Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

CAAS: Plat lesen digital wajib bagi pesawat tanpa pemandu mulai Dis 2025

Sep 2, 2024 | 8:11 PM
Pengendali pesawat tanpa pemandu (UA) yang diberikan Permit Operator dan menggunakan aplikasi mudah alih FlyItSafe semasa operasi dikecualikan daripada keperluan plat lesen digital yang bakal berkuat kuasa Disember 2025.
Pengendali pesawat tanpa pemandu (UA) yang diberikan Permit Operator dan menggunakan aplikasi mudah alih FlyItSafe semasa operasi dikecualikan daripada keperluan plat lesen digital yang bakal berkuat kuasa Disember 2025. - Foto ST

Mulai 1 Disember 2025, pengguna pesawat tanpa pemandu (UA) seperti dron mesti mematuhi peraturan baru yang memerlukan UA yang beratnya lebih 250 gram mempunyai ‘plat lesen digital’.

Ini bertujuan meningkatkan keselamatan penerbangan dan awam serta sekuriti di Singapura, kata Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada 2 September.

Penguasa itu sedang menjalankan perundingan awam untuk mendapatkan maklum balas orang ramai mengenai pelaksanaan peraturan plat lesen digital – dikenali sebagai Pengenalan Jarak Jauh Siaran (B-RID) – itu.

Maklum balas yang diterima semasa perundingan awam selama sebulan itu – dari 2 September hingga 1 Oktober – akan dipertimbangkan dalam memuktamadkan pelaksanaan peratuaran tersebut.

Orang ramai boleh menghantar maklum balas dan komen melalui laman web Reach (https://go.gov.sg/feedbackcaasuasbrid).

Di bawah peraturan itu, pengguna yang mempunyai permit pengendali dan yang menggunakan aplikasi mudah alih FlyItSafe semasa mengendalikan UA dikecualikan.

UA yang dikendalikan di dalam kawasan tertutup turut dikecualikan, ujar CAAS.

B-RID menggunakan teknologi Wi-Fi dan Bluetooth untuk menghantar maklumat seperti kedudukan dan nombor siri UA, lokasi pengendali UA dan nombor rujukan pengenalan pengendali. 

“Ini membolehkan UA di angkasa dikenal pasti untuk tujuan keselamatan,” kata CAAS.

Peraturan mematuhi B-RID akan diterbitkan dalam Warta Pemerintah pada Disember 2024.

Bilangan UA yang didaftarkan di Singapura telah meningkat daripada 8,205 pada Disember 2020 kepada 24,567 pada Julai 2024.

Lebih separuh daripada UA yang berdaftar dengan CAAS pada 2024 sudah dilengkapi dengan modul B-RID.

Pemilik UA sedia ada yang tidak dilengkapi dengan B-RID harus memasang modul B-RID pada UA mereka untuk mengendalikan penerbangan mulai 1 Disember 2025. 

CAAS menyatakan ia akan membiayai kos unit modul B-RID dan pemasangan bagi mereka yang memohon modul B-RID antara 1 Januari dengan 31 Mac 2025. 

Mereka yang tidak menghantar permohonan dalam masa itu perlu mendapatkan modul B-RID yang mematuhi peraturan dan menanggung sendiri semua kos yang terlibat, yang dijangka berharga antara $120 dengan $250. 

Pemilik UA akan turut disediakan bahan pendidikan dan panduan untuk membantu memilih modul B-RID yang betul dan untuk memastikan modul tersebut berfungsi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg