Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19

Burung hadapi risiko rempuh bangunan di kawasan pembangunan

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

RENCANA

Burung hadapi risiko rempuh bangunan di kawasan pembangunan

Kajian kenal pasti 6 kawasan, termasuk Tengah dan Springleaf, hadapi masalah itu
Apr 18, 2024 | 02:51 PM



Hasrat Singapura ingin menyulamkan alam semula jadi dengan kehidupan bandar mungkin menimbulkan masalah kepada beberapa spesis burung yang didapati cenderung merempuh bangunan berdekatan kawasan hutan, menurut satu kajian.

Diketuai oleh saintis burung Singapura, Encik David Tan, kajian itu telah mengenal pasti enam kawasan yang dikaitkan dengan pembangunan pada masa depan – termasuk Tengah dan Springleaf – dengan burung-burung yang berterbangan berisiko merempuh bangunan.

Beberapa spesis burung merpati sering berterbangan dari satu tompok hutan ke tompok yang lain untuk mencari makanan. Ini boleh meningkatkan risiko merempuh bangunan yang dekat dengan pinggir hutan, menurut kajian itu.







Spesis burung hijrah seperti sambar-kunyit kening putih atau yellow-rumped flycatcher, juga menghadapi risiko merempuh bangunan berdekatan hutan apabila ia berterbangan ke tompok hutan untuk mencari makanan dan berehat.


Kajian ini dilakukan sedang usaha menghasilkan Bandar Dalam Alam Semula Jadi Singapura (Singapore’s City in Nature), dengan pemerintah mahu membawa alam semula jadi lebih dekat dengan tempat rakyat hidup dan kerja.

“Bagi pembangunan baru yang menggabungkan hutan dalam reka bentuk perbandaran supaya benar-benar menjadi mesra alam, kita harus memikirkan lebih mendalam daripada setakat mengurus interaksi antara manusia dan kehidupan liar,” kata Encik Tan, yang sedang mengambil jurusan kedoktoran dalam bidang biologi di The University of New Mexico, kepada The Straits Times.


“Kematian (burung) tidak langsung yang disebabkan oleh manusia seperti perlanggaran burung juga harus dipertimbangkan,” kata beliau.

Fenomena rempuhan burung pada bangunan bukanlah sesuatu perkara yang unik di Singapura. Setiap tahun, berbilion burung mati selepas merempuh bangunan kaca yang tidak dapat dilihat ataupun mati kepenatan akibat keliru dengan lampu bandar.

Di Amerika Utara sahaja, hampir satu bilion burung dianggarkan mati kerana merempuh bangunan setiap tahun. Pelbagai kajian dilakukan berhubung rempuhan burung dalam kelompok kecil bangunan di sana.

Kajian Encik Tan, yang diterbitkan di jurnal Conservation Biology pada Mac, menjadi salah satu kajian berskala bandar yang pertama di Asia.


Bagi kajian tersebut, Encik Tan dan pengarang bersama meneliti laporan kematian burung yang dilaporkan oleh masyarakat setempat antara 2013 dan 2020.

Laporan ini dikumpul daripada media sosial atau talian yang dikelolakan oleh para penyelidik daripada Makmal Evolusi Burung di Universiti Nasional Singapura (NUS). Penyelidik ini meninjau butir perincian seperti lokasi dan sebab berlaku kecederaan dan kematian burung-burung tersebut.


Sebanyak 224 ekor burung dikatakan telah mati selepas merempuh bangunan, di mana ia ditemui di kaki bangunan dengan tanda kecederaan di muka atau trauma di kepala.

Seperti penyiasat jenayah, penyelidik akan meneliti faktor-faktor yang mengakibatkan rempuhan burung pada bangunan ini daripada bukti yang terdapat di bangunan tersebut dan data satelit.

Mereka mendapati bahawa jarak dekat antara kawasan hutan dengan bangunan tersebut merupakan sebab utama.

Encik Tan berkata: “Kedekatan hutan adalah sebab utama burung pemastautin dan yang berhijrah bertembung kerana mereka akan bergerak dari satu tompok hutan ke satu tompok yang lain untuk mencari makanan. Besar kemungkinan burung ini akan merempuh bangunan berdekatan dengan pinggir hutan.”

Para penyelidik juga dapat mengenal pasti tempat-tempat yang berkemungkinan besar berlaku rempuhan berdasarkan Pelan Utama Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada 2019 yang menggambarkan penggunaan tanah di Singapura 10 hingga 15 tahun akan datang.

Selain daripada Tengah dan Springleaf, antara lokasi yang berpotensi menjadi lokasi rempuhan burung-bangunan ialah Clementi dan Ulu-Pandan, Turf City dan Bukit Brown, estet di Punggol End dan pembangunan perindustrian di Pasir Ris.

Kajian khususnya mendapati bahawa pembangunan perumahan berskala besar diramalkan akan mempunyai risiko rempuhan burung yang tinggi bagi beberapa jenis burung kerana ia berdekatan dengan hutan di kawasan tengah, barat dan selatan.







