Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Buku gambar hasil penduduk abadi kenangan Geylang Serai dilancar

Aug 24, 2024 | 4:33 PM
(Dari kanan) Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman  meninjau pameran foto di galeri Kamal Arts pada 24 Ogos bersama Pengasas Studio Kamal Arts, Encik Kamal  Dollah dan pekerja sosial, Encik Muhamad ‘Izuddin Sufian Sujai.
(Dari kanan) Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman  meninjau pameran foto di galeri Kamal Arts pada 24 Ogos bersama Pengasas Studio Kamal Arts, Encik Kamal Dollah dan pekerja sosial, Encik Muhamad ‘Izuddin Sufian Sujai. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Suasana kecoh dengan orang ramai membanjiri Pasar Geylang Serai setelah matahari terbit.

Jalan raya di Geylang Serai bermandikan cahaya berwana-warni sewaktu musim perayaan.

Pelanggan sibuk membeli-belah bahan memasak bagi juadah Hari Raya Puasa.

Inilah antara gambar yang dipetik untuk merakam landskap serta kegiatan yang mendefinisikan Geylang Serai dalam era sekarang dan kini diterbitkan dalam buku.

Buku berjudul ‘InstaGeylang: Geylang Serai Through Community Lenses’ itu dilancar Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman, pada 24 Ogos di galeri Kamal Arts, Wisma Geylang Serai.

Ia mengandungi 108 gambar yang dipilih daripada lebih 3,000 gambar yang disumbang jurugambar amatur dan profesional serta pihak awam bagi peraduan InstaGeylang yang diadakan di media sosial sejak tiga tahun lalu.

Mereka telah menyumbang gambar di Instagram menggunakan ‘hashtag’ #instageylang.

Peraduan tersebut dianjurkan bersama oleh Wisma Geylang Serai, Jalur Budaya Geylang Serai (GSCB) dan studio seni, Kamal Arts.

Buku tersebut boleh diperolehi daripada studio Kamal Arts di WGS. Versi digital juga boleh dimuat turun secara percuma di laman web kamal.sg.

Dalam ucapannya, Dr Maliki berkata buku ini menggambarkan bagaimana tradisi Melayu seperti persembahan tarian, ketukangan, seni visual masih bertahan lama dalam dunia moden.

“Dokumentasi ini adalah bukti warisan budaya Singapura yang kaya dan identiti uniknya.

“Di samping itu, kita dapat lihat semangat Singapura yang hebat daripada himpunan perspektif masyarakat Singapura. Melihat foto rumah kedai Peranakan, tarian singa, orang ramai daripada pelbagai latar belakang yang tersenyum dan beraksi, menunjukkan bahawa ini adalah mercu tanda penting bagi semua rakyat Singapura,” tambahnya.

Pengasas Studio Kamal Arts, Encik Kamal Dollah akui bahawa walaupun gambar yang dipetik boleh dilihat di media sosial, ia tetap penting mengabadikannya dalam bentuk fizikal.

“Ia adalah tentang pemuliharaan buat generasi akan datang...Kalau kita tak ceritakan cerita kita, orang lain akan menceritakannya,” tambah beliau.

Encik Muhamad ‘Izuddin Sufian Sujai memenangi tempat kedua untuk cabaran InstaGeylang 2024 bagi gambarnya yang menunjukkan pelanggan Melayu membeli ketupat di Pasar Geylang Serai.
Encik Muhamad ‘Izuddin Sufian Sujai memenangi tempat kedua untuk cabaran InstaGeylang 2024 bagi gambarnya yang menunjukkan pelanggan Melayu membeli ketupat di Pasar Geylang Serai. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Sewaktu majlis pelancaran buku tersebut, beberapa anugerah turut diberikan kepada pemenang peraduan InstaGeylang 2024.

Menduduki tempat kedua ialah Encik Muhamad ‘Izuddin Sufian Sujai, 35 tahun.

Pekerja sosial itu yang tidak menduga gambarnya akan dipilih sebagai salah seorang pemenang berkata beliau berbesar hati gambarnya akan dapat dilihat oleh generasi akan datang.

“Waktu saya petik gambar ialah pada sebelah pagi, minggu terakhir Ramadan. Saya ingin merakam suasana sedang orang ramai sibuk membuat persiapan untuk Hari Raya,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg