuk hak asasi manusia”, namun apabila rakyat Palestin ditindas dan diserang di Gaza, pejuang hak asasi manusia di Barat bersikap acuh tak acuh, tulis beliau.

“Amerika terus menyokong Israel, dengan kata-kata dan senjata.

“Mereka memang menyeru pendekatan lebih berperikemanusiaan dalam perang, untuk melindungi nyawa rakyat Palestin tidak bersalah. Namun, ia hanyalah kata-kata.

“Amerika melakukan perkara ini walaupun ia menjejas kedudukan sejagatnya,” kata beliau.

Satu lagi contoh yang diberikan beliau ialah rusuhan yang berlaku di Hong Kong pada 2019.

“Apabila penunjuk perasaan anti-China menyerbu dan merosakkan Kompleks Majlis Perundangan Hong Kong, Cik Nancy Pelosi, Speaker Dewan Perwakilan Amerika ketika itu, menyebutnya sebagai “pemandangan yang indah”.

“Jika beliau konsisten, beliau sepatutnya juga memberi reaksi serupa apabila kumpulan perusuh Amerika menyerbu Capitol Amerika pada 6 Januari 2021,” kata beliau.

Memberikan hujahan yang memihak kepada ST untuk memberi tumpuan pada geopolitik, Encik Cheong berkata “garisan yang memisahkan berita tempatan dan asing amat tipis” dan terdapat banyak berita yang berlaku di luar negara mempunyai kaitan langsung dengan Singapura.

Sebagai contoh, tindakan kumpulan Houthi menyerang kapal di Laut Merah telah menyebabkan talian bekalan terganggu, import menjadi lebih mahal dan pelabuhan seperti di Singapura perlu menangani isu kesesakan.

Encik Cheong berkata contoh sedemikian meyakinkan beliau bahawa Singapura tidak akan rugi banyak “jika ST yang berwajah baru membuang liputan hal perbandaran, ehwal masyarakat, jenayah tempatan dan gaya hidup”, sambil menambah bahawa media lain sudah pun melakukan langkah berkenaan.

Meskipun strategi sedemikian akan menjejas pembaca tempatan, ia akan diimbangi dengan tambahan dalam pembaca sejagat yang berpengaruh, kata Encik Cheong.

“Oleh itu, adalah lebih baik untuk melaporkan politik, perniagaan, ekonomi dan diplomasi Singapura bagi khalayak kelas atasan,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg