Encik Ahmad Jabbar, anak kedua antara tiga adik-beradik membesar dalam keluarga yang dibelenggu dadah dan jenayah.

Menurut Encik Ahmad, beliau, abang dan adik perempuan mereka bergantung pada nenek mereka kerana ibu bapa mereka bak‘bergilir-gilir’ meringkuk dalam tahanan.

Namun detik paling mencabar tiba apabila ibu bapa mereka dipenjarakan secara serentak apabila ditangkap menyalahguna dan mengedar dadah. Malahan, beliau dan adik-beradiknya terpaksa berdikari membuat persiapan untuk menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’.

Bertekad untuk keluar daripada kepompong kesusahan itu, Encik Ahmad dan adik beradiknya menumpukan perhatian kepada mencapai keputusan akademik yang cemerlang.

Beliau berjaya menggenggam segulung ijazah daripada Universiti Nasional Singapura (NUS), sementara adik perempuannya turut meraih ijazah dengan kepujian kelas pertama, dan kini berkhidmat sebagai pekerja sosial untuk kanak-kanak berkeperluan khas. Abangnya berjaya melanjutkan pelajaran ke politeknik.

Sepanjang perjalanan itu, Encik Ahmad bersyukur dapat bergantung pada sokongan padu nenek, pengetua sekolah serta Dana Pendidikan Harun Ghani (HGEF).

Malah, Encik Ahmad, kini berusia 42 tahun, menyifatkan sokongan kewangan, emosi dan bimbingan oleh HGEF sebagai antara pendorong utama dalam perjalanan beliau dan adik perempuannya membina kehidupan yang lebih baik.

Beliau memberitahu Berita Harian (BH) bahawa HGEF memainkan peranan besar dalam membantu dirinya mengatasi masalah mental dan kemurungan, serta memberi dorongan tambahan yang diperlukan untuk menamat pengajiannya di NUS. Beliau turut menerima dermasiswa HGEF empat kali dari 2006 hingga 2009.

Encik Ahmad, yang kini menjalankan program pengayaan lepas sekolah untuk belia dan kanak-kanak juga kembali berbakti menerusi pelbagai program HGEF seperti dengan memberi nasihat bagi mereka yang mengalami tekanan sekolah dan masalah kekeluargaan.

Buku itu, setebal 190 muka surat, dilancarkan sempena sambutan ulang tahun ke-20 HGEF pada 14 November.

Sekitar separuh daripada 500 naskhah buku yang dicetak akan didermakan kepada sekolah menengah, madrasah dan pelbagai institut pengajian tinggi (IHLs).

Menurut Setiausaha Kehormat HGEF, Cik Haslinda Putri Harun, buku tersebut merakamkan kisah sebenar keluarga yang terjejas akibat kancah dadah, terutama sekali kanak-kanak yang tidak bersalah.

“Buku ini bukan tentang kejayaan HGEF semata-mata, tetapi tentang kasih sayang, keprihatinan dan semangat masyarakat untuk membantu.

“Selama 20 tahun, kami hanya berusaha memastikan anak-anak yang terjejas akibat dadah tidak tercicir,” tambah Cik Haslinda.

Beliau berharap buku itu dapat membuka mata masyarakat supaya bersikap lebih memahami, tidak cepat menghukum dan tampil menghulurkan bantuan.

Ia juga memberi penghormatan kepada para penderma, sukarelawan, rakan kerjasama dan semua pihak yang telah membantu HGEF menjalankan amanahnya dan menyokong golongan tersebut selama dua dekad.

Ini termasuk kisah para sukarelawan, para penderma dan juga bekas penerima dermasiswa HGEF yang telah mencurahkan masa, tenaga dan kewangan demi menyokong misi HGEF.

Dalam ucapannya, pengerusi jawatankuasa penganjuran ulang tahun ke-20 HGEF, Profesor Madya Dr Rashid Tahir, berkata:

“Kisah-kisah ini mengingatkan kita bahawa sumbangan kecil, sama ada dari segi masa, keprihatinan mahupun sumber, mampu membawa perubahan yang amat bermakna.

“Kami berharap mereka yang membaca buku ini bukan sahaja dapat melihat cabaran yang dihadapi oleh kanak-kanak ini serta keluarga mereka, malah keberanian, daya tahan dan keazaman mereka.

“Kami juga berharap mereka akan menghargai kemurahan hati serta komitmen insan-insan yang telah menyokong golongan ini, dan mungkin mereka sendiri akan turut didorong untuk bersama-sama menyertai kami dalam perjalanan ini.”

Bekas rakan seperjuangan mantan Setiausaha Politik (Ehwal Dalam Negeri), Allahyarham Harun Ghani, serta wakil bukan pemastautin Singapura ke Palestin, Encik Hawazi Daipi (kiri), menerima naskhah buku Of Heroes and Heroin 2: Addicted to Good bagi pihak penaja utama penerbitan buku itu, Sheng Siong Pte Ltd.
Bekas rakan seperjuangan mantan Setiausaha Politik (Ehwal Dalam Negeri), Allahyarham Harun Ghani, serta wakil bukan pemastautin Singapura ke Palestin, Encik Hawazi Daipi (kiri), menerima naskhah buku Of Heroes and Heroin 2: Addicted to Good bagi pihak penaja utama penerbitan buku itu, Sheng Siong Pte Ltd. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL
Semasa sesi perkongsian beliau, Encik Ahmad tidak dapat menahan sebak ketika mengenang dugaan seperti terpaksa tidur di atas tilam yang dipenuhi pepijat serta kekurangan wang untuk membeli kasut sekolah dan makanan.
Semasa sesi perkongsian beliau, Encik Ahmad tidak dapat menahan sebak ketika mengenang dugaan seperti terpaksa tidur di atas tilam yang dipenuhi pepijat serta kekurangan wang untuk membeli kasut sekolah dan makanan. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

Penerbitan buku tersebut juga disokong oleh penaja utama, Sheng Siong Pte Ltd, yang menyumbang sebanyak $50,000 kepada penghasilan karya itu.

Semasa majlis itu, beberapa individu yang ditampilkan dalam buku itu berpeluang berkongsi kisah mereka secara langsung.

Semasa sesi perkongsian beliau, Encik Ahmad tidak dapat menahan sebak ketika mengenang dugaan seperti terpaksa tidur di atas tilam yang dipenuhi pepijat serta kekurangan wang untuk membeli kasut sekolah dan makanan.

Beliau dan adik-beradiknya juga dipandang rendah oleh segelintir orang ketika di sekolah.

“Daripada guru yang memanggil kami miskin dan tidak berguna secara terbuka sehingga diherdik oleh pengendali kantin kerana menerima makanan secara percuma walaupun makanan kami sudah dibiayai oleh bantuan kewangan sekolah,” kongsinya.

Bagi Encik Ahmad, berkongsi kisahnya bagaikan satu beban berat telah terlepas daripada bahunya.

Encik Ahmad berkata:

“Saya rasa dugaan yang saya melalui amat luar biasa, yang lazimnya tidak dilalui oleh orang, oleh itu saya rasa ia mungkin sukar difahami.”

Setelah berbelah-bahagi sama ada mahu merahsiakan sejarah hidupnya, beliau berasa lega kerana akhirnya berpeluang meluahkan kidah tersebut menerusi penerbitan HGEF, dan menyumbang bakti kepada masyarakat, tambah bapa kepada dua anak perempuan itu.

“Kini, orang boleh memahami sejarah saya dan menyedari bahawa terdapat orang yang terpaksa melalui penderitaan seperti itu,” tambahnya.

Encik Ahmad berharap kisahnya memberi harapan dan dorongan kepada mereka yang melalui cabaran yang serupa dan ingin mengubah kehidupan mereka.

HGEF dibentuk pada 2005 sebagai memperingati jasa Allahyarham Harun Ghani, mantan Setiausaha Politik (Ehwal Dalam Negeri) dalam menangani isu penyalahgunaan dadah.

Kini, ia turut digerakkan oleh Setiausaha Kehormat HGEF, Cik Haslinda Putri Harun, anak Allahyarham, khusus untuk membantu anak-anak daripada keluarga yang terkesan akibat penyalahgunaan dadah dan jenayah.

Buku yang baru dilancarkan merupakan kesinambungan kepada karya terdahulu yang dikterbit pada 2006, Of Heroes and Heroin, yang memberi penghormatan terhadap jasa bakti Allahyarham Harun Ghani.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti