Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bumbung sementara di Kampung Admiralty runtuh lagi akibat hujan lebat

Aug 5, 2024 | 5:57 PM
Keadaan sebahagian bumbung sementara di plaza komuniti Kampung Admiralty yang runtuh akibat hujan lebat pada petang 4 Ogos, menyebabkan acara yang diadakan di situ terpaksa dibatalkan.
Keadaan sebahagian bumbung sementara di plaza komuniti Kampung Admiralty yang runtuh akibat hujan lebat pada petang 4 Ogos, menyebabkan acara yang diadakan di situ terpaksa dibatalkan. - Foto Facebook/Alex Yam, pembaca AsiaOne

SEBAHAGIAN bumbung sementara di plaza komuniti Kampung Admiralty runtuh akibat hujan lebat pada petang 4 Ogos, menyebabkan acara yang diadakan di situ terpaksa dibatalkan.

Video yang dikongsi di Facebook kumpulan Complaint Singapore menunjukkan beberapa peserta Festival SkillsFuture @ North West, bergegas mencari perlindungan ketika air hujan mencurah-curah membasahi mereka, lapor AsiaOne.

Bercakap kepada 8World, seorang wakil syarikat dalam majlis itu berkata, risalah mereka semua dibasahi air akibat hujan lebat yang berlaku kira-kira 1.45 petang.

Wanita itu menambah, rakan sekerjanya telah mengalihkan televisyen di reruai mereka, selepas menyedari kanvas yang menutupi bahagian bumbung tersebut tidak dapat menampung berat air hujan.

Beliau turut mempersoal penggunaan kanvas biru itu sebagai huraian jangka panjang untuk menutup bahagian bumbung tersebut, dan bimbang kejadian serupa mungkin berulang.

Seorang lagi wakil dari syarikat lain yang berada dalam majlis sama menambah, beberapa peralatan elektronik mereka rosak akibat hujan dan perlu dibaiki.

Tambahnya, acara yang sepatutnya tamat pada 5 petang itu berakhir lebih awal akibat kejadian tidak dijangka tersebut.

Seorang pesara berusia 70 tahun, yang berada di plaza komuniti itu, memberitahu 8World bahawa ini ‘bukan kali pertama’ bumbung sementara di situ runtuh.

Menurut beliau, sejenis terpal putih yang boleh ditarik balik pernah digunakan untuk menutup lubang pada bumbung tersebut beberapa tahun lalu.

Namun, beliau perasan pada hari itu ia telah digantikan dengan kanvas biru.

Lelaki tersebut berkata, terpal putih yang digunakan sebelum ini lebih kukuh, dan tertanya-tanya sama ada kanvas biru itu digunakan kerana kerja pembaikan yang sedang dijalankan.

“Ada kanak-kanak berlari-lari dan orang menunggang basikal. Ia boleh menjadi sangat berbahaya kerana lantai boleh menjadi sangat basah dan orang ramai mungkin tergelincir secara tidak sengaja,” katanya.

Seorang lagi pejalan kaki bernama Encik Lim berkata, beliau terkejut melihat air hujan di plaza komuniti itu.

Beberapa pekerja telah memasang semula terpal di atas bumbung selepas kejadian itu, katanya sambil berkata air masih menitis di situ akibat hujan.

Anggota Parlimen, Encik Alex Yam, berkata di Facebook bahawa kawasan yang terjejas di plaza komuniti tersebut sudah dikepung sebelum kejadian itu berlaku, dan tiada sesiapa yang cedera.

Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) sedang menyiasat kejadian itu, tambahnya.

“Kami ingin memaklumkan kepada semua penduduk yang mungkin menuju ke acara CDC Barat Laut bahawa semua aktiviti telah dibatalkan,” kata Encik Yam.

“Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg