Walaupun Singapura diberkati dengan keamanan dan kesejahteraan, Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, mengingatkan warga Singapura, khususnya, anggota Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) agar tidak terlalu selesa hingga lalai berwaspada.

Menjelaskan lebih lanjut dalam satu episod podcast, terbitan Berita Harian (BH), NoTapis, sempena Hari SAF yang jatuh pada 1 Julai, Encik Chan berkongsi bahawa SAF akan sentiasa melabur bagi peralatan dan teknologi baharu lagi canggih.

Malah, mutu latihan juga sentiasa dipastikan berada pada tahap tinggi dan terbaik.

Namun, bagi beliau, kelebihan itu semua tidak bermakna apa-apa jika warga Singapura tidak berwaspada dan mengambil ringan akan keselamatan yang kita nikmati selama ini.

Beliau berkata: “Perkara paling susah dalam pertahanan adalah meyakinkan orang ramai agar sentiasa berwaspada. Ia menjadi lebih susah kerana saban tahun, kita menikmati keamanan yang konsisten.

“Ini akan membuat orang ramai terfikir – tiada apa yang berlaku dan – mengapa harus kita persiapkan diri? Kita (SAF) akan sentiasa membawa teknologi baharu dan canggih serta mempertingkatkan intensiti latihan dalam pertahanan.

“Tapi itu cuma sebahagian sahaja aspek dalam pertahanan, yang paling penting ialah kesediaan dan kewaspadaan orang ramai dalam menghadapi situasi yang mengancam keselamatan – yang mungkin akan datang tanpa diduga.”

Menegaskan hal tersebut, beliau berkata masyarakat, lebih-lebih lagi kelompok Anggota Perkhidmatan Negara Sepenuh Masa (NSF) dan Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara (NSmen), perlu sentiasa mengingatkan diri dan belajar daripada kemelut dunia yang sedang berlangsung, baik dari Eropah hinggalah ke Timur Tengah.

Oleh kerana terlalu risau kelompok NSF dan NSmen jatuh ke lembah kelalaian dek tidak berwaspada, Encik Chan menggunakan situasi di serata dunia yang bergejolak sebagai teladan.

“Jika kita melihat beberapa situasi dalam sejarah dunia ataupun baru-baru ini, baik di Eropah mahupun Timur Tengah, masalah sering berlaku kepada pihak yang berasa tidak akan ada apa-apa yang akan berlaku pada mereka.

“Jadi, apabila sesuatu masalah menimpa, mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk bertindak,” tegas beliau.

Menurut Encik Chan, dalam setiap generasi, pasti ada dalam kalangan NSF atau NSmen yang tidak berfikiran positif dalam berkhidmat kepada negara dan sekadar ingin memberikan usaha minimum.

Justeru, bagi beliau, ia amat penting untuk mewujudkan detik pembelajaran bagi NSF dan NSmen sepanjang perkhidmatan mereka.

Detik pembelajaran tersebut merujuk kepada melahirkan rasa keterkaitan kepada kejadian yang lebih rapat dengan anggota SAF.

Rasa keterkaitan melalui renungan kejadian yang pernah berlaku mampu membangunkan perspektif baharu tentang keselamatan dan keamanan Singapura yang amat berharga.

Berkongsi tentang cara menyuntik sikap waspada dalam diri askar, beliau berkata:

“Detik pembelajaran harus diwujudkan melalui rasa keterkaitan askar dengan mana-mana kejadian yang boleh membuat mereka merenungi pengajaran yang boleh dipelajari.

“Contoh, dahulu kita sering gunakan peristiwa seperti rampasan pesawat Singapore Airlines SQ117 dan tsunami di Aceh pada 2004, di mana anggota SAF dikerah untuk memberi bantuan.

“Namun, bagi generasi hari ini yang lebih muda, ramai dalam kalangan mereka kurang mengetahui kejadian seperti itu kerana belum dilahirkan waktu itu.

“Jadi, kita harus sentiasa mencari peristiwa dan pengalaman lebih rapat dengan mereka untuk dijadikan teladan dan pengajaran.”

Walaupun begitu, Encik Chan mengakui hari ini ramai juga anggota SAF yang memanfaatkan masa perkhidmatan mereka dengan sebaiknya.

Mereka berkhidmat sambil menawarkan kemahiran masing-masing seperti kecekapan teknologi baharu mahupun kekuatan fizikal.

Secara tidak langsung, ini membentuk ketenteraan yang menyeluruh dengan pelbagai bidang kemahiran bagi menjamin keselamatan Singapura.

“Singapura ibarat angsa putih yang terapung di atas air. SAF pula umpama kakinya yang tidak kelihatan di bawah permukaan air, bekerja keras mengayuh tanpa henti agar Singapura terus kelihatan tenang dan stabil.

“Di sebalik hari-hari yang tenang, ada dedikasi yang luar biasa daripada lelaki dan wanita NSF, askar sepenuh masa dan NSmen, yang menyumbang khidmat demi keamanan Singapura,” ujar Encik Chan.