Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

LTA undang saranan kesan kesalahan lalu lintas, kerosakan prasarana guna kamera bas

Oct 19, 2024 | 4:59 PM
LTA juga berharap dapat mengesan pejalan kaki yang melintas di tempat salah, dan mengenal pasti kawasan yang mempunyai bilangan pejalan kaki yang ramai, dengan sistem yang menggunakan kamera dalam bas.
LTA juga berharap dapat mengesan pejalan kaki yang melintas di tempat salah, dan mengenal pasti kawasan yang mempunyai bilangan pejalan kaki yang ramai, dengan sistem yang menggunakan kamera dalam bas. - Foto fail

Kamera dalam semua 6,000 bas awam di sini pada masa akan datang boleh menjadi sebahagian daripada rangkaian yang digunakan untuk mengesan kesalahan lalu lintas, selepas Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengundang cadangan bagi sistem analisis video sedemikian.

Pihak berkuasa sedang merancang untuk mengesan kesalahan lalu lintas, termasuk mengenal pasti kenderaan yang bergerak di lorong bas pada waktu terlarang, kenderaan yang berhenti di kotak kuning atau gagal memberi laluan kepada bas di kotak keutamaan bas, serta kesalahan meletak kenderaan.

Sistem itu perlu merekodkan model, warna, jenis dan nombor plat kenderaan tersebut, mengikut dokumen tender.

Selain mengesan kesalahan lalu lintas, LTA juga mahu sistem baru itu menggunakan kamera bas untuk melihat sebarang kerosakan prasarana di jalan raya dan kawasan sekitarnya dan untuk menambah baik masa tindak balas operasi pihak berkuasa itu, lapor The Straits Times.

LTA, yang mengundang cadangan pada 7 Oktober melalui portal perolehan pemerintah GeBIZ, juga berharap dapat mengesan pejalan kaki yang melintas di tempat yang salah dan mengenal pasti kawasan yang ramai pejalan kaki.

Pada masa ini, rakaman video daripada kamera bas dirakam semasa waktu perkhidmatan bas dan mesti diambil secara manual daripada perakam di dalam bas.

Ia biasanya digunakan dalam penyiasatan insiden dan untuk memastikan keselamatan penumpang.

Usaha penguatkuasaan semasa dan pemeriksaan terhadap prasarana menggunakan banyak sumber dan tenaga kerja, dihadkan oleh penempatan pegawai penguatkuasa dan perlu menggunakan kamera mudah alih yang ditempatkan di perhentian bas dan tempat yang tidak dibenarkan meletak kereta.

Cadangan yang dikemukakan hendaklah termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk mengimbas dan secara automatik mengesan pelbagai kesalahan dan kecacatan prasarana.

Ia perlu mengenal pasti jenis dan lokasi kesalahan atau kerosakan yang dikesan, menangkap imej untuk rujukan, memantau status pembaikan untuk kerosakan dan memaklumkan pegawai LTA dalam tempoh 24 hingga 48 jam.

Sistem yang dicadangkan seharusnya tidak memerlukan banyak penglibatan daripada kapten bas semasa mereka memandu dan mempunyai kesan yang minimum terhadap operasi bas.

Syarikat yang disenarai pendek perlu menjalankan demonstrasi langsung cadangan mereka dan, jika dipilih, perlu melakukan ujian bukti konsep lanjut yang akan berlangsung selama empat bulan.

Ditanya mengenai rasional dan jangka masa yang dijangkakan untuk projek itu, LTA menyatakan ia sentiasa menilai cara menggunakan teknologi untuk menambah baik prosesnya.

“Memandangkan analitik video/penyelesaian pengesanan AI menjadi lebih maju, LTA sedang mencari penyelesaian yang memperoleh data daripada kamera bas yang menghadap jalan untuk meningkatkan operasi trafik dan jalan raya,” kata jurucakap LTA, yang tidak menyatakan sama ada ini akan dilancarkan dalam kesemua 6,000 bas.

Beliau menambah bahawa pihak berkuasa akan menilai kebolehlaksanaan dan kebolehpercayaan huraian yang dicadangkan sebelum menentukan langkah seterusnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg