Tidak lama lagi, pejalan kaki hanya perlu melambai tangan di hadapan penderia untuk melintas jalan dan tidak perlu menekan butang untuk mengaktifkan isyarat ‘orang hijau’ di persimpangan lalu lintas.
Mulai suku keempat 2025, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan mula menggantikan semua butang tekan pejalan kaki mekanikal dengan penderia gelombang mikro tanpa sentuh yang mengesan pergerakan tangan menggunakan gelombang elektromagnetik.
Apabila penderia baru tersebut mengesan lambaian tangan, ia akan menghantar isyarat kepada sistem lampu isyarat bahawa ada pejalan kaki sedang menunggu untuk menyeberang jalan.
Terdapat kira-kira 11,500 butang tekan di sekitar 2,790 persimpangan trafik di seluruh Singapura.
LTA menjangkakan mengambil masa enam tahun untuk menggantikan kesemuanya, menurut laporan The Straits Times (ST).
Langkah itu, yang dikatakan LTA bertujuan mengurangkan titik sentuh dan meningkatkan kebersihan, dibuat selepas ujian dijalankan pada 2022 dan 2023 untuk menilai sama ada sistem tanpa sentuhan itu boleh menjadi alternatif berdaya maju kepada butang mekanikal biasa.
Keperluan kebolehpercayaan dan penyelenggaraan sistem tanpa sentuh ini juga dinilai semasa ujian tersebut.
LTA menguji dua jenis penderia – penderia inframerah dan satu lagi yang menggunakan gelombang mikro
Penderia inframerah bergantung pada perubahan cahaya untuk mengesan pergerakan tangan, manakala penderia gelombang mikro memancarkan gelombang elektromagnetik, dan bergantung pada perubahan dalam kekerapan gelombang yang dipantulkan ke dalam peranti.
LTA memutuskan menggunakan penderia gelombang mikro pada akhirnya kerana ia menunjukkan prestasi lebih baik dari segi ketepatan dan kepekaan, dalam keadaan cuaca berbeza-beza.
Satu lagi faedah menggunakan penderia tanpa sentuh ialah potensi pengurangan kos dan tenaga kerja yang diperlukan untuk penyelenggaraan, kata LTA kepada ST sebelum ini.
Butang tekan mekanikal mempunyai jangka hayat 15 hingga 20 tahun, memerlukan lebih banyak penyelenggaraan dan boleh rosak akibat penggunaan yang tidak betul.
Penderia tanpa sentuh baru itu juga akan mempunyai panduan untuk mereka yang cacat penglihatan.
Terdapat teks Braille pada bahagian luar peranti yang menyatakan “Sentuh untuk mengaktifkan”.
Penderia akan mengeluarkan bunyi untuk menunjukkan sistem telah mendaftarkan niat pejalan kaki untuk menyeberang jalan.
Ciri-ciri ini hasil perundingan antara LTA dengan Persatuan Orang Cacat Penglihatan Singapura.
ST sebelum ini melaporkan keprihatinan bahawa penderia tanpa sentuh boleh menimbulkan cabaran bagi orang cacat penglihatan, kerana terdapat kekurangan maklum balas sentuhan.
Pemasangan penderia baru itu akan dilakukan sebagai sebahagian kontrak lebih besar untuk penyelenggaraan dan pemasangan sistem lampu isyarat di sini.
Pengumuman tender telah dibuat pada 26 September dan ia akan ditutup pada 25 November.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg