Walaupun tidak selalu berhadapan dengan orang awam, para pegawai perkhidmatan awam kita tetap tekun menjalankan tugas masing-masing demi kesejahteraan masyarakat. Pada 3 Julai, usaha dan komitmen 136 pegawai serta agensi pemerintah telah diiktiraf menerusi Anugerah Transformasi Sektor Awam (PST) pada Pesta Perkhidmatan Awam: Spark 2026.
Berita Harian (BH) meninjau sumbangan pegawai yang berjaya memacu inovasi menerusi Kecerdasan Buatan (AI).

Bagi anggota Pejabat Jaminan di Jabatan Akauntan Negara (AGD), tugas menyediakan khidmat audit dalaman yang menyeluruh kepada kira-kira 30 peratus agensi pemerintah merupakan satu tanggungjawab yang berat untuk dipikul.

Proses menelusuri jumlah transaksi pendapatan yang sangat besar dan merentasi pelbagai agensi menambah cabaran apabila pekerja hanya bergantung kepada perisian helaian kerja tradisional untuk kegunaan pejabat seperti Excel.

Cabaran inilah yang mendorong Penolong Pengarah (Jaminan) di AGD, Cik Nazreen Banu Mohamed Nasir Khan, 32 tahun, untuk mengubah corak kerja mereka.

Walaupun tidak mempunyai latihan rasmi dalam bidang teknologi maklumat (IT), beliau bertekad meneroka bagaimana proses audit jabatan ini boleh menjadi lebih menyeluruh dan cekap menerusi automasi.

Lantas, Cik Nazreen mengambil kursus di akademi dalam talian untuk mempelajari Python, sebuah perisian pemprograman yang terkenal.

Setelah mengemudi proses percubaan dan pelbagai pengubahsuaian, beliau akhirnya berjaya mencipta program yang sesuai.

Kini, program ciptaannya itu mampu mengautomasikan prosedur audit Sumber Manusia (HR) dan urusan pendapatan, sekali gus mengurangkan tempoh analisis audit bagi setiap agensi daripada 18 hari kepada hanya tiga hari.

Atas inovasi, daya usaha, dan komitmen beliau terhadap pembelajaran sepanjang hayat serta perkongsian ilmunya, beliau diiktiraf dengan Anugerah Kecemerlangan SkillsFuture @ Perkhidmatan Awam.

Cik Nazreen merupakan antara 136 pegawai dan agensi yang diberi penghormatan menerima pelbagai Anugerah Transformasi Sektor Awam (PST) pada majlis pelancaran Pesta Perkhidmatan Awam (PSF): Spark 2026 pada 3 Julai.

Para penerima anugerah tersebut diberi pengiktirafan atas sumbangan mereka dalam kelancaran menyediakan perkhidmatan, usaha inovasi serta kecemerlangan pertubuhan, sekali gus memacu kemajuan penting, termasuk dalam aspek utama seperti kemampanan alam sekitar dan kecerdasan buatan (AI).

Tema bagi pesta tahun ini adalah “Satu Perkhidmatan Awam, Sedia Untuk Masa Depan”.

Selain majlis pelancaran, beberapa acara lain, termasuk Pesta Pembelajaran, turut diadakan di PSF dari 1 hingga 31 Julai, untuk pegawai perkhidmatan awam mendalami inovasi dan amalan AI.

Hadir selaku tetamu hormat pada majlis pelancaran PSF itu ialah Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam merangkap Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing.

Dalam ucapannya, Encik Chan menekankan kepentingan merebut peluang untuk memanfaatkan AI demi memperhebatkan perkhidmatan awam, sekali gus memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.

Dalam ucapannya pada majlis pelancaran Pesta Perkhidmatan Awam (PSF): Spark 2026 pada 3 Julai di Politeknik Republik, Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam merangkap Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, menekankan kepentingan merebut peluang untuk memanfaatkan AI demi memperhebatkan perkhidmatan awam, sekali gus memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.
Dalam ucapannya pada majlis pelancaran Pesta Perkhidmatan Awam (PSF): Spark 2026 pada 3 Julai di Politeknik Republik, Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam merangkap Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, menekankan kepentingan merebut peluang untuk memanfaatkan AI demi memperhebatkan perkhidmatan awam, sekali gus memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat. - Foto BH oleh KHALID BABA

Cik Nazreen pula menjelaskan, beliau menonjolkan sikap tersebut sebagai antara pemacu langkah transformasi audit dalaman di AGD.

Ketika berkongsi perjalanan mencipta program itu sejak 2024 kepada Berita Harian (BH), Cik Nazreen yang belum berumah tangga, berkata:

“Saya memang gemar mengikuti perkembangan teknologi dan AI yang terkini, dengan membaca rencana atau sekadar mencuba perisian dan peralatan yang baharu.”

“Secara dasar, saya mempunyai minda yang condong mengatasi cabaran, di mana saya secara semula jadi akan meninjau cara lebih berkesan dalam melakukan sesuatu. Rasa teruja pula adalah sesuatu yang memacu saya untuk mempelajari kemahiran baharu, sama ada analisis data, AI, atau kemahiran lain.”

Dari awal lagi, Cik Nazreen sudah tertarik kepada potensi memperhebatkan aliran kerja pasukannya menerusi AI.

“Saya mempersoalkan bagaimana AI boleh membantu kami jika ia diamalkan. Kini, saya lebih terbuka kepada teknologi AI setelah melihat manfaatnya.

“Selain mempertingkatkan kecekapan kita, AI memperkukuhkan kepercayaan bahawa ia tidak menggantikan peranan manusia, sebaliknya membantu kita bertugas dengan lebih baik,” tambah Cik Nazreen, yang bertugas di AGD sejak Januari 2024.

Misalnya, program ciptaan beliau itu boleh mengesan sebarang kejanggalan, sekali gus memudahkan proses semakan oleh juruaudit.

Sementara itu, beliau juga bersyukur dapat menyumbang kepada transformasi proses audit dalaman secara lebih luas di AGD, daripada langkah spesifik kepada metodologi audit secara menyeluruh bagi masa hadapan.

Cik Nazreen juga berusaha berkongsi ilmunya kepada rakan sepasukannya.

“Ini dicapai menerusi sesi perkongsian dalam kumpulan minat analisis data dan AI, membahagikan sumber rujukan yang bermanfaat serta menyelesaikan masalah bersama-sama agar proses pembelajaran itu terasa praktikal dan relevan dengan skop tugasan kami,” jelasnya.

Beliau turut menyifatkan budaya mendorong inovasi sebagai pemangkin kejayaannya.

“Budaya itu memberikan peluang dan wadah untuk saya berkongsi ilmu dan peralatan tersebut dengan pasukan audit lain, sekali gus meningkatkan mutu audit dalaman secara keseluruhan di pelbagai kementerian.

“Hasil positif daripada penggunaan perisian Python untuk analisis audit ini juga mengorak langkah untuk peluang yang lebih luas,” kongsinya.

“Saya berasa amat teruja dan rendah hati menerima anugerah ini. Pengiktirafan ini menjadi motivasi untuk saya terus belajar dan berkembang, bukan sahaja demi kemajuan diri sendiri tetapi juga untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat.

“Saya amat bersyukur terhadap pihak pengurusan dan rakan sekerja yang telah menyokong saya sepanjang perjalanan ini… saya berharap pengalaman saya dapat memberi inspirasi kepada rakan seperjuangan lain dalam perkhidmatan awam untuk turut menerapkan semangat belajar sepanjang hayat,” jelas Cik Nazreen.