Topik diikuti
Pergi ke BHkuBuku Jayakumar papar proses 3 pindaan Perlembagaan S’pura
Buku tulisan mantan Timbalan Perdana Menteri beri gambaran selok-belok kerja Kabinet, proses gubal undang-undang
Mantan Timbalan Perdana Menteri, Profesor S. Jayakumar, berharap dapat memberi gambaran kepada orang ramai tentang selok-belok kerja Kabinet serta proses membuat keputusan berhubung tiga undang-undang – skim Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC), dan Presiden Dipilih (EP) – menerusi bukunya yang bertajuk Creating Three Unique Singapore Laws: An Inside Story.
Dilancarkan pada 12 Ogos di bangunan Kementerian Ehwal Luar (MFA), buku hasil tulisan Profesor Jayakumar itu, yang setebal 243 halaman, mengupas proses pindaan Perlembagaan Singapura bagi menubuhkan tiga institusi tersebut.
Turut hadir semasa majlis pelancaran buku itu ialah Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong; Mantan Presiden, Dr Tony Tan; dan Menteri Kanan Emeritus, Encik Goh Chok Tong.
Memberi perincian lebih lanjut, Profesor Jayakumar, 87 tahun, berkata:
“Saya fikir penting bagi kita untuk meneliti amalan terbaik negara lain, menyesuaikan amalan yang berguna kepada kita atau menyesuaikannya mengikut keadaan kita.
“Namun, kita juga perlu sedar dengan jelas bahawa pendekatan yang digunakan oleh negara lain tidak semestinya sesuai atau berkesan di Singapura kerana keadaan kita berbeza.
“(Buku saya) merupakan satu ilustrasi, secara kecil, tentang bagaimana kita perlu mencari jalan penyelesaian bagi situasi yang luar biasa, berfikir di luar kotak, serta menghasilkan penyelesaiannya.”
Profesor Jayakumar, yang menyertai bidang politik pada 1980, terlibat dalam proses menggubal ketiga-tiga undang-undang tersebut, daripada peringkat pencetusan idea sehingga diluluskan menjadi undang-undang.
Idea untuk menghasilkan buku itu mula tercetus pada 2011. Namun, Profesor Jayakumar hanya menyambung semula menulis buku itu pada 2025, atas dorongan Encik Lee.
Ketika berucap di majlis pelancaran itu, Encik Lee berkata:
“Buku tersebut merupakan sumbangan penting kepada sejarah perundangan dan perlembagaan Singapura.”
Namun, dalam menilai ketiga-tiga institusi tersebut, Encik Lee mengingatkan bahawa “perkara yang paling utama ialah kepentingan jangka panjang Singapura, serta usaha mengekalkan sistem politik yang stabil dan berfungsi dengan baik”.
Dalam pada itu, Encik Lee telah mengupas tiga undang-undang itu dengan lebih lanjut.
Pertama, berhubung undang-undang bagi EP yang berkuatkuasa pada 1991.
Di bawah gagasan asal mantan Perdana Menteri Singapura, mendiang Encik Lee Kuan Yew berkenaan jawatan EP, Presiden disifatkan sebagai seorang “penjaga wiket” yang mempunyai kuasa amat luas, termasuk membubarkan Parlimen, mengadakan referendum nasional, dan mengisytiharkan keadaan darurat.
Undang-undang yang akhirnya diluluskan adalah sangat berbeza daripada cadangan asal mendiang Encik Lee dan terhasil selepas perdebatan yang sengit, di mana ramai menteri muda ketika itu menentang cadangan asal tersebut, seperti yang dikongsi Profesor Jayakumar dalam bukunya.
Justeru, menurut Encik Lee dalam ucapannya, rakyat Singapura perlu berhati-hati agar tidak memilih Presiden yang melampaui peranan dan tanggungjawabnya sehingga menyebabkan sistem tersebut tidak dapat berfungsi dengan baik.
Di bawah skim GRC yang dimulakan pada 1988, sekurang-kurangnya seorang calon mesti terdiri daripada kaum minoriti, yang ditakrifkan sama ada sebagai komuniti Melayu atau India dan minoriti lain seperti Serani.
Namun, Profesor Jayakumar mendedahkan dalam bukunya bahawa anggota Kabinet telah mempertimbangkan beberapa mekanisme bagi menangani isu perwakilan masyarakat Melayu apabila ia kali pertama diketengahkan mendiang Encik Lee.
Antaranya termasuk menetapkan kawasan undi perseorangan (SMC) tertentu yang mesti diisi oleh wakil Melayu, serta mewujudkan “kawasan undi berkembar” dengan menggabungkan dua SMC, yang mana sekurang-kurangnya seorang daripada Anggota Parlimen (AP) mesti berbangsa Melayu.
Susulan maklum balas daripada menteri-menteri Kabinet yang lain, termasuk perdebatan mengenai mekanisme yang patut digunakan, yang turut disuarakan oleh Profesor Jayakumar sendiri, sistem GRC kemudiannya dibentuk sebagai pengembangan daripada idea kawasan undi berkembar tersebut.
Tumpuan telah beralih daripada hanya memastikan perwakilan masyarakat Melayu kepada usaha memastikan perwakilan daripada masyarakat India dan masyarakat minoriti lain turut terjamin.
Encik Lee berkata “skim tersebut telah memberi sumbangan besar dalam melindungi dan memupuk politik berbilang kaum di Singapura”.
Skim NCMP, yang diperkenalkan pada 1984, bertujuan untuk memastikan bahawa sentiasa terdapat jumlah minimum anggota pembangkang yang diwakili di Parlimen.
Encik Lee berkata harapan orang ramai untuk melihat lebih banyak suara alternatif di Parlimen telah meningkat.
Justeru, pemerintah juga mendapati lebih banyak suara alternatif di Parlimen memberi manfaat, selain memberi ruang untuk mereka terlibat dalam perbahasan politik yang teguh dan terbuka, kata Encik Lee.
