Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bunga api 360, Onward March antara suntikan baru NDP 2024

May 23, 2024 | 4:44 PM
Bunga api menyinari kawasan Marina Bay pada sambutan Hari Kebangsaan 2023.
Bunga api menyinari kawasan Marina Bay pada sambutan Hari Kebangsaan 2023. - Foto fail ST

Pengalaman 360 darjah yang mengasyikkan, Onward March di Padang dan Pertunjukan Pertahanan Dinamik (D3) Pertahanan Mutlak 40 (TD40) akan diperkenalkan buat kali pertama dalam Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2024.

Bertemu media pada 23 Mei, pengerusi Jawatankuasa Eksekutif NDP 2024, Brigedier-Jeneral (BG) Wilson Low, berkata bahawa pengalaman 360 darjah mengasyikkan itu akan dilakukan dengan membawa persembahan dan interaksi penonoton lebih dekat.

Selain itu, kesan multimedia yang akan digunakan juga akan dipertingkat dan para penonton akan diberi gelang LED setiap seorang untuk dapat terlibat sama dalam NDP.

Buat kali pertama dalam sejarah juga, akan ada bunga api 360 darjah, kata BG Low.

Beliau menjelaskan bahawa akan ada tiga lapisan bunga api. Pertama, kotak bunga api di Padang sendiri. Kedua, bunga api tahap sederhana di Padang dan di Adelphi. Ketiga, bunga api tahap tinggi di kawasan Marina Bay.

“Apa yang uniknya tentang pertunjukan bunga api tahun ini ialah bunga api tahap sederhana yang diselaraskan di Padang bersama-sama dengan di Adelphi - ini tidak pernah dilakukan sebelum ini.

“Saya rasa (pertunjukan bunga api) ini akan sangat cantik bagi mereka yang berada di Padang dan semestinya penonton yang berada di rumah bila mereka lihat penyelarasan ini,” ulas beliau.

NDP 2024 juga akan memperkenalkan ‘Onward March’ di Padang buat kali pertama di mana kontingen perarakan akan berarak di antara tempat duduk penonton.

Mengulas tentang hal demikian, BG Low berkata: “Apabila kita lihat tema NDP tahun ini iaitu ‘Bersama-sama, Sebagai Rakyat yang Bersatu Padu’, semuanya berpaksikan warga kita.

“Jadi dengan adanya ‘Onward March’ ini, kami mahukan interaksi yang lebih dekat antara persembahan dan penonton. Selain itu, kami mahu mengingatkan orang ramai bahawa pertahanan itu merupakan tanggungjawab semua, bukan sahaja tentera, polis atau pegawai Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).”

Turut merupakan perkara baru dalam NDP ialah D3 TD40 sempena ulang tahun ke-40 Pertahanan Mutlak.

Ia akan mempamerkan cara masyarakat dan pemerintah bertindak balas terhadap ancaman melalui demonstrasi peperangan pelbagai domain yang diselaraskan antara Padang dan kawasan Marina Bay.

Seramai 27,000 penonton dijangka berada di Padang bagi NDP 2024. BG Low juga menjangkakan peningkatan antara 15 peratus dengan 20 peratus orang ramai yang akan berkumpul di kawasan Marina Bay tahun ini.

Selain itu, pelajar yang tidak dapat menghadiri pertunjukan Pendidikan Nasional (NE) NDP akibat pandemik Covid-19 akan diundang ke acara itu pada 2024 dan 2025.

Oleh yang demikian, akan ada tambahan satu pertunjukan NE tahun ini, manjadikan jumlah pertunjukan NE pada 2024 sebanyak empat, kata BG Low.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg