Topik diikuti
Pergi ke BHkuWarisan surat lama buka jalan kepada pertemuan keluarga di Surakarta
Warisan surat lama buka jalan kepada pertemuan keluarga di Surakarta
Warisan surat lama buka jalan kepada pertemuan keluarga di Surakarta
Bagi kebanyakan pelajar, mengisi borang maklumat peribadi di sekolah hanyalah satu rutin biasa.
Namun, bagi Cik Shahida Irdayu Rosman, sehelai dokumen sekolah telah mencetuskan krisis identiti dan persoalan yang berpanjangan.
Pada kad pengenalan (NRIC) beliau, bangsanya tidak tertulis sebagai ‘Melayu’ atau ‘Jawa’, sebaliknya dilabel dengan istilah ‘Indonesian Extract’ ataupun bermaksud berketurunan Indonesia.
“Ini dengan semula jadi cetus persoalan mengapa bangsa saya lain daripada yang lain, dan lama kelamaan saya dapat tahu daripada keluarga saya yang kami mempunyai keturunan Indonesia,” jelas Cik Shahida, 36 tahun.
Ketika masih remaja, beliau mendapat tahu tentang asal usul keluarganya yang berasal dari Surakarta, Indonesia, dan menanamkan hasrat untuk menghubung semula dengan saudara-maranya di sana.
Surakarta, yang lebih dikenali sebagai Solo, merupakan kota utama di wilayah Jawa Tengah. Ia terletak kira-kira 1.5 jam perjalanan dengan kereta api dari Yogyakarta.
Selain bertanyakan kepada neneknya mengenai sejarah keluarga, beliau turut membaca surat lama yang menggambarkan hubungan lama antara saudara di Surakarta.
Menurut Cik Shahida, surat tersebut dikirim antara arwah datuknya, Allahyarham Osman Kassim, dengan arwah pak ciknya, Allahyarham Slamet Supardi, yang pernah bekerja di RRI Surakarta, sebuah stesen radio di kota itu.
Surat tersebut, kata beliau, adalah satu-satunya warisan yang kekal berkenaan keluarga mereka di Surakarta.
“Walaupun saya sudah lama menyimpan hasrat untuk mencari saudara-mara di Surakarta sejak zaman persekolahan, kami sekeluarga tidak aktif mencari mereka dahulu kerana media sosial belum wujud.
“Baru ini sahaja kami merancang untuk mencari mereka dengan tekun selepas memutuskan Surakarta sebagai destinasi percutian,” terang beliau.
Mengisahkan kisah perpisahan keluarganya, Cik Shahida berkata ia bermula dengan arwah datuknya yang merantau dari Surakarta ke Pahang, Malaysia, pada lewat 1930-an atau awal 1940-an untuk mencari rezeki.
Allahyarham kemudian berhijrah ke Singapura sejurus sebelum pendudukan tentera Jepun.
Cik Shahida menambah arwah datuknya bimbang akan keselamatan keluarganya apabila ancaman perang semakin memuncak dan mengarah adik-beradiknya pulang ke Surakarta manakala beliau kekal di Singapura.
“Selepas perang tamat, datuk berkahwin di Singapura dan hubungan dengan keluarga di Surakarta perlahan-lahan pudar.
“Satu-satunya yang tinggal adalah surat lama antara arwah datuk dengan arwah pak cik saya yang mengandungi alamat stesen radio RRI Surakarta,” kongsinya.
Berbekalkan alamat tersebut yang diberikan oleh mak ciknya pada Disember 2024, Cik Shahida memulakan misi pencariannya secara intensif pada Januari 2025 menerusi pencarian Google dan menghantar e-mel ke perpustakaan daerah serta stesen radio tersebut.
Hampir berputus asa setelah tidak mendapat balasan, Cik Shahida akhirnya memuat naik hantaran di sebuah kumpulan Facebook khas untuk pesara RRI Surakarta bagi mencari kenalan arwah pak ciknya.
“Pada hari sama, saya menerima mesej balas daripada bekas rakan sekerja pak cik saya, yang kemudian memberikan nombor telefon isteri pak cik saya.
“Pintunya mula terbuka dari situ... kami kemudian mula merancang untuk bertemu di Surakarta,” luah beliau.
Cik Shahida sekeluarga akhirnya membuat keputusan muktamad untuk ke Surakarta pada Oktober 2025.
Mereka terbang dari Singapura ke Yogyakarta, kemudian menaiki kereta api dari Yogyakarta ke Klaten, dan akhirnya menaiki bas dari Klaten ke Surakarta.
Bagi mendokumentasikan perjalanan bersejarah itu, Cik Shahida, yang sememangnya gemar menonton dokumentari tentang penyatuan keluarga, telah mengupah seorang juruvideo berpangkalan di Surakarta.
Menurutnya, beliau mahu merakamkan penyatuan itu sebagai warisan visual buat generasi muda keluarganya agar mereka tidak lagi kehilangan arah tentang asal usul identiti mereka.
Beliau kemudian mengundang keluarganya untuk menonton dokumentari bersama-sama untuk menyambut penyatuan keluarga mereka.
Namun, Cik Shahida berkata perjalanan ke Surakarta yang melibatkan 22 anggota keluarga Singapura itu bermula dengan sedikit keraguan.
“Pada awalnya, saudara-mara muda di sana sukar mempercayai kesahihan kaitan kita, sehinggalah saya menghantar gambar ketibaan kami di dalam kumpulan sembang WhatsApp.
“Tetapi keajaiban berlaku pada malam pertemuan apabila restoran yang kami tempah untuk 30 orang secara tiba-tiba dibanjiri kira-kira 100 anggota keluarga yang hadir untuk menyambut ketibaan kami,” ujarnya.
Meskipun Cik Shahida sudah lama mendambakan pertemuan saudara-maranya, beliau berkata bapanya yang paling beremosi pada hari tersebut.
Beliau menyifatkan bapanya, Encik Rosman Osman, 70 tahun, bekas pengusaha katering perkahwinan, sebagai seorang ‘introvert’ yang tidak banyak bergaul.
“Seumur hidup saya, saya tak pernah lihat ayah nangis. Tetapi apabila bersua muka dengan darah dagingnya sendiri buat kali pertama, emosinya runtuh,” kata Cik Shahida.
Encik Rosman, yang tersenyum mendengar kata-kata anak perempuannya, berkata:
“Bila dah jumpa mereka, saya terfikir kepada diri sendiri, ‘Ini betul-betul keluarga aku…’ Saya peluk mereka kuat-kuat.”
Kemahiran kateringnya turut menjadi buah mulut di Surakarta apabila beliau memasak Nasi Goreng Solo – resipi warisan turun-temurun – untuk saudara-maranya.
Encik Rosman yang dahulu hanya mempunyai adik-beradik berpangkalan di Singapura, kini sentiasa berhubung dengan saudara-mara di Surakarta melalui WhatsApp hampir setiap hari untuk bertanya khabar, berkongsi gambar masakan dan merancang percutian.
Saking cintanya kepada keluarga barunya, Encik Rosman berkata beliau sudah menyimpan bekalan pakaian selama seminggu di rumah saudaranya di Surakarta supaya boleh pulang pada bila-bila masa tanpa perlu berkemas.
Malah, beliau yang kini bekerja sebagai pemandu Grab secara sambilan, telah mengunjungi Surakarta sekali lagi pada Januari 2026 bersama isterinya untuk meluangkan lebih masa bersama saudara-mara di sana.
“Ayah dah tahu lokasi kampung kat mana, jadi dia sombong lah, dia pergi tanpa anak!” seloroh Cik Shahida.
“Kunjungan pertama rasa terlalu singkat jadi saya tak sempat nak kenal semua orang.
“Apabila saya ke sana buat kali kedua, saya meluangkan kira-kira dua jam di setiap rumah saudara untuk mengenali mereka dengan lebih dekat,” jelas Encik Rosman sambil tertawa.
Meskipun pasangan bapa dan anak itu menghargai peluang menghubung semula dengan saudara-mara, mereka juga kesal tidak dapat bertemu dengan mereka lebih awal.
Namun, mereka juga berpeluang menziarahi makam saudara-mara yang telah meninggal, terletak berdekatan rumah masing-masing.
Bagi Cik Shahida dan generasi muda keluarganya, penyatuan keluarga tersebut melengkapkan kefahaman tentang identiti mereka.
“Jika dulu saya rasa tiada ikatan emosi dengan status ‘Indonesian Extract’ pada kad pengenalan, saya kini bangga dapat katakan saya ada asal usul Surakarta,” luahnya.