Kajian ini tidak termasuk pembangunan bandar yang tidak dilampirkan pada Pelan Utama 2019 seperti saranan membangunkan Pangkalan Udara Paya Lebar menjadi perumahan.


Kajian ini juga memaparkan satu lagi faktor rempuhan burung-bangunan iaitu pencemaran cahaya biru pada waktu malam. Cahaya biru mempunyai tenaga tertinggi pada spektrum penglihatan. Ia terhasil daripada matahari serta sumber tiruan seperti lampu LED putih dan telefon bijak.

Kelompok bangunan yang mempunyai pencemaran cahaya biru yang tinggi terbukti berbahaya bagi burung yang berhijrah pada waktu malam.

Dapatan ini membimbangkan para penyelidik, memandangkan peningkatan yang drastik pada penggunaan LED cahaya biru pada lampu jalan di seluruh Singapura. Ini kerana ia telah menggantikan kebanyakan lampu di sini yang berbentuk wap natrium (sodium vapour) untuk kecekapan tenaga. Namun, penyelidik mengatakan bahawa dapatan ini sebenarnya mempunyai sinar harapan.

Encik Tan berkata: ”Walaupun cahaya biru bersangkut paut dengan rempuhan burung pada bangunan sewaktu berhijrah, tidak bermakna kita harus mematikan semua lampu pada waktu malam.

“Sebaliknya, kita boleh mengurangkan jumlah purata bagi pencemaran cahaya biru, terutama pada waktu puncak penghijrahan burung-burung ini, dengan menukar lampu jalan LED kepada warna oren dan mengurangkan pancaran lampu itu ke langit.”

Di New York sebagai contoh, penyalaan lampu untuk memperingati serangan 11 September dimatikan sekali sekala selepas saintis mendapati bahawa pancaran cahaya daripada penyalaan itu akan mengelirukan burung-burung yang berhijrah pada waktu malam.

Kematian burung-burung ini juga mempunyai impak kepada manusia, kata Encik Tan.

“Walaupun rempuhan burung-bangunan jelas tidak baik bagi mereka dari segi kesihatan awam, kita juga ingin mengurangkan kontak antara penduduk dengan bangkai haiwan liar,” tambahnya.

Manusia boleh dijangkiti selesema burung melalui kontak langsung dengan burung hidup yang dijangkiti atau yang telah mati.

Berdasarkan dapatan daripada artikel ini, penyelidik menggesa perancang pembangunan bandar dan arkitek pembangunan yang berlangsung dan pada masa depan supaya memikirkan keselamatan burung-burung itu sewaktu membina bangunan di sekeliling kawasan berhutan.

Mereka menambah, ini akan menjimatkan kos dari segi keperluan untuk mengubah suai bangunan tersebut selepas berlaku rempuhan burung.

Dr Karenne Tun, pengarah Lembaga Taman Negara (NParks) Pusat Biodiversiti, berkata kajian itu melengkapi garis panduan badan berkanun itu, yang diperkenalkan pada 2022, untuk mereka bentuk bangunan dari segi dalaman dan luaran yang selamat bagi burung.

Saranan itu mengurangkan rempuhan dengan mengurangkan pantulan cahaya.

Cadangan ini dan yang lain telah menangani soal penggunaan kaca yang berlebihan pada seni bina moden, yang akan mengakibatkan lebih banyak rempuhan terjadi kerana ia akan membentuk ilusi persekitaran semula jadi yang berterusan.

Beliau mengatakan garis panduan ini boleh menyumbang kepada pensijilan Tanda Hijau 2021 Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA), yang bertujuan menggalakkan industri membina bangunan hijau dan meningkatkan piawai kelestarian alam sekitar binaan Singapura.

Di persekitaran NParks pula, pelekat ditampal pada tingkap-tingkap di HortPark dan Paya Simpanan Sungei Buloh supaya ia dapat dilihat, tambah Dr Tun.







Dr Yong Ding Li, penyelaras serantau bagi pemuliharaan burung hijrah di BirdLife, menyifatkan kajian itu sebagai “sumbangan perintis pada pemuliharaan burung hijrah pada konteks kawasan bandar Singapura, yang banyak diambil daripada data yang disumbangkan oleh ratusan saintis warganegara”.

Kajian ini selari dengan pemerhatian Dr Yong bahawa burung pacat mempunyai risiko tinggi untuk merempuh bangunan yang berlampu.

Beliau menambah: “Yang penting, ini telah menunjukkan bukti yang kukuh mengapa perkara ini berlaku.”

“Memandang ke hadapan, masyarakat pemuliharaan perlu bekerja lebih rapat lagi dengan pembangun bangunan dan NParks untuk memastikan pembangunan bangunan di landskap yang sensitif diimbangi, serta mengadakan kempen dan inisiatif mengurangkan pencemaran cahaya untuk burung hijrah seperti yang dilakukan di seluruh dunia.”

Mereka yang menemui burung mati dan ingin menyumbang kepada kajian, boleh menghubungi Makmal Evolusi Burung di NUS di talian 8449-5023 melalui Telegram atau WhatsApp.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >