Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

CAAS bakal tubuh Makmal Penerbangan Antarabangsa baru jelang 2026

Cipta penyelesaian inovatif operasi penerbangan global, pacu fasa pembangunan sektor tersebut
Sep 6, 2024 | 8:15 PM
Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat (belakang, berdiri) menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara CAAS bersama rakan kongsi pengasas lain di satu majlis di Hotel Shangri-La pada 6 September.
Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat (belakang, berdiri) menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara CAAS bersama rakan kongsi pengasas lain di satu majlis di Hotel Shangri-La pada 6 September. - Foto ST

Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) akan membentuk Makmal Penerbangan Antarabangsa baru sebagai satu daya utama mencipta penyelesaian inovatif untuk operasi penerbangan sejagat, khususnya dalam operasi lapangan terbang.

Ini sekali gus dijangka meleraikan tekanan disebabkan cabaran sumber tenaga manusia dan memacu fasa pembangunan sektor penerbangan seterusnya bagi Singapura.

Pengumuman tersebut dibuat CAAS dalam satu majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) di Hotel Shangri-La pada 6 September yang disaksikan Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat.

MOU tersebut dimeterai CAAS bersama rakan kongsi pengasas lain, iaitu Pusat Inovasi Penerbangan Antarabangsa (ICAI), pengendali darat Sats Ltd (Sats), Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), Airbus, Boeing, Changi Airport Group (CAG), International Airlines Group (IAG) dan syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA).

Menurut kenyataan CAAS susulan majlis pemeteraian itu, ini adalah kali pertama MOU sebegini dimeterai di Singapura, yang bertujuan memupuk kerjasama antara rakan kongsi demi “memacu transformasi operasi lapangan terbang secara menyeluruh”.

Berkongsi dalam sesi taklimat sebelum majlis pemeteraian, Ketua Pengarah CAAS, Encik Han Kok Juan, berkata makmal tersebut akan berfungsi sepenuhnya menjelang 2026 selepas hala tuju dan bidang tumpuan makmal itu disepakati rakan kongsi pengasas.

Beliau menambah pihaknya sedang meneroka sebuah tapak bagi makmal tersebut, namun perinciannya akan diumumkan kelak.

Encik Han berkata penubuhan makmal ini bukan sahaja dapat membantu Singapura mengatasi keterbatasan, bahkan “mencari jalan huraian untuk tingkatkan produktiviti”.

Ini di tengah-tengah permintaan kukuh sejagat dalam sektor penerbangan pasca-Covid-19 dan pembinaan Terminal 5 Lapangan Terbang Changi di Singapura.

Beliau menjelaskan: “Buat masa ini, Terminal 1 hingga Terminal 4 (Lapangan Terbang Changi) dapat mengendalikan 90 juta penumpang setiap tahun.

“Terminal 5 (yang sedang dibangunkan) akan menambah kapasiti itu kepada 50 juta penumpang lagi.

“Untuk benar-benar memanfaatkan potensi Terminal 5 kelak, kami ingin terokai cara kami mentransformasikan proses di lapangan terbang agar ia lebih produktif dan berkesan. Kami sedia maklum bahawa kami tidak boleh menambah tenaga kerja secara sepadan (peluasan terminal).

“Dari segi ini, kami lihat makmal ini dapat menyumbang kepada keberkesanan operasi Terminal 1 hingga 4, dan lebih penting, apabila Terminal 5 siap nanti.”

CAAS mengatakan rakan kongsi pengasas akan bekerjasama, antara lain, dalam penubuhan program inovasi dan penyelidikan bersama serta berkongsi sumber di bawah MOU tersebut.

Projek atau program sedemikian akan diuji di Singapura sebelum dikembangkan bagi pelaksanaan di lapangan terbang lain, tambah CAAS.

Ketua Pegawai Operasi ICAI, Encik Patrick Ky, berkongsi bahawa penubuhan Makmal Penerbangan Antarabangsa dapat bantu mencari penghuraian terhadap cabaran yang dihadapi lapangan terbang di serata dunia melalui penyelesaian bijak dan automasi.

Beliau memberi penekanan bahawa langkah automasi ini “bukanlah untuk mengambil alih tugas manusia, tetapi saling melengkapi”.

Beliau menukil contoh pemuatan dan pemunggahan bagasi daripada kapal terbang bersaiz lebih kecil, yang mana prosesnya masih memerlukan tenaga fizikal secara umumnya disebabkan ruang sempit di ruang bagasi kapal terbang tersebut.

“Kami ingin memperkenalkan automasi dalam proses ini jadi menerusi makmal ini, diharap pengendali di darat dan pengilang pesawat dapat bekerjasama terhadap satu ciri reka bentuk agar mesin atau robot boleh digunakan dalam ruang kargo sedemikian,” tambah Encik Ky.

Beliau turut berkongsi bahawa pihaknya dan CAAS sedang berusaha meluaskan rakan kongsi daripada yang sedia ada untuk makmal tersebut agar rangkaian kepakaran dapat dipelbagaikan.

“Kami ingin memperkenalkan automasi dalam proses ini jadi menerusi makmal ini, diharap pengendali di darat dan pengilang pesawat dapat bekerjasama terhadap satu ciri reka bentuk agar mesin atau robot boleh digunakan dalam ruang kargo sedemikian.”
Encik Patrick Ky, Ketua Pegawai Operasi Pusat Inovasi Penerbangan Antarabangsa (ICAI).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg