Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelbagai acara bagi warga rai Hari Kebangsaan 2024

May 23, 2024 | 2:51 PM
Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif NDP 2024, Brigedier-Jeneral (BG) Wilson Low, berkongsi tema, logo dan lagu Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2024. NDP akan diadakan di Padang.
Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif NDP 2024, Brigedier-Jeneral (BG) Wilson Low, berkongsi tema, logo dan lagu Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2024. NDP akan diadakan di Padang. - Foto JAWATANKUASA EKSEKUTIF NDP 2024

Lebih banyak peluang akan tersedia bagi warga Singapura menyertai dan menikmati sambutan Hari Kebangsaan 2024 – termasuk sebelum, pada dan selepas 9 Ogos.

Menjelang Hari Kebangsaan, warga Singapura boleh mengambil bahagian dalam kegiatan inklusif melalui kempen #TogetherAsOneSG dan memberi kembali kepada masyarakat melalui kempen, #GiveAsOneSG.

Pada 9 Ogos pula, selain Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2024 yang akan diadakan di Padang, orang ramai boleh turut serta dalam sambutan yang akan diadakan di Promontory@Marina Bay.

Sehari kemudian, pada 10 Ogos, warga Singapura boleh menyertai sambutan NDP di lima estet kejiranan.

Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif NDP 2024, Brigedier-Jeneral (BG) Wilson Low, memberitahu media pada 23 Mei bahawa sambutan pada 2024 menjangkau lebih daripada hanya pada 9 Ogos.

Ini kerana mereka berusaha mendekati seramai mungkin warga Singapura.

Antara pendekatan itu, #TogetherAsOneSG, mahu menggalak warga Singapura agar datang bersama untuk menyambut ulang tahun negara.

Antara kempen yang akan dijalankan termasuk FlyOurFlag, yang menggalak penduduk menggantung bendera negara; dan EatAsOne, yang menggalakkan keluarga dan sahabat-handai makan bersama.

#TogetherAsOneSG dianjur dengan kerjasama Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), Keluarga Sepanjang Hayat, Kementerian Pendidikan (MOE), SG Enable, Majlis Sukan Singapura (SportSG), Singapore Global Network dan Reben Kuning.

BG Low berkata mereka yang mengambil bahagian dalam kempen-kempen itu berpeluang mendapatkan tiket menyaksikan NDP 2024.

#GiveAsOneSG pula bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kesukarelawanan, dan pada masa yang sama, menggalak keterlibatan dalam kegiatan bermakna yang membolehkan warga Singapura menyumbang semula kepada masyarakat.

Kempen itu dianjurkan dengan kerjasama SG Cares, Palang Merah Singapura dan GoodHood.SG.

“Matlamatnya adalah memaksimumkan jangkauan kami kepada setiap isi rumah Singapura.

“Kami juga berharap, walaupun selepas 10 Ogos, warga Singapura akan terus menyertai #GiveAsOneSG kerana kami mahu warga Singapura meneruskan semangat kesukarelawanan dan belas kasihan,” kata BG Low.

Maklumat lanjut tentang kedua-dua kempen #TogetherAsOneSG dan #GiveAsOneSG akan dikongsi dalam beberapa minggu akan datang di laman rasmi NDP (www.ndp.gov.sg) serta Facebook, TikTok dan Instagram NDPeeps.

Di samping itu, BG Low berkongsi tema, logo dan lagu NDP 2024.

Tema ‘Bersama-sama, Sebagai Rakyat yang Bersatu Padu’ menonjolkan kekuatan kolektif rakyat Singapura dan menekankan kepentingan setiap warga turut bersatu untuk membentuk masa depan kita.

Logo bagi 2024 pula boleh dilihat sebagai ‘SG’ dan ‘59’ – melambangkan 59 tahun kemerdekaan Singapura; dengan lima bintang menjadi lambang demokrasi, keamanan, kemajuan, keadilan dan kesaksamaan.

Enam garisan yang merupakan sebahagian logo tersebut pula melambangkan enam tonggak pertahanan mutlak sedang Singapura menyambut ulang tahun ke-40 Pertahanan Mutlak pada 2024.

Seperti tahun-tahun sudah, NDP 2024 akan mengandungi bahagian praperbarisan yang mengetengahkan persembahan para pelajar, selebriti dan Red Lions.

Sewaktu segmen Perbarisan dan Upacara (P&C) pula, orang ramai boleh menjangkakan tatu ketenteraan melibatkan pancaragam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan empat pancaragam sekolah menengah.

Persembahan koir, Terbang Lalu Bendera Negara, Tembak Hormat Presiden dan tembakan Feu de Joie juga akan diadakan.

Lagu tema NDP 2024, Sentiasa Bersama, pula akan dinyanyikan, Benjamin Kheng, yang juga komposer lagu tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg