Apabila Encik Mohamed Zulkifli Rahmat mendapati arwah bapanya, yang dilahirkan di Bangkok, Thailand, merupakan antara generasi tua terakhir dalam keluarga yang masih hidup, beliau berdepan hakikat bahawa sejarah keluarganya mungkin lenyap jika tiada usaha dilakukan untuk melestarikannya.

Justeru, bekas Editor Malam Berita Harian (BH) itu memulakan usaha sekitar 2010 untuk mengumpul maklumat saudara-mara dekat dan jauh demi menghasilkan buku salasilah sebagai legasi agar generasi muda keluarganya mengenali keturunan mereka.

“Jika saya tidak mendapatkan cerita dan butiran daripada anggota keluarga yang masih ada, generasi seterusnya tidak akan mengetahui asal usul mereka,” jelas Encik Zulkifli, 71 tahun.

Beliau merupakan sebahagian daripada gerakan yang semakin berkembang dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam Singapura yang kian berminat menjejaki sejarah keturunan keluarga.

Walaupun arwah bapanya, yang ketika itu berusia 93 tahun, mampu mengingati pelbagai perincian untuk dimuatkan dalam buku salasilah keluarga yang dihasilkannya, Encik Zulkifli berkata “masih terdapat kekosongan yang menyakitkan”.

Menurutnya, ibunya dan beberapa saudara yang lebih tua telah meninggal dunia sebelum kisah mereka sempat dirakamkan, sekali gus mendorongnya untuk tidak lagi melengah-lengahkan usaha tersebut.

Selain memaparkan carta salasilah keluarga masing-masing, buku itu turut mengisahkan latar belakang dan kisah setiap keluarga, berserta peta asal usul.

Ia juga mengandungi data dalam bentuk visual yang menunjukkan statistik seperti taburan umur anggota keluarga, status perhubungan dan bilangan anak setiap keluarga.

Buku itu bukan sahaja mengandungi carta salasilah keluarga masing-masing, malah mengisahkan latar belakang dan kisah setiap keluarga.
Buku itu bukan sahaja mengandungi carta salasilah keluarga masing-masing, malah mengisahkan latar belakang dan kisah setiap keluarga. - Foto MOHAMED ZULKIFLI RAHMAT

“Sayangnya sebab saya dah terlewat dan tidak dapat dengar cerita yang sebenar daripada arwah ibu saya.

“Jika golongan muda mahu memulakan usaha serupa, saya menggesa mereka supaya bermula lebih awal selagi datuk dan nenek mereka masih hidup,” ujarnya.

Encik Zulkifli, yang kini bekerja sebagai penyemak terjemahan sambilan, berpendapat keperluan mendesak itu lebih ketara dalam masyarakat Melayu.

Ini kerana, tidak seperti keluarga Cina yang menggunakan nama keluarga dan persatuan suku untuk menjejak salasilah, sistem penamaan patronimik (berdasarkan bapa) Melayu/Islam yang menggunakan ‘bin’ dan ‘binti’ menyukarkan proses tersebut.

“Tanpa rekod bertulis, keluarga berisiko kehilangan bahagian penting dan menarik dalam sejarah mereka dalam tempoh hanya dua atau tiga generasi,” katanya.

Buku tersebut turut mengandungi statistik seperti taburan umur, status perhubungan dan bilangan anak setiap keluarga.
Buku tersebut turut mengandungi statistik seperti taburan umur, status perhubungan dan bilangan anak setiap keluarga. - Foto MOHAMED ZULKIFLI RAHMAT

Mengulas proses menghasilkan buku itu, Encik Zulkifli berkata beliau mengambil masa kira-kira setahun untuk mengumpul dan menyemak maklumat yang diterimanya daripada anggota keluarga.

Beliau menghubungi setiap keluarga dan mengumpul maklumat terperinci seperti nama penuh berdasarkan kad pengenalan atau sijil kelahiran, tarikh lahir, tarikh perkahwinan, latar belakang, serta keistimewaan dan pekerjaan setiap anggota keluarga.

Menurutnya, usaha tersebut yang memerlukan kesabaran tinggi turut membawanya dari rumah ke rumah untuk sesi temu bual, selain berhubung melalui mesej teks.

“Namun begitu, proses ini bukan mudah kerana antara cabaran utama ialah apabila menyentuh isu sensitif melibatkan sejarah peribadi yang mungkin tidak mahu diungkit semula oleh anggota keluarga.

“Ada juga yang curiga dan takut dengan niat saya mengumpul maklumat peribadi.

“Pada awalnya, ramai yang keberatan berkongsi gambar, jadi terdapat beberapa individu dalam buku itu tanpa wajah,” kongsinya sambil tertawa.

Bagi menyusun maklumat secara sistematik, Encik Zulkifli menggunakan wadah genealogi digital, MyHeritage.com.

Menurutnya, beliau hanya perlu memasukkan butiran asas seperti nama penuh, tarikh lahir dan pertalian, sebelum sistem tersebut menjana carta salasilah keluarga secara automatik.

Untuk mereka bentuk buku pula, beliau menggunakan perisian Microsoft Word.

Setelah teks dimuktamadkan, setiap halaman dicetak satu persatu di rumahnya menggunakan pencetak laser sebelum dihantar ke kedai penjilidan.

Walaupun Encik Zulkifli mengumpul maklumat daripada anggota keluarga, isterinya membantu menulis sebahagian besar kandungan buku itu dalam bahasa Inggeris.

“Buku ini memang hasrat saya, tetapi ia hanya menjadi kenyataan dengan galakan, sokongan dan kerja keras isteri saya.

“Pada waktu itu, saya masih bekerja di BH, jadi sering penat selepas tamat kerja lewat malam.

“Isteri saya yang mendorong saya untuk menyiapkan buku ini, lebih-lebih lagi selepas anggota keluarga lain sudah berkongsi maklumat,” katanya.

Encik Zulkifli dan isterinya memilih bahasa Inggeris agar buku tersebut dapat difahami oleh saudara-mara di United Kingdom serta anggota keluarga yang tidak bertutur dalam bahasa Melayu.

Sebahagian halaman di hujung buku turut disertakan terjemahan dalam bahasa Melayu.

Apabila edisi pertama buku itu diterbitkan sekitar 2012, Encik Zulkifli mengedarkan kira-kira 30 naskhah secara percuma kepada setiap keluarga yang menyumbang maklumat.

“Selepas melihat hasil fizikal buku itu, saudara-mara mula teruja. Ada yang mempersoalkan ketiadaan wajah mereka.

“Ini secara tidak langsung memudahkan saya mengumpul lebih banyak gambar dan maklumat, dan akhirnya menerbitkan edisi kedua yang lebih lengkap,” tambah beliau.

Menurut Encik Zulkifli, arwah bapanya meninggal dunia sekitar dua tahun selepas edisi pertama buku itu diterbitkan.

“Beliau sempat melihat buku itu sebelum pemergiannya, dan saya rasa beliau bangga kerana sejarah keluarganya telah dirakamkan.

“Buku ini seperti legasi untuk generasi akan datang… saya tulisnya bukan untuk saya tetapi untuk mereka,” kongsinya.

Tambahnya, buku tersebut juga bertujuan merapatkan lagi silaturahim antara anggota keluarga dan hubungan kekeluargaan antara mereka yang tidak selalu berjumpa.

Oleh kerana buku itu mengandungi tarikh lahir anggota keluarga, Encik Zulkifli juga menggunakannya sebagai wadah rujukan untuk mengucapkan selamat hari lahir.

“Ada yang hairan, ‘Eh macam mana kau tahu hari lahir aku?’ dan saya membalas, ‘Kan ada buku tu!’

“Jadi inilah tujuan buku itu, untuk membantu keluarga saya menjalin hubungan rapat antara satu sama lain,” terang Encik Zulkifli.